Friday, June 8, 2007

Kemerdekaan dan perhambaan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
EMPAT puluh tiga tahun negara mencapai kemerdekaan tidak semestinya menjamin bahawa rakyat kita keseluruhannya telah merdeka sepenuhnya dari segi pemikiran, hawa nafsu dan gejala-gejala perhambaan lainnya yang melanda umat manusia ini.

Serangan yang dibawa oleh ejen-ejen penjajahan bentuk baru melalui teknologi maklumat dan komunikasi serta aliran globalisasi tajaan Barat yang mendominasikan dunia pada hari ini banyak sekali meninggalkan kesan perhambaan di dalam pemikiran dan tindakan rakyat di negara-negara membangun, termasuk rakyat negara kita.

Kemelut perpecahan umat, gejala sosial di dalam masyarakat muda dan tua, kebekuan pemikiran orang-orang yang berilmu dan profesional, sifat fanatik dan taksub melulu, pemujaan individu dan tokoh tertentu tanpa pertimbangan adalah merupakan ciri-ciri perhambaan manusia walaupun pada lahirnya negaranya telah merdeka daripada penjajahan.

Di negara kita sendiri ramai orang yang memuja media asing dengan laporan-laporannya yang penuh dengan agenda penjajahan bentuk baru, iaitu yang ingin memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menimbulkan ketegangan di dalam negara semata-mata kerana negara ini ingin menegakkan identiti dan jati dirinya sendiri dan ingin bebas daripada pergantungan melulu kepada kuasa asing.

Tindakan negara merdeka yang ingin melepaskan dirinya daripada penjajahan bentuk baru dan mengisikan kemerdekaannya sendiri dalam erti kata yang sebenarnya telah menimbulkan kemarahan bekas penjajah Barat. Dengan itu penjajah Barat akan berusaha supaya negara yang merdeka ini menjadi kacau bilau dan sentiasa berada dalam ketegangan di antara rakyat dengan pemerintah supaya dengan itu dapatlah mereka memuaskan jarum penjajahannya dengan baik.

Pemujaan media Barat inilah yang mendorong para pemujanya berbicara dengan media asing itu, membenarkan dirinya diwawancara dengan segala komen dan kritikan negatif terhadap negara sendiri, sehingga dengan itu akan lahirlah ke mata dunia seolah-olah dialah pejuang demokrasi dan keadilan negara yang ingin melihat perubahan. Orang-orang begini sebenarnya tidak mendapat tempat sepenuhnya di hati rakyat umum dan di dalam negara sendiri.

Generasi baru yang tidak mengalami sendiri perjuangan rakyat dan negara semasa zaman penjajahan untuk memerdekakan negara mungkin tidak dapat menghayati dan merasakan pahit getir kehidupan pada zaman penjajahan.

Pengalaman itu hanya tertera di dalam tulisan di sana sini yang mungkin tidak dapat dibaca dan dimengertikan dengan baik oleh generasi selepas kemerdekaan. Bagaimanapun perjuangan itu telah berlalu dan tanggungjawab mencapai kemerdekaan negara tidaklah tertanggung ke atas bahu mereka lagi.

Namun yang perlu bagi generasi baru ialah mengisikan kemerdekaan negara dengan melengkapkan diri mereka menjadi anak-anak negara merdeka yang sebenarnya.

Kemerdekaan negara tidak memberi sebarang erti sekiranya kita masih belum mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup di dalam segala bidang kehidupan kita. Demikian juga keupayaan kita di dalam bidang ilmu pengetahuan dan profesionalisme yang tinggi masih belum bererti sekiranya pemikiran kita masih diselubungi oleh pemikiran penjajah dan nilai hidup mereka yang masih terbelenggu dengan hawa nafsu.

Apa ertinya berilmu pengetahuan yang tinggi kalau kita masih terpengaruh dengan cerita-cerita palsu Internet tentang negara kita dan masyarakat. Apa ertinya profesional sekiranya kita masih terperangkap dengan taktik luar yang ingin mengharu-birukan masyarakat kita.

Apa ertinya kemerdekaan negara sekiranya kita masih belum merdeka daripada gejala keruntuhan moral dan kehakisan nilai-nilai murni keagamaan dan kerohanian?

Kalau Islam telah berjaya melaksanakan perancangan yang amat rapi untuk menghapuskan perhambaan sesama manusia dalam bentuk kuno sebelum masyarakat Barat bertindak menghapuskannya, maka kenapakah perhambaan bentuk baru ini terlalu banyak menyerang negara-negara Islam sekarang tanpa tentangan, malah banyak sekali negara Islam dan orang-orang Islam yang sanggup menerima perhambaan ini dengan rela hati?

Salah seorang Khalifah Islam memberi amaran dengan kata-kata hikmatnya; Bilakah kamu memperhambakan sesama manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibu-ibu mereka dalam keadaan merdeka? Islam daripada awal lagi telah menyempitkan pintu perhambaan dan membuka luas pintu untuk membebaskan manusia daripada perhambaan, sehingga dengan itu manusia menjadi merdeka dan bebas daripada kezaliman dan penindasan, atau penganiayaan terhadap jiwa raga, harta benda dan maruah serta kehormatan mereka.

Agenda inilah yang dilaksanakan oleh Islam dalam memberikan kemerdekaan kepada manusia dan melepaskan diri mereka dari perhambaan.

Tetapi setelah perhambaan bentuk kuno itu telah pupus dari muka bumi ini, kenapakah ada manusia yang sanggup diperhambakan dalam bentuk baru sehingga sanggup mengkhianati negara dan tanah air sendiri?

Kenapakah manusia sanggup memperhambakan dirinya kepada hawa nafsu keduniaan dengan menggadaikan agama dan nilai-nilai murni kehidupannya?

Apakah kerana soal-soal peribadi dan kelompok tertentu kita sanggup mempertaruhkan maruah dan kehormatan kita sendiri kepada kuasa lain yang ingin memperhambakan kita?

Semoga negara merdeka yang memasuki ke tahun empat puluhan ini akan mulai menampakkan kemerdekaan sebenar dalam pemikiran sikap, tindakan dan wawasan rakyat kita keseluruhannya. Kalau kita berpegang kepada kata-kata hikmah bahawa hidup itu bermula pada umur empat puluh tahun, malah Nabi Muhammad s.a.w. juga dilantik menjadi Rasul kepada umat manusia ketika berumur empat puluh tahun maka masanya telah tiba untuk melatih negara kita sebagai negara yang matang dan maju kerana negara kita telah merdeka lebih dari empat puluh tahun.

No comments: