Friday, June 8, 2007

Tidak kufur menghormati budaya lain

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MENGHORMATI cara hidup dan budaya orang lain, iaitu orang bukan Islam, dalam cara pemakanan, pakaian dan sebagainya tidaklah menjadi sesuatu yang dilarang agama kita.

Orang lain boleh makan makanan yang haram pada orang Islam, boleh minum minuman yang juga haram pada kita orang Islam dan berbagai-bagai aktiviti sosial dan budaya yang dilakukan oleh orang bukan Islam yang bertentangan dengan nilai dan akhlak Islam, maka semuanya itu haruslah ditangani dengan bijaksana dan hikmah oleh orang Islam.

Perkara yang paling penting dituntut oleh Islam ialah menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat, tidak berlaku pertumpahan darah peperangan dan sesuatu yang mungkin mengancam keselamatan bersama.

Maka dalam konteks ini bagi kita di negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama yang begitu ketara, kewajipan menghormati antara satu kaum dengan yang lain, juga antara agama, haruslah difahami dengan sebaik-baiknya, dan amalkan dengan serius, supaya rekod kecemerlangan perpaduan bangsa dan kaum akan terus terpelihara hingga selama-lamanya.

Perlembagaan kita yang meletakkan Islam sebagai agama negara juga, sebenarnya memberi kebebasan untuk para pengikut agama lain mempraktikkan agama mereka secara harmoni dan aman.

Maka dalam mempraktikkan agama mereka, tentulah mereka juga boleh menjalankan adat resam dan cara hidup tradisi mereka dalam keadaan yang sama, iaitu dengan menjaga keharmonian dan perdamaian, bukan dengan cara provokasi dan melampaui had sehingga menyentuh kesucian agama rasmi dan kepekaan orang Islam.

Saya menyebut perkara ini kerana terdapat juga kesalahfahaman di kalangan anak-anak muda dan generasi baru, atau juga orang-orang yang ingin kembali menghayati Islam, tetapi telah dikelirukan oleh sesetengah pihak, bahawa cara hidup Islam haruslah dihayati oleh semua orang tanpa mengira agama dan budaya.

Di samping itu terdapat pula suara-suara yang menyeru pihak pemerintah supaya mengharamkan semua aktiviti dan cara hidup tradisi yang dilarang oleh Islam seperti mengeluarkan lesen arak, judi, pemyembelihan babi dan sebagainya. Suara-suara ini sebaliknya menuduh bahawa kerajaan yang membenarkan minuman arak dan babi adalah tidak Islamik dan kufur.

Saya rasa bahawa secara ideal memanglah kita bersimpati dengan orang yang ingin menghapuskan minuman keras dan perjudian di atas muka bumi ini, kerana minuman keras dan perjudian ternyata haram pada Islam dan banyak membawa mudarat kepada masyarakat dengan penyakit mental, fizikal dan sosial yang dibawanya. Namun pada praktiknya, amalan yang telah menjadi budaya dan darah daging bagi orang bukan Islam itu bukanlah merupakan perkara mudah yang boleh dihapuskan secara jangka pendek dan dalam keadaan yang tidak berhikmah.

Negara kita mempunyai kira-kira empat puluh peratus orang bukan Islam. Mengharamkan minuman keras keseluruhannya pada pandangan saya adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dilakukan tanpa menimbulkan perasan gelisah dan marah di kalangan masyarakat bukan Islam.

Saya menyebut hal ini bukan untuk merestui sesiapa pun untuk meminum minuman keras, dan jauh sekali untuk mendedahkan masyarakat Islam kepada minuman keras yang diharamkan itu. Tetapi saya menyebut hal ini ialah kerana menyedari bahawa sebarang paksaan dan undang-undang yang bertentangan dengan budaya hidup sesuatu kaum hanya akan mengakibatkan pelanggaran kepada undang-undang itu.

Jadi dalam menangani hal ini, saya rasa langkah strategik yang bijaksana haruslah sentiasa menjadi bimbingan kepada kita. Hal ini mungkin sama seperti yang dilakukan selama ini tentang kebebasan beribadat kepada para pengikut agama lain di negara kita, iaitu ketika mendirikan rumah-rumah ibadat, maka kajian dan perhatian haruslah diberikan kepada kepadatan penduduk dalam sesuatu agama, supaya rumah-rumah ibadat itu tidak melukakan perasaan pengikut agama orang lain pula.

Di dalam surah al-Maidah, ayat 48 Allah s.w.t berfirman tentang hal ini:

Untuk tiap-tiap umat di antara kamu Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikanNya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepada mu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.

Rasulullah s.a.w telah mengemukakan satu model yang unggul di dalam sejarah ketika baginda memberi tempat kepada kaum Yahudi, Nasrani dan lain-lain bagi mengamalkan agama mereka. Khalifah Umar ibn Al-Khattab r.a dalam era pemerintahannya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat bukan Islam dan menasihati para sahabatnya supaya menjaga kepentingan orang bukan Islam.

Oleh itu tidak timbul bahawa kita menjadi kufur kerana memberi lesen arak atau kebenaran memelihara babi kepada orang bukan Islam di negara kita.

Orang-orang Islam yang beranggapan begitu haruslah surut ke pangkal jalan dan menarik balik hukuman yang pernah dijatuhkan kepada orang Islam lain yang amat serius itu.

Kita haruslah memahami ajaran Islam dan menyedari bahawa Islam adalah agama praktikal. Hal inilah yang saya rasa telah disedari oleh kita selama ini, dan tidak hairan sekali kerana menyedari akan perkara ini dan realiti masyarakat Islam di negara kita maka kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini telah mengeluarkan kebenaran untuk kedai minuman keras untuk beroperasi.

Kewajipan kita sebagai orang Islam ialah mendidik anak-anak kita sendiri supaya tidak melakukan perkara haram, dan kalau mungkin mendidik masyarakat negara kita keseluruhannya supaya menjauhi perkara yang dilarang, bukan dengan memaksa ajaran dan nilai kita kepada orang lain.

Perkara-perkara yang dilarang agama kita memang mengandungi rahsia yang banyak dan melanggarnya bererti mengundang mudarat dalam sesuatu bentuk sama ada kepada kesihatan mental atau fizikal atau menyebabkan kepincangan rumah tangga dan kehidupan sosial.

Tetapi perkara ini perlu kita berikan kefahaman kepada masyarakat, bukan dengan hanya menjatuhkan hukuman, terutamanya sesama kita umat Islam.

Apakah kita tidak marah sekiranya kita dilarang daripada menunaikan ibadat atau dikenakan undang-undang yang tertentu tentang apa yang harus kita makan atau tidak, sedangkan ia adalah dituntut atau diharuskan oleh agama kita?

Saya rasa selama ini terlalu ramai orang yang keliru dalam hal ini terutamanya ketika mencari-cari kesalahan orang lain dan menuding jari kepada musuh sesama Islam. Memang mudah untuk berkata-kata dan berangan-angan untuk buat itu dan ini ketika kita berada di luar kekuasaan.

Dalam hal inilah timbulnya cadangan-cadangan yang amat ideal untuk menghapuskan cukai itu dan cukai ini, lesen itu dan lesen ini.

Apabila berkuasa dan menghadapi realiti masyarakat dan politik di sekeliling maka orang akan mulai melihat sesuatu yang harus ditangani secara praktikal dan berdasarkan hakikat yang nyata.

Maka dalam konteks inilah juga rasanya kita harus berhati-hati dalam menangani isu-isu sosial, ekonomi, politik dan sebagainya berasaskan keadaan negara kita sendiri. Hakikat tentang komposisi kaum dan agama di negara kita haruslah diberikan pertimbangan yang wajar dan berhikmah, sama seperti kita mengharapkan bahawa masyarakat bukan Islam juga harus memahami dan menghormati agama dan cara hidup kita orang Islam. Mereka juga seharusnya mengekalkan penghormatan mereka kepada kita untuk menjaga kesejahteraan dan perpaduan bangsa serta membina kemakmuran negara.

No comments: