Friday, June 8, 2007

Menjaga lidah dan tingkah laku

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
DUA perkara penting yang sering diperingatkan Islam kepada manusia supaya menjaga dan memelihara dengan baik ialah penggunaan lidah dan tingkah laku.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada semua orang iaitu sekiranya mereka beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka hendaklah ia mengeluarkan tutur kata yang baik, dan sekiranya tidak ada sesuatu yang baik yang hendak diperkatakannya, maka hendaklah ia berdiam diri sahaja.

Pesanan ini menekankan tentang kepentingan manusia menjaga tutur katanya supaya tidak mengucapkan sesuatu yang buruk dan menyakiti hati orang lain, kerana tutur kata yang tidak baik akan membawa kepada krisis lain yang boleh menimbulkan permusuhan, kekacauan dan ada kalanya membawa kepada pertumpahan darah dan melibatkan nyawa manusia sendiri.

Maka dengan menjaga lidah dan tutur kata, manusia akan dapat menjamin ketenteraman, perdamaian dan kesejahteraan masyarakat mereka sepanjang masa.

Dalam konteks inilah Rasulullah s.a.w berpesan supaya menjaga lidah, maka tentulah amat diharapkan bahawa manusia juga haruslah menjaga tingkah laku dan perbuatannya agar tidak mengganggu dan melampaui batas sehingga menyentuh hak dan maruah orang lain dengan perbuatan dan gerak geri fizikalnya sendiri.

Nilai dan adab yang murni ini bagaimanapun kelihatan amat terhakis di dalam masyarakat manusia pada zaman ini. Pengaruh kebendaan dan nafsu manusia yang semakin meluap-luap pada masa kini telah berjaya mengetepikan sifat sopan santun, adab susila pertuturan dan perbuatan mereka yang kelihatan semakin ganas dan berterus terang menaburkan kata-kata yang buruk, jijik, umpatan dan celaan yang melampau.

Orang-orang tertentu kini kelihatan tidak mementingkan lagi adab sopan dalam pertuturan dan kelakuannya kerana mereka pada masa ini sering bersaing dengan hebatnya di dalam berbagai-bagai persaingan hidup dengan secara yang amat cepat dan pantas sekali.

Di bidang ekonomi manusia berlumba-lumba mencari peluang untuk diri sendiri, di dalam bidang politik juga orang bersaing dengan hebatnya untuk mendapatkan kuasa, maka demikianlah juga di dalam bidang kehidupan yang lain, manusia sering lupakan diri dan maruahnya semata-mata kerana mengejar sesuatu yang dirasakan perlu dikejarnya dengan cepat, supaya dia terlebih dulu dapat merebutnya untuk dirinya sendiri.

Lihat saja ketika kita menghadapi persaingan dan perebutan kuasa di negara kita semasa pilihan raya yang lalu. Saban waktu dan saban hari, siang dan malam, kita dapat mendengar ceramah dan ucapan yang dipenuhi dengan kata-kata liar dan amat menyakitkan telinga mendengarnya.

Tuduhan dan hasutan yang tidak mengandungi kebenaran. Kata-kata dalam bentuk fitnah dan tohmahan, maki hamun yang biadab, dan berbagai-bagai longgokan sampah sarap yang dijelmakan di dalam kepetahan berbicara dan bercakap dan dimiliki oleh orang-orang yang amat pandai bermain dengan kata-kata dan menguasai bidang pidato.

Semua peringkat masyarakat tidak terkecuali dari mendengar dan menelannya. Kadang-kadang dalam bentuk lucu dan mengetawakan, tetapi penuh kepedihan dan kepalsuan. Unsur lucu atau jenaka yang diselitkan di dalam ceramah dan pidato politik amat menarik perhatian orang yang mendengarnya, tapi amat memalukan bahawa objek lucu itu kadang-kadang ditujukan kepada musuh politiknya secara yang amat sinikal dan hina, malah menyentuh keturunan dan nenek moyang seseorang yang tidak ada kaitan dengan sesuatu yang cuba diutarakan dalam lawak jenakanya yang menyakitkan itu.

Selesai pilihan raya saya memikirkan bahawa perkara itu akan reda dan tenang kembali, terutamanya menjelangnya bulan Ramadan, ketika kita diperintah dan diberi ingatan supaya berpuasa dan menahan nafsu, termasuk menjaga lidah dan tutur kata.

Tetapi dari laporan yang tersiar dan diperkatakan di sana sini, ternyata bahawa banyak juga kata-kata kesat dan tuduhan-tuduhan liar yang dikeluarkan di dalam bulan puasa itu, iaitu di dalam ceramah dan tazkirah yang diselang seli di antara sembahyang tarawih.

Hal ini berlaku di surau dan di masjid, yang dihadiri oleh semua golongan masyarakat Muslimin dan muslimat, tua dan muda serta kanak-kanak.

Teringat juga saya selepas pilihan raya yang lalu, iaitu setelah keputusannya telah diketahui umum, dan persidangan pertama Dewan Rakyat dimulakan di hari baik bulan baik.

Agenda pertama yang dilihat di dalam persidangan pertama Dewan itu ialah pertelagahan mulut yang tidak mengikut lunas-lunas kesopanan dan adab orang Islam dan Melayu, atau orang Malaysia yang beretika.

Dewan Rakyat bertukar menjadi medan pertelagahan yang penuh permusuhan seolah-olah manusia sekarang sudah kembali ke zaman yang tidak bertamadun.

Adalah diakui bahawa manusia memang berbeza pandangan dan pendirian, bebas membuat pentafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan betul baginya, tetapi manusia juga mempunyai akal dan pertimbangan secara bertamadun dan berperadaban.

Ilmu dan tamadun ini sebenarnya yang seharusnya dapat membentuk manusia menjadi manusia rasional dan berakal budi.

Saya tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya di dalam senario negara kita selepas ini, termasuk di dalam sidang Parlimen pada bulan hadapan.

Apakah perbincangan dan cara berdebat dan berpolimik akan diwarnai dengan adab sopan, kata-kata yang berhikmah dan berilmu, atau sebaliknya akan sekali lagi dicemari oleh kata-kata dan pertuturan yang tidak tertib dan kasar, perang mulut yang tidak sihat dan sebagainya.

Sekali lagi kita harus ingat, bahawa apa yang dilakukan oleh generasi dewasa, terutamanya yang telah dianggap matang, idola yang dipuja, contoh ilmuwan dan politikus yang unggul, peribadi dan personaliti yang terpilih, pemidato dan penceramah yang popular dan dikagumi ramai, semua golongan ini menjadi contoh kepada masyarakat termasuk anak-anak muda yang bakal mengambil tempat generasi kini.

Oleh itu tunjuklah contoh dan teladan yang baik kepada mereka, terutamanya, dalam mengeluarkan kata-kata dan dalam lagak kelakuan kita.

Kalau tidak prihatin kepada hal itu pun, ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w seperti yang disebutkan di atas iaitu manusia haruslah berhati-hati bercakap, berbicara dan bertindak, kerana hal itu merupakan amanah Allah s.w.t yang harus dipergunakan sebaik-baiknya sebagai mensyukuri nikmat-Nya yang amat berharga dan bernilai itu.

Semoga kita dapat menyaksikan lebih banyak forum, perdebatan, perbincangan dan perbicaraan yang berbentuk ilmiah, toleransi, beretika, bersopan, beradab dan bertamadun.

No comments: