Friday, June 8, 2007

Belajar dari ujian dan krisis

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KITA sebagai manusia akan sentiasa berterusan menghadapi ujian di dalam kehidupan ini.

Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Ankabut, ayat 2:

Apakah manusia beranggapan bahawa mereka akan dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum lagi diuji?

Ternyata di sini bahawa sebesar mana sekalipun iman seseorang itu, selagi ia bernama manusia, maka ia akan sentiasa menghadapi ujian dan dugaan, cabaran dan halangan.

Maksud ayat ini ialah agar manusia sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dalam menghadapi dugaan dan cabaran, dengan itu manusia haruslah bijak dalam mengatasi ujian dan dugaan hidup.

Pada hari ini kita berhadapan dengan berbagai-bagai krisis dan kegawatan. Masalah sosial dan moral merupakan masalah berterusan di dalam masyarakat kita sehingga menggawatkan para ibu bapa, pendidik, pemimpin masyarakat dan negara.

Masalah alam sekitar dengan pencemaran udara dan air, masalah sampah-sarap yang tidak terurus dengan baik dan sikap serta cara hidup tidak tertib rakyat kita yang mencemarkan bumi dan sungai dengan kepelbagaian ragam yang tidak bertamadun, semuanya merupakan sebahagian daripada masalah yang kita hadapi setiap hari, yang kelihatan amat sukar ditangani dan diatasi.

Maka dalam menghadapi kegawatan dan krisis ini satu perkara yang harus dilakukan ialah dengan menjadikan setiap individu, khususnya orang-orang yang bertanggungjawab di dalam keluarga dan institusi pendidikan, ketua-ketua masyarakat, para pemimpin rakyat dan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan sebagai ejen yang perlu dididik sebagai jentera untuk mengadakan perubahan di dalam cara hidup dan budaya orang-orang yang dipimpinnya agar berfikiran positif dan peka kepada masalah kehidupan alam sekitar dan suasana di sekelilingnya serta krisis lain yang sering membuntukan pemikiran dan kehidupannya.

Mengubah cara hidup dan budaya kuno mestilah menjadi satu agenda utama di dalam rumah tangga, di sekolah, di premis-premis pejabat dan perniagaan, di jalan raya dan lebuh raya, dan di mana-mana saja seseorang itu berada, termasuk di dalam tempat-tempat kemudahan awam seperti telefon dan tandas awam.

Mereka haruslah dididik dan terus dididik supaya sentiasa mempunyai rasa bertanggungjawab menjaga kebersihan, keselamatan dan memikirkan kepentingan kesihatan serta kesejahteraan hidup, bukan hanya untuk diri sendiri malah untuk orang-orang lain sesama anggota keluarga dan masyarakatnya.

Krisis besar yang kita hadapi dalam kegawatan ekonomi yang melanda negara kita dan negara-negara serantau yang bermula sejak pertengahan tahun 1997 memberikan gambaran yang jelas bagaimana manusia sendiri yang bermotifkan rasa hasad dengki dan tamak haloba yang mengakibatkan krisis tersebut.

Serangan yang bersifat spekulatif terhadap mata wang dan pemain spekulatif di pasaran wang antarabangsa dan bursa saham telah menambahkan keparahan ekonomi tersebut. Hal itu telah mengakibatkan menurunnya mata wang dan pasaran saham dan menyebabkan ramai orang menderita dan tersiksa, malah ramai orang yang tidak beriman dan beragama bertindak membunuh diri.

Pada masa kegawatan memuncak kita telah dapat merasakan bahawa kualiti dan kuantiti barangan yang kita beli tidak semewah dan sepadan jika dibandingkan dengan zaman sebelum kegawatan. Nilai dan keupayaan membeli amat merosot terutamanya jika melibatkan pertukaran wang asing.

Maka dalam konteks inilah kita dapat membandingkan zaman mewah dan zaman meleset, ketika kita senang dan ketika kita susah. Allah s.w.t juga mengingatkan kita tentang hal ini dengan firman-Nya di dalam surah al-Nisa, ayat 79:

Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpanya, maka daripada (kesalahan) dirimu sendiri.

Jadi setiap orang boleh bertanya diri sendiri, iaitu ketika berada di dalam kemewahan bagaimanakah ia membelanjakan wangnya, adakah ia bersyukur dan membelanjakan wangnya ke jalan yang sepatutnya, dan adakah ia sentiasa mengamalkan dasar bersederhana ketika berbelanja?

Allah s.w.t menerangkan tingkah laku manusia ketika mengalami kesenangan:

Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia nescaya berpalinglah ia dan membelakang dengan sikap yang sombong, dan apabila ditimpa kesusahan nescaya ia berputus asa. (surah al-Isra, ayat 83).

Maka apabila manusia ditimpa bahaya, ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami ia berkata: sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku. Sesungguhnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui. (surah al-Zumar, ayat 49).

Peringatan ini jelas membayangkan sifat sombong dan gopoh manusia ketika senang dan mewah, dan lupa daratan serta tidak bersyukur ketika mempunyai wang dan harta. Ketika susah dan sempit barulah manusia merasa panik dan gelabah tidak tentu arah.

Oleh itu ketika ekonomi negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan, ketika mata wang mulai meningkat semula, dan ketika pasaran saham telah mulai melonjak, maka pelajaran dan iktibar yang diperoleh dari zaman meleset dan krisis hendaklah sentiasa berada di dalam pemikiran kita.

Gaji yang ditambah kepada pegawai kerajaan sebanyak sepuluh peratus, termasuk para pesara, kenaikan elaun tertentu dan penurunan kadar cukai dan sebagainya merupakan tanda-tanda pemulihan ekonomi dan nilai tambahan dalam meningkatkan prestasi dan taraf kehidupan perekonomian individu dan keluarga yang merupakan usaha para pimpinan negara untuk melepaskan jerut kegawatan ekonomi yang menjerut leher dan mencemaskan rakyat seluruhnya.

Hanya orang-orang yang tidak berpijak di atas bumi nyata dan tidak bersyukur kepada Allah s.w.t dan tidak berbudi kepada negara yang amat istimewa ini sahaja yang akan terus melaung dan berteriak dengan sekuat-kuatnya bahawa ekonomi kita masih gawat dan kita masih dalam krisis.

Bagaimanapun gelagat mereka itu juga merupakan satu lagi tindakan melulu manusia yang menjadi iktibar dan pelajaran kepada kita dalam menghadapi cubaan dan ujian hidup.

No comments: