Friday, June 8, 2007

Menghadapi kenyataan ketika berkuasa

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
TULISAN saya minggu lalu tentang kenyataan negara kita, malah negara-negara lain umumnya, yang memerlukan tindakan berasaskan realiti negara dan penduduknya menarik perhatian ramai orang termasuk pembaca yang terdiri daripada warganegara Malaysia yang berada di Jepun yang menghantar pandangan positifnya tentang perkara itu.

Motif tulisan saya itu ialah untuk menjelaskan bahawa seseorang atau satu kumpulan itu akan memandang ringan dan mudah terhadap sesuatu isu sebelum ia berhadapan dengan keadaan dan realiti yang sebenarnya.

Di negara kita umpamanya, kita mempunyai penduduk yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama, maka realiti ini seharusnya diakui dan diberikan perhatian yang saksama sebelum mengambil sebarang keputusan untuk merangka sesuatu dasar, terutamanya dasar yang menyentuh kepekaan keagamaan dan budaya sesuatu kaum.

Sebab itulah telah saya katakan bahawa amalan mengeluarkan lesen arak dan membenarkan pemeliharaan babi serta penyembelihannya di negara kita bukanlah merupakan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran dan nilai agama kita, hanya yang perlu dalam hal ini ialah membuat pertimbangan yang wajar tentang kepadatan kaum, maslahat sosial, kebersihan alam sekitar, dan kemungkinan-kemungkinan lain yang boleh menimbulkan keresahan dan gangguan kepada kaum lain iaitu untuk mengelakkan sebarang persengketaan dan konflik pada jangka pendek dan jangka panjangnya.

Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang baik dalam hal ini ketika merangka dasar negara tentang hak dan kewajipan bagi kaum Yahudi dan Nasrani ketika baginda menerajui kerajaan Madinah dan memimpin negara serta menjadi ketua negara, ketua tentera dan sebagainya.

Para sahabat baginda sendiri seperti Umar ibn Al-Khattab sering mengambil berat tentang orang-orang bukan Islam, sehingga beliau mengarahkan Baitulmal memberikan bantuan kepada perempuan tua yang bukan Islam.

Ini semuanya menjelaskan tentang sifat dan sikap toleransi agama Islam dan pemerintahnya kepada warganegara bukan Islam di dalam sebuah negara Islam itu.

Namun yang menjadi masalahnya seperti yang pernah disebutkan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, bahawa kebangkitan Islam dan semangat kembali kepada ajaran Islam yang muncul pada tahun-tahun tujuh puluhan telah menimbulkan satu aliran di dalam masyarakat Islam, khususnya di kalangan generasi muda, yang ingin melihat perubahan kepada Islam secara total di dalam masyarakat, ingin melihat bahawa orang Islam haruslah berubah di dalam masa 24 jam menjadi Islam di dalam segala-galanya, terutamanya dari segi lahiriah, dan dari segi menghapuskan segala-galanya yang dianggap tidak ''Islamik''.

Kalau perlu mereka ingin menghapuskan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam, menghapuskan semua premis judi dan arak dan sebagainya.

Semangat ini sememangnya amat baik untuk jangka panjang kebangkitan dan penghayatan Islam, terutamanya di negara-negara Islam sendiri. Tetapi ketika menghadapi realitinya, kita harus akui kepekaan orang-orang bukan Islam, dan budaya hidup mereka yang bukanlah semudah itu menerima perubahan mendadak dan mengorbankan cara hidup mereka yang telah mereka warisi sekian lama sejak turun-temurun.

Di negara kita pun terdapat aliran pemikiran yang sama, malah akibat dari pemikiran yang fanatik dan gopoh itu, terutamanya kerana dipengaruhi oleh kefahaman politik kepartian yang sempit kononnya untuk menegakkan Islam, maka tersebar luas di dalam masyarakat bahawa mengeluarkan lesen arak, babi dan sebagainya adalah kerja kufur dan terkeluar daripada Islam, oleh itu pihak yang mengeluarkannya adalah kafir. Maka dalam konteks inilah saya menyebut bahawa kerajaan Terengganu yang baru-baru ini membenarkan pengeluaran lesen arak dan babi adalah kerana menyedari hakikat dan realiti yang dihadapi tentang hak dan kemudahan yang harus diberikan kepada orang-orang bukan Islam, dan perbuatan ini dengan sendirinya menafikan pandangan sempit sesetengah anggota masyarakat selama ini bahawa pengeluaran lesen tersebut bertentangan dengan ajaran atau akidah Islam.

Saya mahu supaya kalangan yang selama ini berangan-angan untuk menghapuskan lesen tersebut supaya sedar akan hakikat hidup, dan rujuk semula kepada ajaran Islam yang sebenarnya tentang perkara ini dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu itu, dan tidak lagi bersikap tertutup dan fanatik tentang perkara ini dengan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap amalan yang dijalankan selama ini. Inilah sikap sederhana dan terbuka kita sebagai orang-orang Islam, terutamanya ketika kita mendapat kuasa untuk memerintah di dalam negara seperti negara kita ini.

Namun begitu telah saya tegaskan juga bahawa dalam sebarang keadaan pun, pertimbangan dan kewajaran haruslah diberikan perhatian yang serius. Toleransi tidak bererti menyerah kalah sehingga mengorbankan kesucian agama dan nilai moral agama kita. Kuasa tidaklah boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana ingin mendapat pengaruh politik atau sesuatu pengaruh yang sempit dan berbentuk fanatik peribadi atau kumpulan yang tertentu.

Perkara terpenting dalam konteks ini ialah menyedari realiti dan hakikat hidup kepelbagaian agama dan kaum yang tidak bercanggah dengan ajaran agama kita sendiri.

Inilah sikap sederhana dan terbuka yang kita amalkan selama ini baik pun di dalam bidang ekonomi, budaya, sosial, politik dan sebagainya. Tidak ada sesuatu pun yang 'tidak Islamik' tentang sistem yang menjadi amalan kita selama ini, malah ianya adalah membuktikan komitmen kita kepada agama kita sendiri di dalam membangun negara kita sejak mencapai kemerdekaan lagi, kerana kita mewarisi ajaran dan nilai-nilai Islam sejak lama setelah kedatangan Islam ke rantau ini, dan kita tidak pernah menganut kefahaman kufur atau sekularisme yang ternyata bertentangan dengan agama kita.

Oleh itu saya berharap masyarakat akan dapat memahami motif tulisan saya dan menyedari hakikat kita yang sebenarnya, supaya kita termasuk ke dalam golongan orang yang akan rujuk kepada kebenaran kerana rujuk kepada kebenaran itu lebih baik daripada berpanjangan di dalam kesesatan. Satu hal lain yang harus diingatkan bahawa kita tidak dapat selama-lamanya berangan-angan dan bermimpi yang indah-indah, kerana ketika kita berkuasa barulah kita tahu langit itu tinggi atau rendah.

No comments: