Friday, June 8, 2007

Menghayati Islam secara berilmu

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KEBANGKITAN Islam yang bermula pada sekitar tahun tujuh puluhan, termasuk di negara kita, menuntut perubahan dan penyesuaian serta penghayatan Islam sepenuhnya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna meliputi semua sudut aktiviti dan tingkah laku manusia sama ada di peringkat individu dan awam yang merangkumi segala aspek kehidupan di bidang ekonomi, pendidikan, politik, sosial, perundangan, malah termasuk aspek ibadat dan aktiviti kerohanian serta adat tradisi berpakaian, bertutur dan seterusnya.

Sesungguhnya kerangka penghayatan Islam selengkapnya itu amatlah luas dan menyeluruh, merangkumi perubahan yang besar terhadap kebanyakan sistem dan mekanisme kehidupan umat Islam yang berjumlah satu bilion jiwa di dunia ini dan melibatkan rombakan besar terhadap jentera yang menggerakkan masyarakat dunia di dalam aspek-aspek yang memerlukan perubahan itu, apa lagi jika dilihat dari sudut sejarah bahawa dunia Islam umumnya telah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat selama beratus-ratus tahun dengan segala dasar pemerintahannya yang telah berakar umbi di dalam masyarakat Islam itu sendiri.

Menyedari hakikat inilah maka kebangkitan semula Islam agak mengejutkan masyarakat Islam dan memerangkap orang Islam di dalam satu keadaan yang keliru dan tidak mempunyai cukup persediaan bagi menangani fenomena baru ini.

Semangat penghayatan Islam yang tersebut telah lahir di dalam beberapa perkembangan pemikiran dan tindakan dan menimbulkan berbagai-bagai reaksi di dalam masyarakat Islam. Di antara perubahan yang dapat dilihat ialah perubahan cara hidup yang mendekatkan diri kepada amalan Islam yang menyentuh soal ibadat, cara berpakaian, penggunaan bahasa yang lebih dekat kepada Islam seperti menggunakan salam keislaman dan sebagainya yang lebih banyak menyentuh amalan peribadi Muslim itu sendiri.

Bagaimanapun perubahan ini kemudiannya berkembang kepada aktiviti masyarakat umumnya di dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, kekeluargaan, termasuk perundangan yang menuntut banyak pindaan supaya disesuaikan dengan nilai dan ajaran agama.

Yang ingin saya sentuh di dalam tulisan ini ialah reaksi masyarakat terhadap perubahan-perubahan ini yang kelihatan agak teraba-raba tidak menentu matlamat dan tujuannya dan kadang-kadang memperlihatkan sikap yang tergopoh-gapah, malah yang amat membimbangkan ialah perubahan yang cuba dilakukan tanpa menyedari realiti masyarakat dan suasana di sekeliling.

Satu kebimbangan yang pernah disuarakan oleh para pemikir dan sarjana Islam ketika membicarakan isu kebangkitan Islam ini ialah fenomena pemikiran sesetengah kalangan masyarakat terutamanya generasi muda, yang terlalu ghairah dengan semangat ini, iaitu kegopohan kalangan masyarakat tersebut yang ingin melihat perubahan masyarakat secara total dalam pelaksanaan Islam menyeluruh yang lebih banyak menggunakan kaedah simplistik dan retorika. Kalangan ini akan menggunakan berbagai cara untuk menyaksikan perubahan ini, termasuk jalan kekerasan dan keganasan atas nama agama.

Bagi golongan yang lain pula, penghayatan Islam ini amat tertumpu kepada kegiatan kerohanian semata-mata sehingga melupakan kehidupan dunia ini dan memisahkan diri dari arus perdana pembangunan dan sistem hidup keseluruhannya yang memerlukan partisipasi umat Islam bagi menegakkan agama dan kehidupan mereka di dunia ini.

Di dalam masyarakat Islam yang mengambil cara terakhir ini, terdapat golongan yang melihat Islam itu hanyalah di dalam pengajian fardu ain dan ibadat khusus semata-mata. Mereka sering meletakkan matlamat pendidikan dan pelajaran formalnya ialah di dalam kelas-kelas amalan ibadat dan ritual serta amalan kerohanian sahaja. Dalam program ini termasuklah kelas-kelas menghafaz al-Quran iaitu untuk mendidik anak-anak menjadi hafiz.

Semua orang Islam tentulah mempunyai cita-cita untuk menjadi hafiz, dan oleh kerana masa untuk ibu bapa mencapai tujuan itu telah luput, maka mereka ingin sekali supaya anak-anak mereka menjadi hafiz al-Quran. Kesempatan ini diambil oleh ramai penganjur kelas-kelas tersebut dan sambutannya amatlah memberangsangkan dan kita bersyukur kepada Allah s.w.t tentang perkara ini.

Bagaimanapun dalam keghairahan ini, kita mungkin perlu banyak merenung dan melihat kepada realiti hidup kita di dunia yang penuh persaingan dan cabaran ini. Mungkin agak membimbangkan sekiranya kelas-kelas atau sekolah-sekolah hafiz al-Quran ini terpinggir dari arus perdana sistem pendidikan negara yang bermatlamatkan pengeluaran tenaga manusia yang seharusnya bekerja untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat seperti yang dituntut oleh agama kita sendiri.

Mungkin masa depan anak-anak yang dibawa keluar dari arus perdana pendidikan negara itu akan menempuh masa depan yang agak kabur dalam berkeluarga dan menentukan arus kehidupan mereka sendiri.

Dalam sejarah kesarjanaan Islam pada zaman kegemilangannya, Islam melahirkan para sarjana yang kukuh dan teguh kerohaniannya dan kuat keagamaannya, tetapi dalam masa yang sama tokoh-tokoh sarjana itu lahir sebagai ahli sosiologi, perubatan sains, falak dan sebagainya.

Al-Quran sendiri sering mengingatkan kita tentang keajaiban kejadian alam buana ini yang menyentuh segala bidang keilmuan seperti ilmu kaji hayat, sains, teknologi, perubatan, pertanian, perindustrian dan sebagainya.

Jadi dalam menuju cita-cita menjadikan anak-anak kita mempunyai kelengkapan yang cukup di dalam bidang kerohanian dan ibadat, maka dalam masa yang sama juga kita harus melihat kepada konsep pendidikan Islam itu sendiri yang mengandungi kesepaduan ilmu dunia dan akhirat, ilmu wahyu Allah s.w.t. dan ilmu ciptaan akal manusia sendiri yang menyediakan gelanggang yang cukup mantap bagi manusia Muslim.

Segala matlamat kerohanian dan pemupukan ilmu wahyu di dalam jiwa dan dada anak-anak kita, seharusnyalah tidak dipinggirkan dari arus perdana sistem pendidikan kita demi masa depan mereka sendiri.

Allah s.w.t. memberi panduan kepada kita supaya berusaha untuk mencapai segala-galanya yang dijanjikan pada hari akhirat, tetapi janganlah dilupakan nasib dan habuan kita di dunia ini.

No comments: