Friday, June 8, 2007

Dua aliran ekstrem ganggu kemajuan umat

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MASALAH orang Melayu sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh masalah agama yang dianuti oleh mereka.

Agama Islam menjadi anutan keseluruhan orang Melayu mengalami pelbagai penafsiran yang mengelirukan, oleh itu orang Melayu juga turut menjadi umat yang terkeliru.

Isu wanita, sistem pemerintahan, ideologi dan kepercayaan, ilmu kebatinan, antara adat dan ajaran agama, dan berbagai-bagai isu lainnya amat mengelirukan orang-orang Melayu, sekurang-kurangnya sejak dua tiga dekad yang terakhir ini.

Ajaran agama mempunyai tujuan dan matlamat yang murni, iaitu untuk membentuk kesatuan umat, memberikan kebahagiaan kepada mereka dunia dan akhirat, membangunkan jalan tengah yang berupaya dipikul oleh mereka dalam beribadat dan membangunkan aktiviti mereka di dalam keluarga, masyarakat dan kehidupan sejagat.

Semuanya ini telah digariskan oleh al-Quran sebagai dasar dan prinsip kehidupan mereka yang menyeluruh, malah contoh teladan dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w lebih memperincikan cara hidup dan amal bakti yang harus mereka kerjakan untuk kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Bagaimanapun oleh kerana Islam merangkumi sistem kehidupan yang luas dan anjal bagi setiap masa dan keadaan, maka ia telah membuka peluang untuk ditafsirkan oleh generasi demi generasi, dan dalam keadaan ini maka lahirlah berbagai-bagai pentafsiran yang berbeza-beza menurut persepsi berbagai-bagai kalangan dan oleh kerana umat Islam sering mengalami perpecahan maka amatlah sukar sekali untuk mendapatkan kata sepakat di dalam banyak isu yang dihadapi secara bersama walaupun isunya sama dan penyelesaiannya juga sama tidak dikira mana sahaja umat itu berada.

Kalau ditinjau pada zaman awalan Islam, umat Islam tidak mengalami banyak kekeliruan dan pertikaian, kerana skop perbincangan Islam ketika itu lebih banyak berkisar di sekitar fardu ain dan ibadat khusus.

Bidang ini tidak banyak mengalami perbincangan yang melibatkan pentafsiran akli kerana banyak nas daripada al-Quran dan Hadis yang menjelaskan tentang prinsip-prinsip amalan ini.

Pentafsiran yang dibuat oleh imam-imam mazhab yang empat pun tidak menyentuh asas yang menjadi prinsip amalan itu, malah yang berlaku perbezaan pun hanyalah tentang perkara cabang dan perinciannya sahaja.

Pentafsiran-pentafsiran yang lain sungguh pun muncul dan menjelma ketika itu, tetapi ia ternyata tidak mendapat tempat di kalangan umat Islam arus perdana.

Kita di negara ini pun tidak banyak mengalami pertikaian tentang amalan ibadat khusus dan persoalan fardu ain ini kerana hal itu amat jelas diamalkan di dalam masyarakat kita dan telah diterima oleh masyarakat Islam umumnya sebagai ajaran dan hukum yang mantap sejak turun temurun.

Sembahyang lima waktu di dalam waktu-waktu yang tertentu serta cara-cara bersembahyang umpamanya tidak pernah dipersoalkan atau ditafsirkan semula mengikut sebarang 'ijtihad'' baru, kerana segala hukum-hakam dan perincian rukun Islam ini telah pun mengalami proses wahyu dan ijtihad yang cukup matang dan menyeluruh sebelum ini.

Dari sudut pandangan Islam, persoalan ibadat khusus iaitu merangkumi Rukun Islam yang lima, dan komponen Rukun Iman yang enam, tidak menimbulkan sebarang keraguan atau pentafsiran baru tentang prinsip dan rukun terasnya.

Mungkin kalau diperlukan fatwa terbaru ialah tentang perkembangan terbaru yang berlaku dan memerlukan ijtihad baru, atau perlu dirumuskan hukum mengikut hukum yang telah sedia ada, seperti fatwa yang membolehkan pesakit buah pinggang yang mendapat rawatan mencuci darah mengumpulkan dua sembahyang seperti hukum yang diamalkan oleh orang-orang yang musafir.

Hal ini merupakan satu cabang dari dasar sembahyang yang boleh dijamak atau dikumpulkan oleh para pengembara yang tertentu, maka oleh kerana pesakit buah pinggang terpaksa berada di dalam bilik rawatan dalam masa yang lama sehingga mengakibatkan lupusnya satu waktu sembahyang yang tertentu, maka ia boleh diberikan kemudahan untuk menjamakkan sembahyangnya iaitu sembahyang Maghrib dan Isyak, atau Zuhur dan Asar secara taqdim atau ta'khir.

Bagaimanapun, apabila Islam mengalami kebangkitan yang menyeluruh sejak beberapa dekad yang terakhir ini, iaitu melalui kesedaran untuk mengisi sistem ekonomi sains, teknologi, pendidikan, sosial, politik, seni, budaya dan semua aspek kehidupan manusia di dunia ini dengan nilai dan ajaran Islam maka timbullah pelbagai pentafsiran baru yang melibatkan soal konsep dan amalan yang tertentu, cara hidup didasarkan kepada budaya dan nilai yang ditakrifkan sebagai Islam atau tidak dan berbagai-bagai pandangan baru yang timbul di kalangan orang Islam yang cuba memanifestasikan kebangkitan Islam dan keperluan umat Islam untuk menghayatinya di dalam berbagai-bagai aspek kehidupan mereka.

Secara umumnya, isu pelaksanaan Islam di dalam pelbagai bidang kehidupan ini tidak menimbulkan masalah yang besar sekiranya umat Islam sanggup bersabar dan berusaha menambahkan ilmu pengetahuan yang cukup melalui pembelajaran yang melibatkan perubahan sistem pendidikan Islam menggiatkan pembangunan dan penyelidikan tentang berbagai-bagai disiplin ilmu pengetahuan Islam yang mempunyai hubungan dengan perkembangan ilmu semasa, dan bersikap jujur untuk mempertingkatkan kehidupan umat Islam sesuai dengan perkembangan dan kemajuan dunia baru.

Maka dalam konteks inilah nampaknya negara kita telah berada di atas landasan yang amat baik untuk menuju matlamat penghayatan Islam yang menyeluruh bagi umat kita di dalam pelbagai aspek pembangunan kehidupan kita.

Kita telah menunjukkan kemajuan yang baik dalam pembangunan ekonomi, pengurusan, pendidikan, budaya dan sains teknologi yang berprinsipkan Islam dalam bentuk ijtihad dan ilmuan yang mantap.

Proses ini seterusnya mengalami perkembangan yang amat pesat dan mempunyai prestasi yang cemerlang di kalangan negara-negara Islam lazimnya dan di persada antarabangsa.

Bagaimanapun, terdapat dua aliran ekstrem yang kelihatan mengganggu dan membantut proses ini, iaitu pertama aliran yang cuba mentafsir Islam secara teramat sempit dan yang kedua ialah yang berkecenderungan mentafsirkan Islam secara yang amat luas dan li-beral.

Aliran yang pertama sering menimbulkan isu-isu yang dipetik sebegitu rupa sehingga kita mendapat kesan bahawa dalam setiap kumpulan masyarakat Islam pasti terdapat golongan yang Islam dan yang murtad atau terkeluar agama, yang tercemar akidahnya serta pelbagai hukum yang dikaitkan dengan golongan yang tertentu, sehingga dengan itu permusuhan yang berlaku di kalangan umat Islam ini akan menafikan apa sahaja yang dilakukan orang lain yang dianggap musuhnya dan musuh agama.

Aliran yang kedua pula sering mempersoalkan sistem yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan sunah, termasuk persoalan sembahyang dan waktu serta cara-caranya yang telah sedia ada dan diamalkan oleh orang Islam, juga sistem kekeluargaan seperti soal poligami dan pembahagian harta pusaka dan sebagainya.

Golongan ini sering mencampur-adukkan di antara sistem yang baru dengan pelaksanaan yang menyeleweng atau penyalahgunaan sistem tersebut oleh kalangan-kalangan yang tertentu, sehingga dengan itu timbullah persoalan sama ada sistem itu masih dapat digunakan lagi pada masa kini.

Oleh itu agenda meningkatkan ilmu pengetahuan yang betul dan cekap serta keinginan untuk menghayati Islam secara menyeluruh haruslah dipertimbangkan di kalangan masyarakat Islam sekarang ini sekiranya kita benar-benar ingin melaksanakan penghayatan Islam yang menyeluruh di dalam semua aspek kehidupan kita, termasuk prgram-program pembangunan negara kita ini.

Biarlah terdapat sedikit perbezaan tentang pembangunan dan kemajuan orang Melayu kerana mereka beragama Islam kerana kita menjadi orang Melayu yang beragama Islam.

No comments: