Friday, June 8, 2007

Sampai bila umat Islam akan berkrisis?

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BIASANYA orang Islam amat peka terhadap isu-isu agama, terutamanya yang menyentuh akidah dan keimanan serta hukum halal haram dalam sebarang aspek kehidupan mereka. Berdasarkan pengalaman saya dengan komuniti Islam yang pernah saya lihat dan temui di banyak negara Islam, termasuk di Eropah dan Amerika, nampaknya umat Melayu pada umumnya merupakan umat Islam yang paling peka dan komited terhadap hukum-hukum agama.

Ketika melanjutkan pelajaran di negara Inggeris, Scotland dulu, saya bertemu ramai orang Islam dari negara-negara Islam yang tidak peka sama sekali dengan agama. Ada antaranya yang tidak tahu waktu sembahyang dan puasa, malah yang lebih menyedihkan terdapat juga orang Islam yang tidak kisah terhadap makanan yang mereka makan sama ada halal atau haram menurut agama.

Mereka kelihatan mengambil mudah terhadap ayam dan daging yang mereka makan, malah terdapat segelintir di antaranya yang sanggup memakan daging babi dan sering minum minuman keras di samping melakukan berbagai-bagai kerja maksiat lain yang amat mudah dilakukan, khususnya bagi mereka yang mempunyai banyak wang.

Dalam hal inilah nampaknya kebanyakan umat Islam dari negara kita amat prihatin dengan makan minum, ibadat sembahyang dan puasa mereka serta memelihara diri daripada terjebak ke alam maksiat di dalam masyarakat yang permisif itu. Mereka akan berusaha mendapatkan makanan halal, melakukan ibadat sembahyang dan puasa dengan penuh iltizam dan aktif pula dalam aktiviti keagamaan bersama-sama komuniti Islam yang lain, terutamanya dari benua Asia.

Seperti yang selalu kita dengar, terutamanya dari perbualan biasa di dalam masyarakat kita, bahawa orang Melayu merupakan orang Islam yang amat peka dengan komen orang lain tentang agama dan imannya. Pada umumnya mereka sanggup menentang sesiapa sahaja yang mempersoalkan tentang agamanya. Orang Melayu amat pantang dituduh sebagai orang yang telah terkeluar daripada agamanya, seperti menuduhnya telah murtad, menjadi kafir dan sebagainya.

Dalam konteks inilah saya merasakan bahawa masyarakat kita menghadapi keadaan yang amat kecoh dan gawat sekali ketika umat Islam sesama Islam berbalah dan terbawa-bawa ke dalam satu krisis yang amat serius sekali tentang masalah akidah dan iman mereka yang ditimbulkan akibat perbezaan fahaman politik sempit yang melanda masyarakat kita.

Sebelum timbulnya persoalan tentang akidah yang tercemar, atau seseorang itu menjadi murtad atau kafir kerana isu-isu yang sebenarnya berpunca daripada ideologi politik, orang Melayu tidak mengalami perpecahan yang amat hebat seperti yang dapat disaksikan dalam beberapa dekad yang terakhir ini. Isunya di sini ialah isu besar dan serius yang tidak sepatutnya ditimbulkan secara amat spontan dan mudah begitu sahaja, kerana isu seseorang itu menjadi murtad dan kafir merupakan persoalan akidah dan iman. Orang Islam juga mengetahui punca dan sebab-sebab yang sebenarnya yang membawa seseorang Islam itu menjadi kafir atau murtad.

Ketika berlakunya krisis politik dan pemerintahan pada zaman khalifah keempat, Sayidina Ali Ibn Abu Talib, kejatuhannya juga menurut sumber-sumber sejarah adalah berpunca daripada kepekaan dan sentimen orang ramai terhadap agama yang sebenarnya telah dilakukan oleh lawan politiknya, Muawiyah Ibn Abu Sufian semata-mata sebagai helah untuk menjatuhkan Khalifah Ali.

Abu Musa Al-Ashari bagi pihak Muawiyah menggunakan helah terakhir ketika berlaku krisis perebutan kuasa itu dengan menjulang kitab suci al-Quran di hujung tombak bagi mengakhiri peperangan dan menyokong Muawiyah. Perbuatan ini merupakan satu helah besar dengan memainkan sentimen keagamaan orang awam, kerana al-Quran adalah kitab suci bagi orang Islam dan ia tentulah tidak boleh dipermain-mainkan oleh sesiapa sahaja, sebab itulah apabila terdapat satu pihak yang menjulang al-Quran sebagai simbol komitmen kepada agama dalam pemerintahannya, maka sentimen orang ramai akan berpihak kepadanya dan seterusnya akan menyokongnya tanpa berbelah bagi lagi.

Sayidina Ali sendiri menyedari hakikat helah ini, tetapi baginda pun tidak dapat berbuat sesuatu lagi, kerana yang ditonjolkan adalah kitab suci al-Quran, kitab yang paling mulia bagi manusia seluruhnya. Akibat daripada perbuatan itu seluruh umat yang sedang bertelagah segera bertindak berdasarkan lambang agama yang suci itu. Dalam keadaan dan semangat ini mungkin tidak ada sesiapa lagi yang sanggup menentangnya, kerana tindakan demikian merupakan satu tentangan yang amat jelas sekali sebagai menentang arus dan sentimen umum.

Saya melihat hal yang hampir sama sedang berlaku dalam masyarakat Islam di negara kita pada masa kini. Tanpa menafikan keikhlasan dan kebenaran perjuangan untuk agama oleh semua pihak yang terlibat dalam pembangunan Islam di dalam masyarakat kita pada masa kini, namun dalam beberapa keadaan kita masih dapat merasakan bahawa sentimen dan kecintaan masyarakat Islam terhadap agamanya, masih dipergunakan oleh orang yang mempunyai kepentingan sendiri, atau kepentingan kelompok tertentu, sama ada yang menjelma dalam pergerakan politik, pertubuhan, perniagaan, termasuk juga ajaran sesat, khurafat, kedukunan dan sebagainya.

Dalam keadaan ini nampaknya masyarakat Islam akan terus bergolak dan umatnya akan terus berkrisis. Masalah ini amat sukar diatasi tanpa usaha dan keinsafan yang ikhlas daripada umat Islam sendiri, terutamanya yang melibatkan kepimpinan umat dan para bijak pandainya. Saya menyebut begitu, kerana dalam konteks ini umat Islam seharusnya mempunyai persiapan ilmu yang baik untuk memahami sesuatu keadaan yang sebenarnya ketika keadaan itu melibatkan akidah dan iman umat sendiri. Dalam hal ini juga para bijak pandai umat dan kepimpinannya mestilah mempunyai sikap ikhlas dan beramanah dalam melakar dan merencanakan hala tuju umat Islam dalam perjuangannya. Tanpa keikhlasan dan keinsafan ini tentulah umat Islam akan terus berpecah dan berkrisis.

No comments: