Friday, June 8, 2007

Kekuatan fizikal dan mental ummah penting

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
PERHATIAN dunia yang tertumpu ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney sekarang ini dengan sendirinya dapat menilai prestasi negara-negara yang mempunyai kekuatan untuk mendapatkan pingat.

Melalui temasya sukan empat tahun sekali itu seluruh penduduk dunia dapat mengenali negara-negara asing, terutamanya negara-negara kecil yang tidak banyak menonjol di mata dunia, iaitu melalui acara sukan yang disertainya, terutamanya apabila negara itu berjaya merangkul pingat.

Kita percaya bahawa negara kita juga dapat dikenali oleh penduduk dunia melalui acara sukan yang disertainya walaupun dalam semua acara yang disertai itu, negara kita tidak mendapat sebarang pingat.

Dari sudut ini saya rasa negara kita perlulah menyusun strategi kesukanan yang lebih rapi dan latihan yang bersungguh-sungguh supaya dalam masa empat tahun yang akan datang negara kita sekurang-kurangnya akan dapat menyaingi negara-negara yang sama taraf dengan kita seperti Jepun, Korea dan China.

Ketika Khalifah Umar memesan supaya anak-anak dilatih dan diajar kemahiran memanah, berkuda dan berenang, maka pada saat itu tentulah tidak timbul idea persaingan untuk bersukan seperti temasya sukan moden Olimpik atau Sukan Komanwel yang pernah kita anjurkan pada tahun 1998 yang lalu.

Pesanan dan bimbingan yang dikeluarkan Khalifah Umar ini semata-mata untuk menganjurkan supaya pendidikan kemahiran haruslah dimulai dari zaman kanak-kanak dan kemahiran itu pula seharusnya tertumpu kepada kemahiran yang melatih pembangunan fizikal, mental dan fikiran yang tajam.

Pendidikan berkuda, berenang dan memanah sememangnya memerlukan penumpuan fikiran secara mantap kepada aktiviti yang dilakukan itu.

Disamping itu aktiviti tersebut juga memerlukan ketekunan, kesabaran, daya ketahanan jiwa dan mental yang kuat, kesungguhan dan sebagainya.

Tanpa kesungguhan, kekuatan jiwa dan mental, orang mungkin tidak dapat mencapai kecemerlangan di dalam sekurang-kurangnya tiga cabang aktiviti tersebut.

Oleh kerana Khalifah Umar sebenarnya belum merancang persaingan di antara bangsa di dalam aktiviti yang disebutkan itu, maka boleh disimpulkan bahawa apa yang disebutkannya itu adalah ditujukan kepada generasi umat Islam pada zamannya dalam menyediakan golongan umat yang akan datang.

Generasi baru berdasarkan pesanan tersebut tentulah seharusnya menjadi generasi yang mahir, kuat, mantap dan cekap. Berenang, berkuda dan memanah juga merupakan kemahiran manusia yang bukan hanya untuk rekreasi, malah merupakan tektik manusia untuk bidang pertahanan, peperangan dan melawan musuh.

Oleh itu al-Quran memerintah umat Islam supaya bersiap sedia dalam menghadapi musuh mereka dengan segala kekuatan yang perlu, dan di antara persiapan itu ialah pasukan berkuda yang sentiasa awas.

Ayat yang mengisyaratkan tentang perkara ini ialah ayat 60, surah al-Anfal yang bermaksud: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari diri pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah, dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya.

Ayat ini menjadi dalil tentang kewajipan umat menyediakan diri dengan segala kelengkapan dan kekuatan termasuk peralatan senjata dan kekuatan peperangan untuk menghadapi musuh yang menceroboh dan bertindak zalim.

Walaupun ayat ini menyebut persediaan tentang pasukan berkuda, namun ia tidak menafikan persediaan-persediaan lain, kerana persediaan-persediaan ini bergantung ke atas persediaan semasa sesuai dengan perkembangan teknologi terbaru umpamanya.

Namun begitu yang menjadi keprihatinan kita dalam konteks ini ialah penekanan al-Quran tentang kekuatan dan peralatan yang sekali gus juga menyentuh persiapan mental dan fizikal yang tinggi dan berkualiti.

Temasya sukan besar atau kecil sehingga ke hari ini jika dilihat kepada acara-acaranya yang besar ternyata menumpukan kepada jenis kemahiran yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental serta pemusatan dan konsentrasi minda yang mantap, termasuk sukan yang melibatkan berenang, berkuda dan memanah.

Untuk berjaya di dalam sukan juga seorang peserta memerlukan kesabaran, ketekunan, bekerja keras, ketahanan jiwa, kesungguhan dan kemahuan yang tinggi untuk berjaya.

Pendeknya untuk menghadapai sebarang aktiviti bagi mencapai kejayaan, dan kejayaan itu pula bukanlah hanya setakat kejayaan biasa, malah kejayaan yang cemerlang dan luar biasa, maka seseorang itu hendaklah mempunyai fizikal, mental dan kejiwaan yang besar dan tinggi.

Kejayaan tidak mungkin dicapai dengan persediaan yang lemah dan tidak kesampaian, atau penumpuan minda yang tumpul, tidak mempunyai keyakinan diri, dan tidak sanggup berkorban menghadapi sebarangan cabaran dan rintangan.

Orang-orang lemah begini tentulah akan berakhir dengan kegagalan semata-mata.

Tradisi kekuatan bersepadu dan holistik beginilah yang ditanamkan oleh tradisi agama kita di dalam jiwa penganutnya, iaitu melalui pendidikan fizikal, akal dan roh.

Pendidikan fizikal bertujuan untuk melahirkan tubuh badan dan jasmani yang kuat dan sihat. Pendidikan akal untuk mengasah minda supaya dapat berfikir dengan baik dan tajam, dan pendidikan roh ialah untuk melahirkan jiwa, semangat dan rohani yang kuat, termasuklah iman yang mendalam, tidak mudah digugat dan dicabar oleh sebarang anasir luaran dan dalaman insan itu sendiri.

Tegasnya bahawa pesanan untuk anak-anak mempunyai kemahiran berkuda, memanah dan berenang, dan penegasan al-Quran agar umat bersedia dengan segala kekuatan dalam menghadapi ancaman musuh yang bertindak menceroboh dan melakukan kezaliman, menuntut umat supaya mempunyai kekuatan fizikal dan material, ketajaman minda dan pemikiran serta kekuatan iman dan azam serta tekad untuk mengatasi segala kelemahan sendiri dan mencapai kemenangan dan kejayaan di dalam segala persaingan.

Mungkin kekuatan secara sepadu dan holistik seperti ini masih belum mencukupi untuk ahli sukan kita dalam mengharungi persaingan di temasya sukan yang besar seperti Sukan Olimpik ini.

Kalau diberikan alasan bahawa kita orang Tenggara Asia masih belum cukup persediaan tentang saiz badan dan sebagainya, maka kenapa pula orang-orang China, Jepun dan Korea dapat mencapai kejayaan yang baik dan dapat pula bersaing hebat dengan orang-orang lain yang mempunyai tubuh badan yang lebih besar seperti orang Amerika dan Eropah? Apakah bezanya saiz tubuh badan orang Jepun dan Korea dibandingkan dengan kita orang Malaysia.

Mungkin inspirasi agama tentang kekuatan fizikal dan kerohanian, kekuatan mental dan fikiran serta kesepaduan semua kekuatan itu boleh kita ambil kira sebagai satu kriteria yang penting dalam melahirkan umat dan rakyat kita yang kuat dan cemerlang, termasuk juga dalam bersukan bagi memenangi pingat dan mengangkat maruah bangsa dan negara kita.

No comments: