Friday, June 8, 2007

Agama menghalang menderhaka pada negara

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SIKAP menderhaka negara sendiri adalah sifat yang bertentangan dengan ajaran agama Nabi Allah Ibrahim a.s. seperti yang diterangkan oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah, ayat 126 berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud; Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata ''Tuhanku, jadikanlah negaraku ini sebuah negara yang aman, dan kurniakanlah rezeki kepada penghuninya dengan buah-buahan iaitu bagi mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Nabi Allah Ibrahim a.s. di sini memohon Allah SWT memberikan keamanan dan kedamaian kepada negaranya dan memakmurkan penduduknya dengan rezeki yang banyak seperti kesuburan tanah yang menghasilkan buah-buahan untuk dimakan.

Doanya ialah agar negara aman dan makmur, supaya dengan itu penduduknya menjadi manusia yang beriman dan bersyukur, beramal dan beribadat serta berbakti sesama mereka.

Inilah doa seorang nabi yang prihatin terhadap orang lain dan terhadap masa hadapan zuriat dan keturunannya. Semangatnya apabila negara aman dan makmur, maka kehidupan generasinya dan generasi yang akan datang juga menjadi produktif dan sejahtera.

Semangat dan kisah cintakan negara dan keturunan ini bertentangan sama sekali dengan berita yang mengejutkan di negara kita baru-baru ini iaitu yang memberitakan bahawa terdapat kalangan anak watan kita sendiri yang telah menjalankan gerakan di luar negara untuk merosakkan ketenteraman dan kemakmuran negara.

Negara ini kalau boleh hendak dihancurkan dari sudut politik dan ekonominya, biar semua orang menderita dan merasa terseksa, dengan harapan bahawa pada ketika itu sesuatu perubahan akan berlaku dengan pertolongan pihak luar yang menolong mengucar-ngacirkan kesejahteraan negara ini.

Perbuatan ini sebenarnya amat bertentangan dengan tatasusila umat dan agama kita. Dalam kehidupan kita di dunia ini, agama kita sering memberi panduan untuk mencari penyelesaian berdasarkan syura dan hikmah, kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT mengajar kita melalui ayat yang tersebut di atas agar mencintai negara sendiri dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan kemakmurannya, maka apakah kita harus mengambil tindakan sebaliknya, iaitu berusaha menghancurkan negara sendiri dan mendabik dada dengan penuh kesombongan agar negara sendiri menjadi kancah segala krisis, pertelagahan dan dilanda kemiskinan?

Amat wajar sekali kisah Nabi Ibrahim a.s. itu kita renungkan seterusnya, iaitu ketika baginda akan dilantik untuk menjadi ketua bagi memimpin manusia, maka baginda bertanya kepada Allah SWT apakah zuriatnya juga akan dilantik untuk memimpin manusia seperti dirinya sendiri, maka terhadap pertanyaan inilah Allah SWT menjawab bahawa janji Allah untuk baginda bukanlah janji yang menyeluruh, itu janji Allah untuk baginda menjadi ketua tidak akan dirasai oleh keturunannya yang zalim dan tidak berlaku adil.

Hal ini tersebut di dalam surah al-Baqarah ayat 124, yang bermaksud: Dan ingatlah tatkala Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa perintah, lalu ia menyempurnakannya, (dan) Dia berfirman: ''Sesungguhnya Aku jadikan kamu ketua bagi manusia'' maka ia (Nabi Ibrahim) bertanya; Dari keturunanku (juga)? Dia (Allah) menjawab ''Perjanjianku tidak akan mengenai orang-orang yang zalim.''

Ayat ini menjelaskan tentang keprihatinan Nabi Ibrahim terhadap keturunan dan anak cucunya pada masa yang akan datang iaitu setelah baginda akan dilantik sebagai ketua pemerintah apakah anak cucunya dan keturunannya juga akan diberikan kemuliaan ini. Bagi mendapat jawapan yang memberikannya pengajaran yang baik, iaitu tidak semuanya akan menjadi pemimpin, kerana Allah akan memberikan keistimewaan ini kepada anak cucunya yang adil sahaja.

Dalam konteks tulisan ini, Nabi Allah Ibrahim telah menunjukkan satu sifat mulia manusia yang beriman kepada Allah, iaitu keprihatinan terhadap keturunan dan generasi yang akan datang. Baginda mahukan nikmat yang dirasainya itu dan dirasai juga oleh keturunannya yang akan datang. Tetapi perbuatan orang yang merancang untuk merosakkan negara sendiri, iaitu agar negara-negara luar, terutamanya negara yang terkena dengan sifat penjajahannya yang bersifat menindas dan kufur, bertindak memulau produk negara dan mencekik pintu rezeki penduduknya maka perbuatan ini dengan sendirinya bererti membuka jerat untuk menjerut leher sendiri dan keturunan yang akan datang.

Mangsa tekanan dan penjajahan ini tentunya akan terdiri daripada semua golongan rakyat dari semua generasi, bukannya beberapa orang yang dibencinya itu.

Inilah sebenarnya pengajaran dan nilai akhlak Islam yang ditunjukkan oleh secebis kisah Nabi Allah Ibrahim, iaitu semangat cintakan tanah air dan keturunan sendiri yang seharusnya menjadi pengajaran yang amat berguna kepada kita di dalam menghadapi apa sahaja situasi dan keadaan yang timbul. Naib Ibrahim tidak menyuruh kita menggadaikan negara ketika kita lemah untuk menghadapi cabaran. Baginda juga tidak menyuruh kita mengorbankan kesejahteraan dan kemakmuran negara kerana berputus asa dan menghadapi jalan buntu dalam sebarang perjuangan, apa lagi perjuangan yang sia-sia. Jauh daripada itu, Nabi Ibrahim tidak menunjukkan sifat benci sehingga sanggup menggadaikan masa hadapan zuriat dan keturunan sendiri.

Peristiwa-peristiwa begini yang berlaku kepada teman-teman seagama kita amatlah menyedihkan. Perbuatan ini tidak dapat sama sekali dijustifikasikan atas sebarang alasan sekalipun. Dan amat malang lagi, bahawa dalam gelagat dan sepak terajang yang merupakan tragedi bangsa ini pun terdapat orang-orang yang menyokongnya secara semberono sahaja.

Umat Islam dan rakyat umumnya haruslah ingat akan ajaran agama dan nilai serta budaya bangsanya. Negara ini bukan milik orang yang tertentu, apa lagi orang-orang yang bermain politik sempit dan yang ingin meruntuhkan segala-galanya. Untuk mencapai cita-cita politik persendirian janganlah semua institusi yang wujud hendak diruntuhkan. Perbuatan tersebut sebenarnya merupakan satu usaha untuk meruntuhkan institusi keluarga, budaya, bangsa, tatasusila, moral, dan agama sendiri.

Kita harus berfikir bersungguh-sungguh bagaimana kita dapat mengatasi kemelut pemikiran yang mengakibatkan tindakan liar itu. Semua rakyat yang cintakan negara dan bangsa ini haruslah bertindak dengan cara masing-masing demi mempertahankan maruah kita dan keturunan seperti yang diperintahkan agama kita.

No comments: