Friday, June 8, 2007

Tidak bijak memulau akhbar

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
JIKA orang-orang Islam benar-benar melaksanakan perintah agama dalam menambahkan pengetahuan dengan membaca, iaitu mengikut perintah yang diwahyukan Allah s.w.t kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w melalui ayat pertama yang diturunkan kepada baginda, maka orang-orang Islam merupakan orang yang paling banyak pengetahuannya.

Malah jika perintah Allah itu dipatuhi dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh orang-orang Islam, maka peratusan buta huruf di dalam masyarakat Islam pastinya amat rendah.

Inilah rahsianya Iqra' di dalam surah al-Alaq yang kita terima daripada Allah s.w.t, yang kita baca berulang-ulang kali dan kita tafsirkan dengan seluas-luasnya sejak turun- temurun.

Tetapi sayangnya semangat iqra', konsep membaca dan menambahkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan hanya menjadi permainan bibir semata-mata dan menjadi slogan dan retorik kosong, kerana kadar buta huruf dan ketandusan ilmu pengetahuan di dalam masyarakat Islam adalah amat tinggi.

Bahan-bahan bacaan di dalam masyarakat Islam sendiri amat berkurangan. Bahan ilmu pengetahuan yang tinggi terpaksa kita terjemahkan dari bahasa lain, bukan dari bahasa orang-orang Islam seperti Arab, Urdu, Turki, Parsi dan bahasa Melayu sendiri.

Tetapi hal ini pun sebenarnya masih boleh diterima, kerana unsur terjemahan adalah merupakan satu cara penambahan ilmu pengetahuan yang baik.

Bagaimanapun dalam keadaan kekurangan bahan bacaan, dan dalam memasuki alaf baru ini pun nampaknya masyarakat kita yang agak terkehadapan di dalam bidang ilmu pengetahuan dan peratusan buta huruf yang agak rendah ini pun terdapat beberapa aliran kemunduran yang dicetuskan oleh beberapa golongan masyarakat kita.

Mereka mempelopori kempen supaya mengambil tinda-kan memulaukan atau memboikot beberapa bahan bacaan yang tertentu, iaitu memulaukan beberapa buah akhbar yang dirasakan menyimpang dari membawa objektif yang mereka mahu, dan yang tidak sesuai dengan bacaan mereka.

Dalam konteks ini, saya teringat ke zaman tahun 70-an dulu iaitu ketika terdapatnya beberapa golongan masyarakat kita yang mengambil tindakan memulaukan televisyen kerana tidak mahu alat itu menjadi alat perosak dengan siarannya yang tidak sesuai dengan nilai-nilai agama atau bertentangan dengan nilai budaya sendiri.

Tindakan membuang peti TV sebenarnya merupakan tindakan membuang satu sumber ilmu yang sering juga memaparkan bahan-bahan ilmu pengetahuan yang baik. Tindakan membuangnya tentulah termasuk di dalam pepatah Melayu yang mengatakan marah seekor nyamuk, kelambu seluruhnya dibakar.

Tindakan memulaukan akhbar juga pada pandangan saya merupakan satu lagi tindakan yang agak ganjil di dalam abad dan alaf baru ini yang lebih berbentuk emosional, kerana tindakan itu tidak pernah dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi, dan tidak mungkin dapat menyampaikan kepada objektif kita yang sebenarnya.

Kita amat kekurangan bahan bacaan, dan kita tidak banyak mempunyai akhbar harian jika dibandingkan dengan masyarakat lain yang lebih banyak menerbitkan bahan-bahan bacaan mereka. Tindakan ini dengan sendirinya merugikan masyarakat pembaca dan menjejaskan pemilihan bahan bacaan yang sepatutnya ditambah dan diperbanyakkan mengikut peredaran masa dan perubahan zaman. Masyarakat sebenarnya memerlukan kepelbagaian bentuk dan corak bahan bacaan dari semasa ke semasa.

Bagi saya tindakan memulaukan akhbar tidak dapat menyelesaikan apa sahaja masalah yang kita alami. Saya rasa banyak orang yang membaca apa sahaja bahan bacaan, termasuk yang tidak disukainya, kerana pembaca yang bijak akan mengetahui apakah yang dibacanya, apa yang sesuai dan tidak sesuai, yang benar dan bohong yang betul dan yang palsu, yang menyeleweng atau tidak, yang baik atau merupakan sampah sarap yang perlu ia lewati sahaja.

Memulaukan TV tempatan juga bererti mengalih pandangan dan pendengaran kepada TV asing, seperti CNN atau UMBC dan BBC. Kalau TV tempatan menyiarkan berita palsu dan tidak sedap pada cita rasa sesetengah orang, apakah CNN atau BBC juga diharapkan dapat memberikan berita yang betul dan sesuai dengan cita rasa semua orang.

Oleh itu, saya rasa tindakan memulau media tertentu tidak lagi sesuai dengan perkembangan minda dan intelek abad dua puluh satu. Apa yang perlu dilakukan ialah menapis dan menimbang dengan segala kebijaksanaan akal yang diberikan Allah s.w.t yang mana patut diterima dan yang mana patut ditolak, yang mana kaca dan yang mana permata.

Sama juga dengan ribuan laman web yang kita saksikan, kita harus tahu yang mana betul dan yang mana palsu, yang mana mutiara dan yang mana sampah sarap yang amat kotor dan menjijikkan.

Yang penting bagi kita ialah bersedia dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan pertimbangan yang sungguh bijaksana dan berhikmah dengan menggunakan akal pemikiran kurniaan Allah s.w.t.

Di dalam al-Quran pun Allah s.w.t mengingatkan kita sekiranya terdapat orang fasik yang membawa berita maka telitilah dan periksalah dengan baik, maka sekarang pun bacalah semua, tapi jangan terima semua dan jangan tolak semua.

Jadilah orang bijak dan dewasa, jangan menjadi seperti kanak-kanak yang melukis gambar di atas tanah yang kononnya gambar bapa kita, kemudian ia memijak-mijaknya, maka kita pun mengambil tindakan yang sama, atau berakhir dengan perkelahian. Sikap ini bukan lagi merupakan sikap kanak-kanak abad 21! Kanak-kanak di abad 21 sudah mampu menguasai komputer. Sudah kenal dengan tetikus dan bijak bermain dengan permainan komputer playstation.

Mereka yang celik komputer inilah yang bakal mewarisi pentadbiran negara. Janganlah nafikan mereka dengan bahan-bahan arus perdana yang maklumat dalam media ini diperlukan bagi kegunaan perbincangan akliah di dalam bilik-bilik darjah.

No comments: