Friday, June 8, 2007

OIC perlu pertingkatkan agenda penyelidikan

TULISAN saya minggu lalu membicarakan tentang menghayati Islam secara berilmu, kerana sekiranya penghayatan itu tidak dilakukan secara berilmu dan berhikmah, maka kesan buruk akan tertimpa ke atas orang Islam dan agama kita sendiri.

Hal ini menimbulkan persoalan sejauh manakah orang Islam dan masyarakat Islam telah melengkapi diri mereka dengan ilmu pengetahuan, terutamanya jika dibandingkan dengan umat lain di dunia ini.

Pada akhir minggu lalu persoalan ini dibincangkan dengan agak mendalam oleh para peserta yang menghadiri seminar anjuran IKIM tentang pendekatan Islam dalam menginstitusi dan membudayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Persoalan pertama yang ditimbulkan ialah di manakah kedudukan umat Islam dalam bidang R&D pada hari ini setelah kita membicarakan secara panjang lebar dan penuh bangga tentang kejayaan ilmuan dan sarjana Islam pada zaman kegemilangan Islam, dan kesarjanaan mereka di dalam berbagai-bagai bidang disiplin ilmu pengetahuan?

Dibandingkan dengan kecemerlangan ahli fikir dan ahli falsafah Islam pada zamannya yang banyak sekali memberi sumbangan ilmu pengetahuan terhadap tamadun umat kita dan tamadun lain, maka di manakah kedudukan kita sekarang sebagai umat yang seharusnya mewarisi kecemerlangan itu?

Secara kebetulan seminar ini diadakan ketika Menteri-Menteri Luar Negara Islam sedang mengadakan persidangannya kali yang kedua puluh tujuh di negara kita, maka persoalan dan isu ini seharusnya turut dibincangkan secara serius oleh mereka.

Seperti yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Seminar IKIM itu bahawa negara-negara Islam melalui persidangan ini tidak seharusnya hanya menumpukan perbincangan kepada soal-soal politik semata-mata seperti soal Kashmir, Palestin, Bosnia, Chechen yang saban tahun dibicarakan tanpa banyak hasilnya, maka persidangan tersebut di negara kita pada kali ini amat baik sekali sekiranya dapat membicarakan pula isu-isu keilmuan, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan bagaimanakah cara untuk mempertingkatkan tahap pencapaian ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat Islam seluruhnya.

Sememangnya pun, jika ditinjau kepada bilangan penduduk negara-negara Islam sahaja, maka kita akan melihat bilangan manusia yang amat besar, iaitu berjumlah kira-kira 20 peratus daripada penduduk dunia. Peratusan ini hanya merupakan bilangan penduduk negara-negara OIC sahaja. Tetapi sekiranya dikaji tentang tenaga manusia di dalam bidang sains dan teknologi di kalangan negara Islam maka jumlahnya dianggarkan kira-kira 7.6 juta sahaja, atau kurang dari 4 peratus tenaga manusia di dalam bidang tersebut di negara-negara dunia lain.

Di samping itu tenaga manusia di dalam R&D di negara-negara Islam seluruhnya dianggarkan hanya 1.1 peratus dari tenaga dunia lain di dalam bidang yang berkenaan. Sumbangan dunia Islam kepada perbendaharaan ilmu pengetahuan dunia antarabangsa pula juga dianggarkan sebanyak 1.1 peratus sahaja, satu angka yang tidak sampai pun kepada sumbangan yang dihulurkan oleh negara Switzerland, sebuah negara yang hanya mempunyai penduduk enam juta orang! (Perangkaan ini saya petik dari kertas kerja Dr. Ishfaq Ahmad dari Suruhanjaya Tenaga Atom Pakistan).

Melihat kepada perangkaan dan peratusan ini, maka amat sesuailah ditanya sekali lagi di manakah kedudukan kita umat Islam di arena ilmu pengetahuan antarabangsa pada masa kini.

Nampaknya kita telah gagal meletakkan objektif sebenar dari hasil kekayaan negara-negara Islam seperti petrol, gas dan sebagainya. Nampaknya kualiti pelajaran dan pendidikan telah kita abaikan sama sekali, terutamanya di dalam bidang sains dan teknologi, dan kemampuan kita menggunakan ilmu itu untuk kemajuan negara kita sendiri.

Negara kita yang memberikan penumpuan kepada pembangunan sains dan teknologi, termasuk membina Koridor Raya Multimedia (MSC) sepatutnya dapat membuka mata para delegasi yang menghadiri persidangan para Menteri Luar OIC sekarang ini.

Malah bagi saya perangkaan di atas yang merupakan tamparan hebat kepada negara-negara Islam sepatutnya dapat membuka mata masyarakat umat Islam di negara kita sendiri bagaimana fakta dan angka yang tersebut berbicara tentang kepentingan pembangunan prasarana yang sedang kita lakukan itu, tanpa sebarang pandangan sinis dan berfikiran sempit melulu.

Dr. Ishfaq di dalam kertasnya juga mengemukakan statistik tentang keluaran domestik kasar negara-negara Islam atau gross domestic product (GDP) bagi semua 56 buah negara OIC termasuk negara-negara yang kaya dengan petrol dan negara-negara harimau Asia yang sedang membangun.

Menurutnya, GDP bagi negara-negara OIC hanya berjumlah kira-kira 1,200 bilion dolar Amerika. GDP negara Perancis sahaja berjumlah kira-kira 1,500 bilion dolar Amerika, Jerman 2,500 bilion dan Jepun 5,400 bilion!

Persoalannya di sini kenapakah GDP negara-negara Islam yang jumlah penduduknya kira-kira seperempat dari penduduk dunia dan mempunyai lebih 70 peratus dari simpanan minyak dunia itu maka keseluruhan GDPnya hanya berjumlah kira-kira setengah sahaja dari GDP negara Jerman dan suku sahaja dari negara Jepun? Bagi saya persoalan ini mungkin juga dapat dijawab oleh negara-negara Islam sendiri yang rata-ratanya tidak mempunyai wawasan politik untuk membangunkan projek penyelidikan dan pembangunan, dan yang tidak sanggup membelanjakan wang untuk pembangunan sains dan teknologi.

Negara-negara Barat membelanjakan peruntukan kewangan bagi projek tersebut di antara 3 dan 5 peratus, tetapi negara-negara Islam banyak membelanjakan wang mereka untuk tujuan itu tidak sampai pun satu peratus.

Negara kita mempunyai wawasan politik untuk projek tersebut dan telah membelanjakan wang yang banyak untuk sains dan teknologi termasuk mendirikan universiti sains, teknologi, multimedia dan sebagainya, tetapi mungkin peluang-peluang ini lebih banyak dimanfaatkan oleh orang-orang bukan Islam, kerana orang Islam tidak memandang disiplin ini sebagai satu obligasi agama seperti yang saya bicarakan minggu lalu.

Jadi amat tepatlah sekali pandangan Timbalan Perdana Menteri bahawa negara Islam terlalu banyak berpolitik dan politiking sehingga melupakan agenda negara untuk membangunkan negara dengan ilmu pengetahuan moden dan terkini.

Tepat sekali kenyataan ini, kerana di negara kita yang kecil dengan umat Islam yang kerdil ini pun kita amat sibuk berpolitik sempit dan menyusun agenda politik peribadi dan kelompok tertentu, sehingga melupakan agenda pendidikan, pengetahuan, disiplin hidup dan nilai akhlak.

Kalau negara kita yang dianggap contoh oleh beberapa perwakilan yang berucap di persidangan di atas pada upacara perasmiannya dua hari lalu masih dianggap sekular dan taghut oleh umat kita sendiri, maka negara manakah lagi yang hendak kita harapkan menjadi contoh di kalangan anggota OIC itu?

No comments: