Friday, June 8, 2007

Slogan indah tidak selesaikan masalah

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KETIKA mengambil bahagian dalam program Diskusi menerusi saluran perdana TV Malaysia Jumaat lalu, seorang penonton mengemukakan pandangan bahawa isu perpecahan ummah yang sedang dibicarakan sekarang ini berpunca daripada pemerintah yang tidak mahu kembali kepada al-Quran dan sunah. Mengikut penonton itu, sekiranya kerajaan kembali kepada al-Quran dan sunah maka semua masalah akan selesai dan kita akan hidup bersatu.

Di samping menghargai pandangannya itu, saya telah menjelaskan kepadanya bahawa kenyataan kembali kepada al-Quran dan sunah memanglah satu kenyataan yang sah dan tidak diragukan lagi. Kita sebagai orang Islam mestilah rujuk kepada al-Quran dan sunah dalam semua aktiviti dan pentadbiran serta pembangunan dalam semua aspek.

Bagaimanapun saya menjelaskan bahawa kita tidak boleh mengambil sikap yang simplistik dan mudah seperti ini dalam menghadapi masalah atau dalam merangka strategi dan perjuangan. Kita tidak boleh mengatakan bahawa dengan hanya menyebut bahawa kita kembali kepada al-Quran dan sunah maka semua masalah kita akan selesai. Kenyataan ini bukannya merupakan satu tongkat sakti atau satu kalimah sihir yang dapat mengubahkan sesuatu secara segera.

Kembali kepada al-Quran dan sunah - seperti yang telah saya jelaskan juga secara ringkas di dalam tulisan saya pada ruangan ini minggu lalu - memerlukan agenda, perancangan dan pelaksanaan berbagai-bagai program yang strategik berdasarkan kajian dan penyelidikan untuk membangunkan manusia dan aktivitinya secara bersistematik dan berkesan. Semuanya ini bukanlah boleh dilakukan dengan kata-kata yang retorik dan berselindung di sebalik slogan-slogan kosong dan berbentuk emosi serta sentimen melulu tanpa kefahaman dan ilmu pengetahuan yang luas untuk mengisi slogan itu.

Slogan kosong dan kenyataan yang berbentuk emosi dan sentimen inilah biasanya yang sering digunakan oleh kalangan tertentu, terutamanya ketika kempen-kempen bagi meraih sokongan politik. Orang awam sememangnya amat mudah terpengaruh dengan slogan dan kenyataan kosong ini, apa lagi ia sering dihubungkan dengan semangat keagamaan mengikut perkiraan orang yang mengemukakannya.

Ayat al-Quran dan hadis memang boleh ditafsirkan ke arah ini, kerana al-Quran sering menjelaskan tentang dasar-dasar umum bagi segala aspek kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Saya berpendapat bahawa apa yang kita lakukan dalam pembangunan berbagai-bagai sektor sekarang adalah termasuk dalam rangka atau gagasan untuk kembali kepada al-Quran dan sunah. Rangka atau gagasan yang saya maksudkan itu ialah dalam bentuk pengisian secara amali dan pelaksanaan rancangan kerja yang memenuhi agenda yang dirancangkan untuk pembangunan Islam dan umatnya, serta manusia sejagat.

Kita melihat contoh gagasan ini dalam pembangunan ilmu pengetahuan umpamanya. Al-Quran dan hadis meletakkan status ilmu dan martabat orang yang berilmu di peringkat yang tinggi. Orang Islam lelaki dan wanita diwajibkan menuntut ilmu. Allah s.w.t mengangkat orang yang beriman dan berilmu ke beberapa darjat.

Orang yang mengetahui dan berilmu tidak sama tarafnya dengan orang yang tidak berilmu.

Inilah konsepnya ilmu pengetahuan menurut perspektif al-Quran dan sunah, malahan ilmu pengetahuan itu pula tidak dikhususkan kepada ilmu wahyu semata-mata, tetapi merangkumi juga segala bidang ilmu pengetahuan, kerana al-Quran dan Hadith juga membicarakan tentang tumbuhan, tanaman, hasil bumi dan lautan, haiwan dan unggas, lebah dan sebagainya.

Dengan itu al-Quran juga memberi isyarat kepada manusia supaya mengkaji dan mempelajari kejadian dan makhluk Allah s.w.t ini untuk menjadi orang yang lebih beriman dan membesarkan Allah s.w.t.

Justeru untuk mencapai ilmu pengetahuan ini, sekolah, kolej, universiti dan institusi pengajian haruslah didirikan. Guru dan tenaga pengajar haruslah disediakan.

Kemudahan pembelajaran juga diperlukan dan berbagai-bagai projek pembangunan pendidikan dan pembelajaran perlu ditangani dengan baik. Semua ini merupakan aktiviti yang dilaksanakan sesuai dengan tuntutan dan petunjuk agama tentang pembangunan ilmu pengetahuan.

Secara mudahnya kerja-kerja mendirikan sekolah dan institusi pengajian segala peringkat, menyediakan tenaga pengajar dan bahan-bahan pembelajaran, membelanjakan wang berjuta-juta ringgit untuk tujuan ini dan segala program yang dijalankan dalam usaha mengeluarkan para ilmuwan dan cendekiawan dalam semua bidang ilmu pengetahuan adalah usaha untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah.

Oleh itu amalan untuk kembali kepada agama dalam bidang ini melibatkan jentera dan tenaga manusia serta peruntukan kewangan yang amat banyak.

Inilah usaha untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah yang sebenarnya. Ia bukan hanya sekadar kata-kata dan slogan tanpa pengisian.

Pandangan yang digambarkan ini hanyalah satu agenda pembangunan sahaja, iaitu dalam bidang pendidikan dan pelajaran. Itu pun sudah cukup mencabar, penuh dengan perancangan dan penyelidikan yang amat memerlukan kepimpinan dan tenaga manusia yang strategik dan berkualiti. Tetapi semuanya harus dilakukan untuk merealisasikan tujuan dan matlamat kita untuk kembali mempraktikkan ajaran al-Quran dan sunah.

Kerja-kerja membangun sektor yang lain pula tentulah melibatkan perancangan dan proses yang sama, seperti membangun sistem pemerintahan umpamanya. Maka dalam membangun kerajaan tentulah banyak perancangan yang harus dilakukan. Kita memerlukan pelaksanaan permesyuaratan, menegakkan keadilan dan keamanan, tenaga manusia, mekanisme pemerintahan, infrastruktur untuk keselesaan dan kemajuan rakyat dan berbagai-bagai usaha lainnya yang memerlukan tenaga dan fikiran yang banyak.

Hal ini perlu dilakukan kerana Islam meminta kita mengamalkan dasar syura, menjamin keamanan dan kesejahteraan manusia, tolong-menolong, mengamalkan kerja-kerja kebajikan, menghubungkan tali persaudaraan sesama manusia tanpa mengira agama dan sebagainya.

Inilah ajaran agama berdasarkan al-Quran dan sunah. Maka untuk menghayati konsep ajaran ini, kita harus banyak melakukan aktiviti yang dirancang secara baik, melibatkan pemimpin dan orang-orang yang berilmu pengetahuan, dan dalam melaksanakan hal ini dengan sendirinya kita cuba merealisasikan konsep kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah.

Sebab itulah dijelaskan bahawa kenyataan kembali kepada al-Quran dan sunah ini bukanlah satu slogan kosong yang menjadi permainan bibir dan lidah yang tidak bertulang. Ia harus dilaksanakan dengan amalan dan kerja, usaha dan titik peluh, fikiran dan ilmu pengetahuan, dan kadang-kadang memakan masa yang panjang.

Oleh yang demikian, saya berpendapat slogan-slogan seperti ini haruslah dielakkan dalam mengisi kesempurnaan agama kita. Yang pentingnya ialah usaha dan kerja yang berterusan berdasarkan keikhlasan, pemikiran yang tajam dan ilmu pengetahuan yang luas. Apabila kejayaan demi kejayaan telah kita capai maka pada masa itu barulah dapat dikatakan bahawa kita sedang mengisi kenyataan kembali kepada al-Quran dan sunah, bukan hanya dengan ungkapan dan slogan kosong yang dianggap tongkat sakti dan boleh mengubah alam dalam sekelip mata.

No comments: