Friday, June 8, 2007

Belajar menerima perbezaan pandangan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MANUSIA dijadikan Allah s.w.t. amat bersifat individualistik. Ia sentiasa mempunyai perasaan dan bersikap mementingkan dirinya sendiri.

Oleh itu ia merasakan bahawa sebarang apa yang dilakukan dan difikirkannya maka itulah yang benar dan betul, orang lain adalah salah.

Inilah sikap dan pendirian manusia yang kadang-kandang mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat bahawa dirinya tidak selama-lamanya betul seperti yang disangkakannya.

Manusia yang bersifat terlalu sombong dan fanatik pula tidak dapat menerima perubahan baru yang menjelma di dalam kehidupannya, terutamanya perubahan yang dirasakannya mencabar ego dan tradisinya, atau yang kelihatan menafikan satu kefahaman yang telah menjadi darah dagingnya.

Dalam konteks inilah manusia jahiliah tidak dapat menerima agama dan ajaran Allah s.w.t. yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

Al-Quran menjelaskan tentang hal ini bahawa apabila dikatakan kepada mereka supaya mengikuti apa yang diturunkan kepada mereka, iaitu ajaran al-Quran, maka mereka menjawab dan berhujah bahawa mereka hanya akan menurut apa yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka. Surah al-Baqarah ayat 170).

Dalam keadaan ini juga Allah s.w.t. menerangkan kepada Rasul-Nya dengan firman-Nya; Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau suka, tetapi Allah memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia mahu (Surah al-Qasas ayat 56)

Demikianlah kita dapat melihat asas penting yang diajarkan agama kepada kita tentang sifat ego dan sombong manusia yang membentuk pendirian fanatiknya yang melulu, dan bagaimana sifat bongkak manusia itu sering menghalangnya daripada menerima perubahan baru di dalam kehidupannya.

Sebarang pandangan dan pendapat baru yang datang dari orang lain juga sering ditolaknya, kadang-kadang tanpa usul periksa lagi.

Maka dalam hal ini Allah s.w.t. memperingatkan manusia tentang kepelbagaian ragam dan sifat manusia yang harus diakui, di antaranya ialah orang yang dikenali sebagai fasik.

Maka dalam keadaan ini Allah menerangkan bahawa sekiranya orang fasik ini menyampaikan sesuatu berita maka siasat dan telitilah dengan sebaik-baiknya. (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Peringatan ini juga menjelaskan tentang kepelba-gaian motif manusia dalam menyampaikan sesuatu berita atau mengedarkannya di dalam masyarakat, iaitu bukan semuanya bersifat ikhlas dan jujur, benar dan betul, malah dengan penelitian dan pemeriksaan yang teliti sahaja orang akan dapat membezakan di antara yang benar dan salah.

Hal ini merupakan satu lagi pengajaran daripada Allah s.w.t. supaya kita sentiasa bersiap sedia dengan ilmu pengetahuan dan hikmah yang tinggi untuk menapis segala sesuatu yang kita baca, dengar atau tonton. Sekali lagi dalam konteks ini manusia tidak seharusnya bersifat fanatik melulu, dengan menolak atau terus menerima segala sesuatu yang disampaikan kepadanya.

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menghadapi masyarakat manusia yang pelbagai ragam dan sifatnya. Baginda tidak diterima sebagai Rasulullah s.a.w., malah baginda telah dipanggil sebagai penyair dan orang gila, satu penghinaan yang tidak dapat diluahkan oleh manusia yang siuman dan bertamadun.

Tuduhan dan gelaran begitu hanya boleh diucapkan oleh orang-orang yang amat fanatik dan jahil, atau didorong oleh perasaan benci yang tidak berasas sama sekali.

Berdasarkan hal ini jugalah saya menulis tentang tajuk pemulauan akhbar oleh beberapa kalangan yang saya rasa tidak perlu dilakukan secara melulu begitu seperti yang telah disiarkan di dalam ruangan ini pada 10 Februari lalu.

Apa yang saya kemukakan adalah merupakan pandangan saya dalam usaha membuka pandangan dan fikiran yang lebih luas bagi pembaca memilih bahan bacaan dan isi kandungan yang dibacanya dengan harapan agar pembaca tidak sentiasa bersikap prejudis terhadap sesuatu bahan bacaan secara umum.

Semua akhbar dan media, sama ada media nasional dan utama, tabloid dan organ parti politik yang tertentu, tidak selamanya akan dapat menyiarkan semua berita yang dapat memberikan kepuasan kepada semua pembaca dan cita rasa semua individu yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza, terutamanya fahaman politik kepartian masing-masing.

Adakah kerana itu maka kita harus memulaukan semua akhbar dan berita? Tidakkah lebih baik lagi kita membaca dengan pertimbangan dan sering berhati-hati agar apa yang dipaparkan itu tidak seharusnya diterima atau ditolak semuanya?

Yang lebih diutamakan dalam konteks ini ialah bagaimana kita mendidik dan membuka peluang yang lebih luas kepada para pembaca, terutamanya dari kalangan generasi muda, agar dalam memilih bacaan akan sentiasa menggunakan pemikiran yang lebih kritikal dan sering membuka mindanya dengan membuat analisis terhadap bahan bacaannya dari beberapa sudut pandangan yang berbeza.

Hukuman memulaukan media berdasarkan bahan pengisian politik kepartian semata-mata adalah sama dengan menutup pandangan kita kepada pengisian lain yang tentunya mempunyai nilai ilmu pengetahuan yang melampaui batas-batas politik sempit kepartian sahaja.

Pembaca yang berhikmah tentulah tahu memilih dan meneliti apa yang dibacanya, iaitu kalau umpamanya terbaca berita mengatakan Menara Kuala Lumpur telah retak dan menunggu masa untuk runtuh maka ia haruslah meneliti berita ini betul atau tidak, kerana kalau betul tentulah pengunjung tidak akan mengunjungi Menara tersebut, dan sekiranya menara itu belum runtuh malah masih terus dikunjungi pelancong, maka ia dapat berfikir dan menimbang sendiri apakah motif sebenar di sebalik berita itu.

Sebab itulah saya katakan di atas bahawa kita haruslah belajar menerima pandangan orang lain, dan dalam menerima pandangan orang lain maka kita haruslah bersikap terbuka tetapi tahu pula memilih berdasarkan pemikiran yang rasional dan ilmu serta hikmah yang ada pada kita, di samping hujah dan bukti yang kukuh di sekeliling kita. Tentulah tidak bijak sekali jika kita bertindak membakar kelambu kerana marahkan nyamuk seekor yang menggigit kita.

No comments: