Friday, June 8, 2007

Perlakuan buruk umat cemar imej Islam

DR. ISMAIL IBRAHIM
SEMINAR meningkatkan kefahaman Islam di dalam media yang diadakan selama tiga hari di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan telah saya perkatakan beberapa isu di dalam tulisan saya yang lalu berakhir dengan persefahaman yang baik di antara para perwakilan media Barat dan peserta yang mewakili beberapa buah negara Islam, termasuk para perwakilan negara kita sendiri.

Isu kesalahfahaman tentang laporan media tentang dunia Islam dan orang-orang Islam bukanlah keseluruhannya disebabkan oleh niat buruk pihak Barat.

Memang terdapat agenda politik yang tertentu di dalam laporan media Barat itu, tetapi terdapat beberapa unsur lain yang menyumbang ke arah laporan negatif tentang Islam itu.

Realiti umat Islam di negara-negara Islam sendiri turut menyumbang kepada gambaran negatif imej Islam, malahan perpecahan umat Islam, kefahaman jumud dan tidak tamadun umat Islam sering dipandang sebagai mewakili pandangan Islam secara menyeluruh. Isu diskriminasi gender, sikap menentang terhadap konsep modenisme dan sebagainya sering membuka ruang yang amat luas kepada pihak media Barat untuk mengecam orang Islam dan sikap mereka yang tertutup itu.

Hal ini bagaimanapun terpaksa dijelaskan dengan amat payah sekali oleh kita dalam memberi kefahaman kepada pihak Barat bahawa kekerasan, keganasan dan sikap jumud tidak mahu menerima perubahan yang tidak bertentangan dengan dasar Islam itu bukanlah berasal daripada ajaran Islam yang sebenarnya.

Di dalam masyarakat Islam terdapat berbagai-bagai puak dan golongan yang menggunakan agama sebagai asas perjuangan mereka, dan perjuangan mereka sering kali merupakan perjuangan politik atau ekonomi untuk kepentingan golongan mereka sendiri.

Isu lain yang ditimbulkan ialah masalah sikap dan wawasan para penduduk Islam yang menetap di negara-negara Barat yang sering berpisah di antara satu golongan dengan yang lain berdasarkan kedaerahan atau negara asal masing-masing.

Hakikat ini menjadikan perhubungan di antara kerajaan negara tempat tinggal mereka di Barat tidak dapat ditentukan dengan sebaik-baiknya tentang siapakah atau golongan manakah yang sebenarnya yang mewakili komuniti Islam di negara Barat itu.

Malah yang lebih mencabar pihak yang berwibawa di negara Barat ialah tindakan segelintir kumpulan pihak-pihak tertentu yang menggelarkan diri mereka sebagai aktivis yang menjadikan negara tempat tinggal baru mereka sebagai pangkalan untuk menyusun pergerakan radikal memerangi dan menentang negara asal mereka.

Mereka akan mengajak sesiapa sahaja yang bersimpati dengan mereka agar menyertai pergerakan mereka untuk menentang kerajaan mereka yang sah dengan alasan bahawa kerajaan mereka adalah kerajaan yang tidak baik dan yang bertindak menindas rakyat serta seribu satu alasan lain lagi.

Sungguhpun negara Barat merupakan negara bebas untuk sesiapa sahaja menyuarakan pandangan dan menyusun aktiviti masing-masing, tetapi tindakan golongan yang bersifat gerakan politik menentang kerajaan mereka yang sah, tentulah akan menyentuh dasar negara yang baru didiami mereka, dan meletakkan negara itu di dalam keadaan yang amat serba salah.

Hal-hal beginilah yang sering mendorong media Barat membuat laporan negatif tentang sikap dan gambaran orang Islam yang sekali gus agak menyukarkan kita membetulkan persepsi mereka itu.

Para wartawan Barat yang mempunyai agenda politik yang tertentu juga terhadap negara Islam dan orang Islam akan sentiasa mengambil kesempatan ini dalam menjalankan propaganda mereka bagi memburuk-burukkan masyarakat Islam.

Para peserta seminar puas berhujah untuk memahami di antara satu dengan yang lain, terutamanya ketika para perwakilan media Barat menimbulkan perselisihan pentafsiran tentang konsep-konsep tertentu di dalam dasar ajaran agama Islam, seperti konsep jihad, fatwa, kafir dan sebagainya.

Oleh itu pihak mereka amat mengharapkan agar istilah-istilah begini diberikan pentafsiran dan penjelasannya yang sekira-kira dapat difahami dengan sebaik-baiknya oleh pihak Barat.

Selagi pihak Barat dan Islam masing-masing mempunyai pentafsiran yang berbeza-beza tentang perkara ini, maka selama itulah akan terus-menerus wujud konflik pandangan yang akan membawa kepada kesalah fahaman yang berpanjangan.

Sungguhpun sehingga akhir seminar para peserta masih mencari-cari resolusi yang muktamad yang dapat diterima oleh semua perwakilan dari Barat dan dunia Islam, tetapi pandangan majoriti dapat juga mencapai persefahaman yang agak memuaskan kedua-dua belah pihak, iaitu tentang keperluan mengkoreksi diri sendiri serta membetulkan persepsi masing-masing tentang persoalan yang dibicarakan untuk kepentingan bersama, iaitu agenda untuk persefahaman manusia sejagat di timur atau di Barat.

Saya rasa peserta-peserta umumnya merasa puas hati dengan pelajaran yang mereka pelajari di sepanjang seminar ini.

Namun begitu saya merasa keadaan dan suasana tentulah menjadi lebih baik sekiranya media negara kita sendiri lebih banyak mempunyai perwakilannya di dalam seminar tersebut.

Kalau perwakilan asing yang datangnya sejauh negara Amerika Syarikat dan Britian, kenapa pula perwakilan dari halaman belakang rumah kita sendiri tidak sanggup menjenguknya?

No comments: