Friday, June 8, 2007

Kekerasan cemarkan imej Islam

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MASALAH yang sering dihadapi oleh umat Islam dalam memprojekkan agama Islam sebagai agama perdamaian, dinamik, progresif dan selari dengan perubahan masa dan zaman ialah realiti yang wujud di dalam masyarakat Islam dan di negara-negara Islam yang pada umumnya agak bertentangan dengan gambaran yang hendak diprojekkan itu.

Perselisihan di antara umat Islam sendiri yang kadang-kadang membawa kepada keadaan yang amat serius seperti pertumpahan darah dan pertempuran bersenjata, perpecahan dan perbezaan ideologi tertentu di antara ketua-ketua negara Islam yang didorong oleh sebab-sebab politik, kepentingan ekonomi dan sebagainya juga merupakan unsur-unsur yang seolah-olah menafikan matlamat kita untuk menggambarkan Islam sebagai agama perpaduan, agama tamadun dan sebagainya.

Sungguhpun kita mempunyai banyak alasan untuk membersihkan nama agama dari perbuatan-perbuatan negatif yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan Islam sehingga mencemarkan agama kita, atau kita juga dapat memberikan justifikasi kenapa umat Islam yang bertindak demikian, umum apa yang berlaku sering dilihat dari kejadian lahirnya yang amat mudah diseleweng dan diprojekkan sebagai gambaran sebenar Islam.

Hal ini sering mencemarkan nama baik Islam dan sering memberikan kesan yang amat negatif kepada perjuangan agama walaupun kita dapat menjelaskan tentang unsur-unsur perdamaian dan tamadun agama kita dengan bukti-bukti yang jelas dari sejarah dan tamadun Islam itu sendiri.

Kita umumnya mengetahui bahawa banyak kumpulan yang mendakwa berjuang di atas nama Islam, tetapi mereka sebenarnya memperjuangkan cita-cita mereka kerana tujuan-tujuan yang tertentu, sama ada untuk tujuan politik, ekonomi atau lain-lain lagi.

Perjuangan ini digambarkan sebagai perjuangan keagamaan, dengan memakai label-label yang tertentu, tetapi tujuannya adalah di sebaliknya.

Jika dikaji beberapa kumpulan radikal yang mendakwa mengasaskan perjuangan mereka di atas ajaran agama di arena antarabangsa, maka ternyata bahawa matlamat mereka sebenarnya adalah amat jauh menyimpang daripada perjuangan agama Islam yang sebenarnya.

Malah di antara kumpulan-kumpulan itu terdapat golongan yang akan menghalalkan cara yang ganas dan tidak bertamadun semata-mata kerana matlamatnya yang baik pada anggapan mereka.

Perjuangan begini banyak sekali membangkitkan emosi orang ramai, terutamanya para pengikutnya yang fanatik, atau yang tidak dapat memahami tujuan sebenar perjuangan yang berlandaskan Islam dan kesucian Islam.

Media Barat sering mengeksploitasikan keadaan ini untuk memberi gambaran yang negatif tentang Islam, iaitu dengan membesar-besarkan isu perselisihan etnik dan agama di dalam masyarakat Islam, atau satu dua insiden keganasan yang melibatkan orang Islam.

Saya percaya peristiwa penculikan yang dilakukan oleh kumpulan yang dipanggil sebagai kumpulan pemisah Islam Filipina yang masih belum selesai itu merupakan satu bahan berita yang amat besar menyumbang ke arah gambaran imej Islam yang lebih parah dan buruk.

Peristiwa-peristiwa lain seperti yang berlaku di Palestin umpamanya juga sering digambarkan sebagai gerakan keganasan yang melampau tanpa melihat kepada keganasan fizikal dan politik serta ekonomi dari penjajahan Zionis sendiri.

Hal yang sama dapat dilihat dari keadaan keganasan yang berlaku di tempat-tempat lain di dunia yang rakyat Islam amat tertindas dan diperlakukan sebagai hamba abdi termasuk di benua Eropah sendiri.

Krisis umat Islam di tempat-tempat tersebut telah berlarutan begitu lama tanpa mendapat sebarang penyelesaian yang adil dan saksama. Namun yang dianggap bersalah ialah orang-orang Islam, dan dengan ini sekali gus dianggap agama Islam sebagai agama yang radikal dan antiperdamaian.

Namun begitu kita sebagai orang Islam yang beriman dan bertaqwa, bertamadun dan berilmu, tentulah tidak dapat menghalalkan keganasan dan kekerasan dalam memperjuangkan sesuatu idealisme agama baik di dalam bidang politik, ekonomi, keadilan sosial dan sebagainya.

Jalan-jalan lain tentulah masih banyak terbuka untuk memperjuangkan idealisma dan cita-cita kita untuk menegakkan agama dan kedaulatannya di atas muka bumi ini.

Kalau perjuangan kita boleh dianggap sebagai syafaah di dalam istilah agama, maka Allah s.w.t berfirman di dalam konteks ini:

''Barang siapa yang memberikan syafaah yang baik, nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripada-Nya dan barang siapa yang memberikan syafaah yang buruk, nescaya ia akan memikul bahagian (dosa) daripada-Nya, Allah Maha Kuasa atas segala-galanya. (Al-Nisa', ayat 85).

Mungkin ayat ini dapat memberikan isyarat kepada niat dan perbuatan kita, iaitu sama ada baik atau buruk, dan balasan yang akan diterimanya daripada Allah s.w.t tentang perbuatannya. Oleh itu seseorang atau sesuatu kumpulan itu akan menyedari dan mengetahui sama ada perbuatannya ikhlas kerana Allah s.w.t atau sebaliknya, dan sama ada cara dan jalan yang diambilnya itu benar-benar baik atau buruk dari perspektif ajaran agama.

Keganasan dan kekerasan bagaimanapun adalah sesuatu yang tidak disukai Allah s.w.t kecuali di dalam keadaan-keadaan yang amat tertentu. Tetapi sayangnya gambaran yang terpahat di mata dunia pada hari ini bahawa setiap perjuangan agama itu adalah perjuangan yang berlandaskan kekerasan. Kekerasan dan keganasan pada umumnya dianggap senama dengan perjuangan agama.

Maka hal inilah yang saya rasa masih terpelihara di negara kita, sehingga dunia umumnya masih dapat melihat sifat dan sikap toleransi kita di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama, termasuk juga di dalam perpecahan ideologi politik di antara umat Islam sendiri. Kita belum sampai ke tahap mengangkat senjata untuk membunuh sama sendiri, atau menggunakan kekerasan melampau secara fizikal untuk mewujudkan suasana yang tidak tenteram di dalam masyarakat kita.

Namun begitu bibit-bibit itu sebenarnya telah mulai tumbuh di dalam negara kita, unsur-unsur kekerasan dalam memperjuangkan sesuatu kes, terutamanya kes agama, mulai menampakkan tanda-tanda yang negatif itu, sekurang-kurangnya melalui serangan-serangan pengucapan, fitnah, maki hamun dan kata nista di antara sesama kita.

Saluran elektronik yang diperjuangkan secara meluas oleh pihak-pihak yang tertentu terang-terang bertentangan dengan adat tradisi budaya dan agama kita yang menuntut umatnya bersikap toleransi, sabar dan beradab. Pemikiran dan sikap agresif yang dicetuskan seolah-olah menjadi trend terkini di dalam masyarakat kita yang selama ini terkenal dengan budi bahasa dan adab sopan yang lembut dan terpuji. Malah yang mendukacitakan bahawa hal ini lahir secara menonjol atas nama agama.

Oleh itu sebelum terlambat, maka kita juga harus mengawasi masyarakat kita, agar perjuangan kita untuk menegakkan agama kita, tidak dianggap satu lagi perjuangan agama yang diasaskan di atas kekerasan. Hal ini penting bukan sahaja untuk menjamin kejayaan perjuangan kita, tetapi dalam membentuk budaya dan budi bahasa kita yang tulen, penuh tatasusila dan tradisi peninggalan bangsa kita yang bersopan dan berbudi.

No comments: