Friday, June 8, 2007

Mencontohi keperibadian ulama dahulu

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MEMBICARAKAN kesilapan orang Islam yang menjejaskan nama baik Islam, bukan bererti memandang rendah kepada mereka khususnya para bijak pandai dan orang-orang yang berlatarbelakangkan ajaran agama.

Malahan kita amat menghormati dan memandang tinggi orang yang berlatarbelakangkan agama, apa lagi orang yang kita panggil alim ulama mengikut tradisi dan budaya kita selama ni.

Masalah yang menjejaskan nama baik para agamawan dan yang mendakwa diri mereka sebagai ahli agama ialah masalah salah laku dan tindakan mereka yang amat jelas bertentangan dengan nilai akhlak dan ajaran agama itu sendiri.

Isunya di sini ialah tingkah laku dan perbuatan seseorang yang menjadi ukuran peribadi dan nilai akhlaknya, tidak kira sama ada ia seorang ulama atau bukan.

Semasa saya kecil-kecil dulu, kira-kira tiga empat dekad yang lalu, saya mengenali dengan baik perwatakan guru agama dan orang agama yang dikenali sebagai Pak Haji atau Pak Lebai yang cukup terkenal dengan sifat warak dan ilmu agamanya yang melebihi ilmu orang lain.

Mereka pernah belajar agama di pondok pondok secara formal sehingga ada yang telah merantau ke Patani, Selatan Thailand kerana mempelajari agama di sana.

Orang alim ini amat dihormati, mereka diberikan tempat istimewa di majlis-majlis kenduri, mereka membaca doa dengan baik dan khusyuk, mengajar di surau dengan ikhlas kerana ilmu dan kerana berkhidmat kepada orang ramai semata-mata dengan niat untuk Allah swt.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka sering diajak bermesyuarat untuk memulakan satu majlis keramaian di masjid, sekolah atau majlis perkahwinan orang-orang yang tertentu. Kedudukan mereka dianggap sebagai orang yang berperibadi dan berakhlak mulia dan menjadi rujukan orang kampung dalam pelbagai perkara.

Mereka adalah orang kuat kampung, sama seperti tok penghulu, guru Quran dan guru besar sekolah kampung itu. Tok imam dan guru-guru agama inilah sahaja yang saya nampak memakai songkok putih atau serban kerana mereka dengan sendirinya layak berpakaian demikian, kerana pakaian itu adalah secara automatik menjadi pakaian orang agama, yang benar-benar mempelajari agama.

Pendeknya dipandang dari segi autoriti agama, maka merekalah sebenarnya orang agama bagi kampung saya itu, dari segi keperibadian, berakhlak mulia dan lurus serta ikhlas, mereka tidak pernah berkelakuan tidak senonoh, tidak pernah bercakap sombong dan kasar, jauh sekali dari melakukan perbuatan yang menyinggung hati dan perasaan orang lain.

Pendeknya tok lebai dan tok imam kampung ini benar-benar menggambarkan peribadi orang agama, akhlak agama dan bertindak mengikut ajaran agama, sebab itulah mereka amat dihormati dan boleh diharap untuk memberikan nasihat dan panduan.

Begitulah gambaran sebenar tentang alim ulama, pak haji, pak lebai dan tok guru agama dua puluh tiga puluh tahun lalu.

Tetapi maksud saya di sini tidaklah juga bertujuan untuk mengatakan bahawa orang agama, alim ulama dan cerdik pandai agama kita hari ini harus mengekalkan identiti begitu, berimejkan alim kampung yang serba sederhana dan mudah.

Malahan kita juga berharap bahawa alim ulamak kita hari ini berubah mengikut perubahan masa dan keadaan dari segi ilmu, peribadi dan imejnya juga. Mereka haruslah sama-sama membangun dengan pembangunan zaman moden yang menyaksikan revolusi yang besar di dalam bidang ilmu pengetahuan, perubahan pemikiran, dan tamadun manusia seluruhnya, dan mereka juga seharusnya menyedari dan turut sama terlibat dengan kemajuan dunia yang telah jauh berkembang mengikut perkembangan sains teknologi dan urusan kehidupan lainnya.

Saya beranggapan demikian kerana keadaan dua tiga dekad yang lalu tentulah tidak sesuai lagi dengan zaman kita, ketika segala-galanya telah berubah dan berkembang.

Cuma sayangnya dalam perubahan suasana dan zaman, yang mengakibatkan persaingan dan perlumbaan ini, maka identiti segelintir para agamawan kita juga turut berubah ke arah yang negatif. Identiti berpakaian telah diselewengkan dari yang saya tahu tentang ulama-ulama kampung dulu, kualiti moral dan nilai hidupnya juga turut berubah disebabkan beberapa pengaruh zaman moden yang sering mempengaruhi kehidupan orang awam sekarang, iaitu dari segi kebendaan, nafsu syahwat dan sebagainya.

Kualiti ilmunya tidak lagi seteguh kualiti pada zaman dulu, dan yang mendukacitakan terlalu banyak orang yang ingin mendakwakan dirinya sebagai ustaz, alim ulama dan pakar dalam bidang agama.

Jadi merujuk kepada ''ulama'' moden yang bersongkok putih, berdoa dan membaca sedikit-sedikit ayat al-Quran dan dalam masa yang sama bertindak mengangkat senjata membunuh orang yang tidak berdosa, serta bertujuan melakukan huru hara di dalam masyarakat, dan yang percaya kepada khurafat dan bidah inilah yang telah saya sebutkan di dalam tulisan saya yang lalu sebagai golongan yang akan merosakkan nama baik Islam dan menjatuhkan imej agama kita dan umat Islam seluruhnya di negara kita.

Kita sepatutnya menghormat dan memuliakan ulama yang berpengetahuan tinggi, berakhlak mulia dan berkelakuan baik pada sepanjang masa, kerana mereka adalah ulama yang sah dan asli, seperti yang saya pernah saksikan pada zaman lalu, dan yang masih dapat disaksikan di dalam masyarakat moden pada hari ini di kalangan para ulama yang saya kenali.

Saya amat kagum dengan ulama silam dan ulama kini yang masih dapat mengekalkan identiti mereka yang tulin dari segi kualiti ilmu pengetahuan dan keperibadinNya. Tetapi saya merasa amat kecewa dengan orang-orang yang juga mahu dilihat sebagai alim ulamak, namun kualiti keilmuan, moral dan tindakannya tidak sama sekali menepati gelaran dan kedudukan sebenar alim ulama.

Mereka inilah yang berada di segala cerok rantau dunia pada hari ini yang berkelakuan buruk sehingga menjatuhkan imej Islam dan orang Islam umumnya. Maka manusia-manusia seperti inilah yang saya rasa mulai menjelma di dalam masyarakat kita dan mulai mencemarkan prestasi baik agama dan umat kita.

Kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita dijauh-Nya dari orang yang berperwatakan begini, kerana ingin terus menerus melihat dan menikmati nikmat kententeraman dan keamanan serta perdamaian di dalam masyarakat kita, serta mencontohi tutur kata, perbuatan dan amalan para ulama yang sebenarnya.

No comments: