Friday, June 8, 2007

Kemantapan usul agama UMNO

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
PERHIMPUNAN Agung UMNO yang berlangsung dari 11 hingga 13 Mei lalu memperlihatkan kematangan usul mengenai agama, iaitu merangkumi kerangka kefahaman yang menyeluruh tentang world view Islam dan kemampuannya menangani arus globalisasi dan multi media masa kini.

Banyak dimensi yang dapat ditafsirkan dari usul ini yang juga memprojekkan cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dalam pelaksanaan agama Islam sesuai dengan sifat keterbukaan dan kesederhanaannya dalam beragama serta penduduknya yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama.

Usul ini amat unggul dan menarik kerana ia menunjukkan kematangan berfikir dan menyentuh perkembangan semasa yang menuntut keterbukaan minda dan visi sesuai dengan perubahan yang dituntut di dalam dunia kini dengan program k-ekonomi, e-dagang, e-pendidikan dan sebagainya, yang sekali gus memerlukan terjemahan usul tersebut kepada pembangunan agama berasaskan ilmu pengetahuan, daya intelektual dan kematangan berfikir dan bertindak.

Bagaimanapun, perwakilan dan pemerhati yang menghadiri perhimpunan tersebut mungkin tidak banyak yang menyedari falsafah dan prinsip usul tersebut, malah tentulah lebih sukar lagi bagi mereka untuk memahami kaedah perlaksanaan usul tersebut serta menghayatinya.

Para jurucakap yang berbicara tentang usul ini mengemukakan pandangan yang baik, tetapi masih lagi terikat dengan pendekatan retorika dan berbentuk khutbah, kecuali wakil Johor dan Perak dan beberapa wakil lain yang lebih banyak menumpukan kepada perbincangan yang agak universal, menyentuh perkembangan semasa dan merentasi pula sempadan dunia tempatan dengan membawa isu globalisasi dan rule of law dari pandangan agama.

Dalam keadaan sekarang di mana orang berbicara tentang dunia ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, juga teknologi maklumat maka terjemahan usul agama seharusnya lebih menjurus kepada pelaksanaan agama di dalam semua sudut secara praktikal berdasarkan perubahan sosial, pembangunan ekonomi, pembangunan teknologi dan gaya hidup serta cara hidup masyarakat Islam moden di negara kita dan yang kita cita-citakan untuk menjadi contoh kepada dunia Islam lainnya.

Amatlah penting bahawa kefahaman Islam yang diperlukan itu lebih merupakan perancangan dan agenda pelaksanaan di dalam bentuk operasional yang merangkumi bidang pendidikan, sosial, ekonomi, politik, hubungan antarabangsa dan sebagainya yang perlu kita laksanakan sekiranya benar-benar kita ingin menjadikan negara kita sebagai negara contoh dalam pelaksanaan Islam yang menyeluruh.

Hal ini nampaknya disedari oleh wakil Johor ketika beliau mencadangkan supaya perancangan yang komprehensif bagi mendidik masyarakat memahami Islam secara sempurna dipergiat dan dilancarkan secara agresif di seluruh negara dengan mengasaskan institusi yang tertentu bagi menjalankan agenda ini di setiap buah negeri di negara kita.

Saya percaya para perwakilan ke perhimpunan agung itu sendiri banyak yang mempunyai persoalan bagaimana agenda agama ini dapat dilaksanakan dan apakah bentuk dan corak modus operandinya?

Perwakilan sendiri pun, kerana kekurangan penjelasan yang dapat menyingkap minda dan pemikiran mereka, akan berfikir dan memahami Islam itu sebagai satu bentuk ritual dan kehidupan kerohanian semata-mata seperti yang juga disuarakan oleh sebahagian para jurucakap yang seharusnya membahas dan membincangkan usul agama yang dikemukakan dengan baik itu.

Isu kefahaman Islam inilah yang sebenarnya menarik dunia Islam keseluruhannya ke bawah, dan mengikat mereka di tahap yang paling belakang di dalam kemajuan dunia moden berasaskan ilmu pengetahuan dan teknologi pada masa kini.

Hal ini ingin kita selesaikan dengan cara yang dinamik di dalam sistem pendidikan, pengurusan dan pentadbiran negara, pembangunan tenaga manusia dan generasi baru, memahami sains dan teknologi dalam konteks agama, membina moral dan personaliti yang kuat dan mempunyai daya tahan yang kukuh.

Hal ini kelihatan disentuh di dalam usul agama itu, tetapi yang diperlukan sekarang bagaimanakah UMNO yang menerajui pemerintah sekarang dapat melaksanakannya di dalam bentuk dasar dan agenda kementerian-kementerian yang tertentu.

Agenda agama bukan hanya dapat dilaksanakan diperingkat jabatan-jabatan agama atau di masjid-masjid seperti yang diheboh-hebohkan oleh para penceramah, tetapi ianya menjadi agenda menyeluruh untuk semua, dan hal inilah yang pada pandangan saya diperjuangkan oleh Perdana Menteri kita, dan yang amat sukar difahami oleh orang lain.

Malah seperti yang disebut oleh Dr. Mahathir keadaan ini pun amat berubah dan berkembang secara yang tidak disangka-sangka, iaitu ketika beliau mengutarakan visinya tentang masyarakat orang Melayu yang telah menjadi masyarakat asing di negaranya sendiri, malah para pemimpin bangsa berada di dalam suasana hostile yang memerlukan kesedaran yang bersungguh-sungguh di kalangan masyarakat Melayu dan menuntut kerja keras daripada setiap orang tanpa bergantung dan berharap kepada pertolongan orang lain lagi, termasuk para ulama sendiri.

Hal ini saya rasa lebih terasa di dalam perjuangan agama di negara kita pada hari ini yang memerlukan setiap individu Muslim mempunyai kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang agamanya serta menyusun agenda dan tindakannya sendiri dalam memperjuangkan idealisme agama itu.

Maka usul agama yang unggul itu memerlukan pemeriksaan dan kajian yang mendalam, menuntut agenda dan pelaksanaan yang strategik dan menyeluruh, malah memerlukan tindakan yang segera dan panjang, tidak hanya tinggal di dewan perhimpunan bersama kerusi meja yang ditinggalkan oleh para peserta dan perwakilan sehinggalah menjelangnya perhimpunan agung pada tahun hadapan.

No comments: