Friday, June 8, 2007

Fakta ekonomi Melayu mencemaskan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MASYARAKAT sekarang sering melihat kepada fakta dan angka dalam membicarakan isu-isu yang mempunyai hubungan dengan pembangunan ekonomi. Kadang-kadang dengan melihat kepada angka dan fakta ini barulah kita mengetahui sesuatu kedudukan bagi satu situasi bangsa, etnik, negara dan sebagainya.

Seminar Pelaburan Beretika Menurut Islam: Satu Cabaran yang dianjurkan oleh IKIM pada 13 dan 14 Februari diberitahu juga tentang fakta dan angka ini di dalam ucaptama Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Sarji.

Pendedahan fakta dan angka yang dibuatnya itu memang amat mencemaskan dan meninggalkan banyak tanda soal yang amat sukar diberikan jawapan, malah menjadikan kita berada dalam kebingungan, kenapakah hal itu berlaku sedangkan peluang untuk maju sentiasa terbuka untuk semua.

Pemilikan modal saham bumiputera hanya sekadar 19.4 peratus pada tahun 1999. Bumiputera hanya memiliki 20 peratus syarikat sahaja daripada keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Syarikat, tetapi kebanyakan syarikat bumiputera itu pula mempunyai saiz ekuiti yang kecil berbanding dengan syarikat bukan bumiputera dan syarikat asing.

Angka-angka ini telah sering dinyanyi-nyanyikan sebenarnya oleh banyak pihak. Tetapi ia mungkin hanya menjadi sekadar nyanyian tanpa terdapat usaha yang mantap dan kukuh untuk memperbaikinya, terutamanya oleh para peniaga dan pelabur bumiputera yang keseluruhannya terdiri daripada orang Islam, iaitu umat yang memahami firman Allah s.w.t yang menyebut supaya - Berusahalah kamu untuk mendapat ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t di akhirat nanti, namun janganlah dilupakan pula habuan kamu di dunia ini.

Rata-rata orang Islam memahami maksud ayat ini, iaitu untuk menyepadukan usaha untuk akhirat dan dunia, berusaha bersungguh-sungguh untuk kedua-dua dunia itu, malah untuk merebut segala peluang dan kesempatan yang disediakan bagi dimanfaatkan untuk membina kesejahteraan dunia dan akhirat.

Tetapi angka-angka yang diberikan itu walaupun nampaknya amat bersifat keduniaan, namun ia amat penting untuk membina kekuatan umat bagi mencapai kecemerlangan di akhirat.

Malah orang Islam juga sering menyebut dan memahami dasar Islam bahawa dunia ini merupakan ladang untuk akhirat. Apakah gunanya ladang itu disediakan Allah s.w.t andainya umat Islam tidak pandai menghidupkannya dengan segala tanaman dan hasil yang baik dan bermutu.

Nampaknya samalah seperti yang saya tuliskan di dalam ruangan ini minggu lalu, bahawa kita umat Islam sering berada dalam kebingungan dan kehairanan seperti keadaan yang sering digambarkan dalam bangsawan dan cerita-cerita legenda Melayu, iaitu kita sering menjadi pelakon yang hanya merintih dan mengadu nasib, dirundung malang setiap waktu seperti malang dan nasib yang menimpa Pak Kadok.

Kalau pada minggu lalu kita melihat dengan rasa cemas dan bimbang tentang kelemahan pelajar-pelajar Melayu di institut pengajian tinggi, maka pada minggu ini kita melihat kepada perangkaan yang mendukacitakan tentang kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi.

Kalau ditinjau kepada peluang-peluang yang telah dibuka kepada rakyat untuk meningkatkan ekonomi dan pelaburan yang berasaskan Islam, maka kita dapat melihat peluang tersebut agak banyak tersedia di dalam sektor perbankan, pengantara kewangan bukan bank seperti syarikat takaful, tabungan, kredit perumahan, Tabung Haji, pengurusan zakat, wakaf dan sebagainya.

Selain daripada itu terdapat pula pasaran kewangan luar persisir, tukaran asing, sekuriti, saham unit amanah dan sebagainya.

Ketiga-tiga kategori sistem kewangan ini mempunyai lembaga syariahnya sendiri yang telah berusaha untuk memberikan input syariah agar ia sesuai dengan nilai dan ajaran Islam, supaya dengan itu orang Islam mempunyai alternatif dalam menjalankan aktiviti perekonomian dan kewangan mereka berdasarkan prinsip Islam.

Bagaimanapun peratusan dan perangkaan yang didedahkan sekali lagi menggambarkan keadaan yang mundur dan lemah.

Jumlah aset perbankan Islam umpamanya adalah kurang daripada lima peratus daripada jumlah keseluruhan aset sistem perbankan. Aset kumpulan wang takaful hanya merupakan 2.2 peratus daripada keseluruhan aset kumpulan wang syarikat insurans pada tahun 1999.

Oleh itu kelemahan ekonomi umat Islam di negara kita samalah juga dengan kelemahan pencapaian pelajar-pelajar Islam di peringkat universiti yang saya bicarakan pada minggu lalu.

Penyelesaiannya adalah pada tangan kita sendiri. Malah menurut satu e-mel yang saya terima sebagai komen kepada tulisan saya minggu lalu, penulisnya mengatakan bahawa sebahagian besar usaha dan daya ikhtiar untuk mengatasi kelemahan itu adalah terletak di atas bahu para pelajar kita sendiri, terutamanya dari segi menyusun strategi pembelajaran dan menentukan jadual keutamaan dalam kehidupannya sebagai siswa.

Hal yang sama juga boleh dijadikan formula dalam meningkatkan ekonomi orang Islam, iaitu memberikan keutamaan dalam menyusun agenda keluarga, masyarakat dan negara. Malahan setiap individu seharusnya menyedari kedudukannya sendiri dan berusaha untuk kemajuan dirinya terlebih dahulu dengan segala peluang yang disediakan.

Sungguhpun kekuatan ekonomi dan pelaburan yang menjadi matlamat kita, namun seperti yang ditegaskan, nilai moral dan etika merupakan teras bagi kemantapan aktiviti itu.

Berita-berita yang disiarkan di dalam media tentang penyelewengan dan salah guna kuasa, termasuk oleh pengarah-pengarah syarikat, menggambarkan bagaimana rapuhnya nilai etika dan moral serta agama dalam diri manusia yang berkuasa.

Rungutan-rungutan tentang kelemahan pentadbiran institusi kewangan dan pelaburan, termasuk institusi yang diamanahkan oleh orang-orang Islam seperti Tabung Haji umpamanya, amat menjejaskan nilai dan etika Islam yang seharusnya menjadi amalan semua orang Islam.

Seperti biasa tugas IKIM ialah menjelaskan isu-isu ini secara ilmiah dan strategik, mengemukakan usul dan pandangan serta cadangan, maka amatlah diharapkan bahawa pemberian maklumat dan pengetahuan ini akan dapat dijadikan panduan oleh pihak-pihak yang berkuasa dan berwibawa.

No comments: