Friday, June 8, 2007

Menilai diri di Aidilfitri

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KETIKA tulisan ini muncul di dalam ruangan ini, umat Islam sedang menunaikan hari terakhir ibadat puasa Ramadan pada tahun ini. Esok menandakan hari bagi kita merayakan berakhirnya ibadat wajib yang kita lakukan kepada Allah s.w.t.

Berakhirnya puasa tahun ini ertinya bermulalah pula satu titik sejarah baru di dalam kehidupan kita untuk kita layari menjelang bulan Ramadan yang akan datang, dan kita tidak tahu sama ada kita akan dapat menyambutnya lagi seperti tahun ini atau tidak, kerana segala-galanya terserah kepada kekuasaan Allah s.w.t yang menentukannya.

Titik sejarah yang berlaku di dalam bulan dan minggu ini nampaknya amat penting sekali bagi menggerakkan pemikiran dan perasaan kita. Tahun baru 2000 baru saja menjelang, dan kini menjelang pula Hari Raya.

Tidak lama dulu kita digerakkan dengan peristiwa politik negara dengan berlangsungnya pilihan raya yang menyaksikan berbagai-bagai ragam dan tingkah laku manusia. Namun apa pun yang berlaku, maka kita sebagai orang Islam sewajarnyalah mengambil iktibar dan pelajaran dari seluruh peristiwa dan perubahan yang berlaku di sekeliling kita dari semasa kesemasa.

Khusus untuk Hari Raya, satu tuntutan Islam yang wajib kita lakukan ialah pembersihan diri dari dosa kepada Allah s.w.t dan dosa sesama manusia. Mungkin secara sedar atau tidak telah banyak kesalahan dan dosa yang kita lakukan selama ini.

Mungkin telah banyak tutur kata dan tingkah laku kita selama ini yang telah melukakan perasaan orang atau merosakkan banyak peribadi yang tidak bersalah. Oleh itu amat baiklah sekali setiap individu menilaikan dirinya. Jika berdosa kepada Allah s.w.t maka surutlah kembali, bertaubatlah dan terus berazam untuk kembali ke jalan bersih dalam baki sisa-sisa hidupnya yang akan datang.

Sekiranya seseorang itu merasakan bahawa ia sememangnya mempunyai tanggungan dosa kepada sesama insan, maka ia seharusnya dapat mencari perdamaian dan kemaafan bersama, supaya kehidupan masing-masing seterusnya menjadi jernih dan luhur kembali.

Kerjernihan dan keluhuran hidup di antara individu akan memupuk pembangunan masyarakat manusia yang harmoni dan aman damai, terutamanya di kalangan masyarakat Islam yang terlalu banyak mengalami keretakan dan perpecahan akibat persaingan yang tidak sihat di dalam bidang ekonomi, politik dan sebagainya.

Satu asas muhasabah atau cermin diri yang amat penting bagi setiap individu dan kelompok manusia mengambilnya sebagai ukuran diri pada pandangan saya adalah tertera dengan jelasnya di dalam al-Quran yang menerangkan beberapa kod perilaku yang harus dipatuhi dengan bersungguh-sungguh. Perhatikanlah ayat-ayat yang berikut dari Surah al-Hujurat:

* Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) itu lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan).

* Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri (sesama mukmin)

* Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk

* Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa

* ... Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah mengumpat sesama sendiri. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati?

Ayat 11 dan 12 dari surah yang tersebut itu jelas memberi beberapa kod etika yang amat penting dihayati dan diamalkan bukan hanya oleh orang Islam, malah oleh manusia sejagat untuk mencipta keharmonian dan kedamaian hidup. Manusia atas sifatnya makhluk yang mempunyai perasaan dan emosi semuanya tertakluk kepada rasa marah, dengki, dendam, sombong, dan berbagai-bagai sifat kebinatangan lainnya yang timbul dari semasa ke semasa di dalam sejarah hidupnya.

Maka di sinilah datangnya ajaran Allah s.w.t sebagai panduan kepada manusia dalam menangani perasaan dan emosinya itu.

Jadi dalam menghayati detik-detik Ramadan dan Syawal yang mula ini, dengan rasa syukur dan tawaduk kepada Allah s.w.t, dan rasa damai serta tenang di dalam hati nurani masing-masing, maka kita sebagai orang yang beriman seharusnya cuba bertanya diri sendiri apakah ayat-ayat di atas benar-benar memberi kesedaran dan pengajaran kepada kita, atau kita hanya membaca dan memahami maknanya, tanpa cuba kita amalkannya.

Apakah kita tidak pernah mengumpat orang, mengata dan memfitnah orang yang tidak berdosa? Apakah kita tidak pernah melabelkan orang dengan gelaran-gelaran yang keji? Apakah kita tidak pernah menaruh sangka buruk dan prasangka jahat kepada orang lain? Apakah kita tidak pernah mengungkit-ungkit kesalahan orang yang sengaja kita ada-adakan?

Kalau pertanyaan di atas dijawab dengan amanah dan jujur, maka kesilapan dan kesalahan sendiri akan terserlah, walaupun hanya sekadar seutus benang. Jadi eloklah maaf memaaf diminta dan diberi, dan pertingkatlah perilaku dan kod akhlak dalam kehidupan seterusnya. Ingatlah bahawa tidak ada manusia yang maksum, malah seperti yang diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa semua manusia tetap melakukan kesalahan, tetapi orang yang paling baik di kalangan mereka ialah orang yang surut ke pangkal, iaitu yang bertaubat.

Saya ucapkan selamat Hari Raya kepada seluruh pembaca, ampun maaf sekiranya terdapat sesuatu yang mengguriskan perasaan semua.

No comments: