Friday, June 8, 2007

Pengajaran hak asasi manusia di sekolah

DALAM proses peningkatan ilmu para pelajar dewasa ini, telah banyak cadangan dikemukakan oleh beberapa pihak bagi memperkenalkan beberapa kursus atau subjek baru di sekolah seperti pendidikan seks dan hak asasi manusia.

Bagi tujuan mengemaskinikan pengetahuan para pelajar dan membuka minda mereka kepada kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan moden, maka saya fikir majoriti orang awam akan menyokong cadangan seperti ini.

Harapan yang diletakkan adalah untuk memperkenalkan sesuatu yang baru seperti mata pelajaran tersebut yang tidak pernah dipelajari oleh generasi lama.

Bagaimanapun dalam memperkenalkan mata pelajaran baru, terutamanya bagi peringkat rendah dan menengah, perbincangan lanjut dan teliti haruslah dilakukan dengan meluas supaya sebarang perubahan dan penambahan mata pelajaran itu tidak membawa kesan negatif bagi masyarakat kita yang berpegang teguh kepada ciri-ciri keagamaan.

Hal ini menuntut kita agar lebih berhati-hati kerana sesuatu yang hendak diperkenalkan sebagai mata pelajaran baru itu sering membawa perhitungan dan nilai luar yang kadang-kadang agak permisif dan tidak berbentuk agama.

Ia mungkin lebih kepada nilai-nilai kemanusiaan yang dipromosikan di negara luar yang begitu asing pada kita seperti menganggap agama dan nilai-nilainya sebagai sesuatu yang tidak lebih daripada amalan individu secara mutlak, dan tidak lebih sebagai ritual yang dilakukan oleh individu dengan Tuhannya.

Isu hak asasi manusia sering menjadi perdebatan dalam masyarakat. Apakah isu itu sesuatu yang mutlak dan bersifat individualistik.

Dalam ajaran Islam, manusia memang diberikan kebebasan dalam banyak perkara, termasuk dalam perkara-perkara yang harus dan boleh dilakukan, dan kadang-kadang ia lebih baik ditinggalkan atau lebih baik dilakukan.

Kaedah syariah ini barangkali boleh diaplikasikan dalam keseluruhan kehidupan kita di peringkat individu dan kolektif, baik dalam aspek sosiobudaya, ekonomi dan sebagainya.

Banyak contoh yang boleh diberikan dalam aspek-aspek ini yang jelas kelihatan bahawa Islam sering mengawal kebebasan manusia dan sering pula menghubungkannya dengan tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Dalam bulan Ramadan yang lalu umpamanya, manusia yang diberikan kebebasan untuk makan minum yang halal pada bila-bila masa sahaja yang mereka mahu di luar bulan tersebut, tetapi makanan dan minuman yang halal itu juga telah diharamkan untuk dimakan pada bulan Ramadan mulai dari waktu imsak sehingga terbenam matahari.

Pengharaman ini dibuat untuk mengawal manusia supaya tunduk kepada satu peraturan yang mempunyai hubungan dengan tanggungjawab bagi mematuhi perintah Allah s.w.t.

Matlamat Islam adalah untuk mendidik manusia supaya mempunyai disiplin yang tertentu dalam menguruskan dirinya ketika berhadapan dengan tuntutan nafsu badani mereka, dan sentiasa bertanggungjawab terhadap kewajipannya sebagai hamba Allah.

Daripada perkara yang senang difahami begitu, dapatlah kita membandingkannya dengan hal-hal lain yang lebih besar implikasinya kepada masyarakat umum kerana isu-isu ini sebenarnya agak berbeza dalam ukurannya di antara masyarakat yang beragama dengan masyarakat yang tidak beragama, masyarakat Barat dan Timur, malahan antara budaya dan cara hidup sekumpulan manusia dengan kumpulan yang lain.

Justeru tujuan kita hendak memperkenalkan mata pelajaran hak asasi manusia kepada para pelajar kita menjadi lebih baik sekiranya pelajaran itu dapat diolah mengikut nilai, budaya dan agama kita sendiri.

Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang hal ini umpamanya adalah sesuai untuk menjadi panduan umum manusia dari segi-segi yang tertentu, tetapi di bawah peruntukan-peruntukan lain, mungkin diperlukan peraturan tempatan yang lebih sesuai dengan sesebuah masyarakat.

Saya tidak fikir apabila diberi kebebasan beragama atau memilih agama kepada individu maka kita tidak harus lagi mempunyai peraturan yang tertentu kepada orang yang hendak menukar agama atau memeluk agama lain. Hal ini sebenarnya mempunyai hubungan dengan tanggungjawabnya untuk menjaga agamanya sendiri.

Dalam ajaran Islam, hak individu ada kalanya haruslah dileburkan untuk hak umum, malah hak umum haruslah diberikan keutamaan di atas hak individu. Orientasi Islam lebih kuat kepada kehidupan kolektif dan kepentingan umum daripada kepentingan individu.

Keharmonian dan kelangsungan umat Islam di negara kita menuntut supaya setiap kanak-kanak yang dilahirkan di kalangan ibu bapa Islam mestilah berterusan menjadi Muslim dan tanggungjawabnya ialah menjaga agamanya dan keturunannya pula.

Kalau kebebasan beragama seperti yang diamalkan di Barat dipopularkan di kalangan anak-anak kita, maka mereka tidak akan merasa komitmen yang kuat untuk terus beragama Islam.

Mereka akan merasakan bahawa dalam hal beragama, sebagai individu mereka mempunyai kebebasan mutlak untuk memilih apa saja agama berdasarkan deklarasi umum yang dibuat oleh badan antarabangsa yang diiktiraf dunia.

Pendeknya dalam membicarakan isu hak asasi manusia, penilaian dan pengukurannya sering berbeza-beza di antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Sama halnya ketika kita membicarakan isu globalisasi sekarang ini, kita tidaklah seharusnya meleburkan nilai dan budaya kita kerana menerima gagasan globalisasi sepenuhnya.

Kita masih mempunyai jati diri, budaya hidup, nilai dan ideologi agama sendiri. Demikian jugalah halnya ketika kita membicarakan isu hak asasi manusia, kita haruslah membezakan hak individu dan masyarakat, hak agama dan moral yang menjadi kriteria penting dalam memberikan kebebasan kepada manusia.

Agama Islam jelas memberi panduan untuk kesejahteraan manusia di dalam sesebuah negara, iaitu patuh kepada Allah, Rasul dan pemerintah. Ketiga-tiga institusi ini mempunyai undang-undang dan peraturan yang seharusnya dipatuhi.

Oleh itu tidak ada satu undang-undang lain yang boleh menjustifasikan satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Sekiranya undang-undang negara tidak membenarkan perhimpunan tanpa permit atau berdemonstrasi secara haram diadakan oleh mana-mana pihak, maka tindakan itu tidak seharusnya dilakukan oleh sebarang pihak atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Pendeknya kebebasan manusia atas nama hak asasinya, sama ada seks, agama dan sebagainya masih mempunyai peraturan dan undang-undangnya yang tersendiri, dan hal inilah yang harus ditekankan, terutamanya ketika kita bercadang untuk mengajarnya kepada para pelajar kita.

No comments: