Friday, June 8, 2007

Memelihara keselamatan dan maruah

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KETIKA berpidato pada hari perpisahan Hajjatul-Wida' baginda Rasulullah s.a.w menegaskan antara lain:

Wahai insan semua, sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah haram ke atas sekelian sehingga kamu menemui Tuhan kamu, seperti mana haramnya hari kamu ini, di dalam bulan kamu ini dan di dalam negeri kamu ini.

Mesej yang disampaikan oleh baginda ini mengandungi perlindungan hak bagi seluruh manusia, iaitu yang berkaitan dengan nyawa, harta benda serta maruah dan kehormatan masing-masing.

Semuanya ini tidak dapat dicerobohi dan dicabul oleh sesiapa pun, dan hal ini disifatkan oleh baginda sebagai melakukan sesuatu perbuatan yang terlarang ketika seorang Islam sedang mengerjakan haji dengan memakai pakaian ihram pada bulan haji dan di bumi atau tanah haram sendiri.

Mesej ini jelas membawa ajaran tentang kesamarataan manusia pada pandangan agama tentang hak-hak yang tertentu yang seharusnya dihormati oleh semua orang dan pihak yang berkuasa.

Saya merasakan bahawa hak kebebasan ini mendapat tempat di negara kita yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama ini. Masing-masing golongan mendapat kebebasan untuk melindungi hak keselamatan, harta benda dan maruah sendiri, termasuk penggunaan bahasa dan budaya, nama panggilan dan nama keturunan, maruah dan cara hidup serta budaya masing-masing yang pada sesetengah negara yang mengamalkan dasar kebangsaan yang terlalu ketat tidak akan memberi ruang yang luas seperti yang dilaksanakan oleh negara kita.

Bagaimana dasar kebebasan dan pelaksanaan hak ini sebenarnya tidaklah boleh diambil sebagai kebebasan mutlak tanpa sempadan dan budaya yang tertentu, kerana kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud di dalam sebarang dasar hidup manusia, malah manusia sentiasa tertakluk kepada peraturan undang-undang dan tatasusila bagi sesuatu tempat dan bumi yang dipijak.

Hak untuk beragama tentunya tidak sampai memaksa orang lain memeluk agama kita tanpa kerelaannya, hak untuk mendapatkan pelajaran tidak semestinya memberi ruang untuk menyekat kumpulan yang miskin untuk mendapatkan biasiswa.

Begitu juga hak kebebasan bernegara tidak sampai pula kepada perbuatan merampas keistimewaan orang lain untuk mendapatkan bantuan atau potongan untuk memiliki harta umpamanya.

Semuanya ini merupakan syarat-syarat yang perlu dikaitkan dengan hak dan kebebasan manusia berdasarkan realiti yang wujud di dalam masyarakat itu sahaja yang sebenarnya mengetahui perkara ini demi menjaga keutuhan dan ketenteraman bersama.

Kebebasan bersyarat inilah yang dipraktikkan di dalam dunia antarabangsa pada hari ini dan dalam keadaan-keadaan yang tertentu Islam melihatnya sebagai satu kemestian untuk menjaga maruah dan kemesraan sesama manusia.

Perhatikan ayat-ayat yang berikut yang berbicara tentang persaudaraan sejagat manusia, iaitu firman Allah s.w.t:

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Al-Mumtahanah, ayat 8).

Ayat ini jelas memerintah semua orang supaya berlaku adil dan bersikap baik terhadap semua manusia yang tidak bertindak menyerang atau melakukan sebarang tindakan lain yang bertujuan permusuhan kerana agama kita, atau tindakan yang menggambarkan tujuan mereka untuk merampas negara milik kita. Sebab itulah di dalam ayat yang berikutnya Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerang kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerinya dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Mumtahanah, ayat 9).

Dari ayat ini jelas sekali bahawa permusuhan yang dilakukan terhadap agama dan tindakan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang boleh dilihat sebagai satu perbuatan untuk merampas negara kita, maka golongan ini tidak harus dijadikan gandingan, kawan rakan dan sebagainya.

Ayat ini memberi isyarat yang jelas dan terang bahawa kebebasan berkongsi dan berkawan bukanlah kebebasan mutlak tanpa usul periksa dan penelitian cita rasa serta niat orang-orang yang diajak berkongsi, kerana hal ini boleh mengakibatkan kita mungkin termasuk ke dalam perangkap dan kepungan musuh yang pepat di luar, rencong di dalam, manis di bibir tetapi pahit di hati.

Penjajahan bentuk baru, tali barut mereka di dalam dan di luar negara dengan penggunaan media di dalam berbagai bentuk dan caranya sekarang ini sering menjadikan agenda mereka untuk memerangi kita kerana agama dan negara.

Strategi musuh negara dijalin dalam bentuk yang amat unik, indah dan bijak sehingga ramai orang yang tidak dapat memahami agendanya yang sebenar. Maka dalam hal inilah kita memerlukan kesedaran dan pandangan jauh untuk membezakan di antara musuh dan sahabat, kawan dan lawan. Barangkali kita memerlukan indera yang keenam untuk mencium taktik dan strategi musuh kita dari semasa ke semasa dan yang lebih pentingnya kita janganlah terperangkap ke dalam jebak musuh kita, atas nama kebebasan dan hak secara mutlak.

No comments: