Friday, June 8, 2007

Kewartawanan politik dan beretika

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
ISU pemberitaan secara politik oleh media Barat menjadi tumpuan saya ketika membentangkan kertas kerja di dalam seminar di IKIM pada 1 Julai yang lalu.

Seminar yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang Islam di dalam media itu menyaksikan kehadiran para perwakilan Barat dan Amerika, di samping perwakilan negara-negara Asia.

Isu utama yang didialogkan ialah tentang imej gelap yang dilabelkan kepada Islam akibat dari laporan dan gambaran negatif tentang Islam dan umatnya, dan bagaimanakah masalah ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya oleh pihak media melalui laporan dan pemberitaan yang adil dan saksama.

Contoh pemberitaan yang agak adil terhadap negara kita pernah dilakukan oleh beberapa media Barat.

Majalah Time keluaran 23 September 1996, umpamanya memuatkan artikel utama tentang pembangunan Islam di Asia Tenggara, iaitu dengan memberi gambaran tentang generasi muda yang mulai menghayati Islam secara moden dan sederhana ''... pandangan yang agak biasa tentang anak muda berambut panjang dan berikat seperti ekor kuda dengan telefon bimbitnya memandu kereta Mercedesnya menuju ke masjid ...''

Gambaran seterusnya memberikan kesan dan gema seperti berikut ''... di bahagian dunia yang menaranya tertegak ke angkasa bersama-sama puncak bangunan perdagangannya yang hebat, tikar sembahyang yang masih bergulung biasanya terletak tidak jauh dari mesin-mesin komputer pejabat...''

Gambaran positif tentang kesederhanaan generasi muda Islam di negara-negara rantau kita memberi kesan dan pengalaman baru kepada pembaca tentang pembangunan agama di dalam masyarakat kepelbagaian kaum dan budaya, kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan, termasuk kemajuan teknologi yang mencorakkan pembangunan negara-negara harimau Asia Tenggara. Mungkin suasana politik dan ekonomi ketika laporan ini dibuat membangun dengan baik untuk maslahat Barat sendiri, dan para editornya melihat hal ini sebagai satu perkembangan yang sihat kerana ia mengandungi kepentingan mereka.

Tetapi amat malang sekali laporan dan pemberitaan media Barat terhadap pembangunan agama, politik dan ekonomi negara kita sedikit demi sedikit mulai menampakkan elemen-elemen negatif dan penghinaan dengan laporan yang berat sebelah.

Hal ini berlaku secara yang amat ketara selepas krisis kewangan yang berlaku di rantau kita pada pertengahan tahun 1997 dan kegawatan politik yang berlaku pada jangka masa yang agak sama.

Tiba-tiba sahaja digambarkan secara berat sebelah tentang perjuangan radikal Islam sebagai pergerakan berpengaruh dan berpotensi besar untuk mengubah kedudukan politik negara kita.

Secara tiba-tiba juga persepsi baik tentang kepimpinan negara yang dipahatkan selama ini, bertukar menjadi kecaman dan digambarkan dengan berbagai-bagai label negatif seolah-olah negara telah berada di ambang kehancurannya.

Hal ini merupakan satu contoh yang jelas sekali tentang pemberitaan yang bermotifkan politik yang sering diamalkan oleh media Barat terhadap negara-negara yang dianggap tidak mengikut perancanaan mereka, atau lebih tegas lagi tidak tunduk kepada perencanaan mereka dalam merangka pembangunan politik dan ekonomi negara.

Majalah Asiaweek dan The Economist umpamanya sering membuat laporan tentang gerakan radikal Islam sebagai kuasa yang berpengaruh dan bakal menentukan suasana politik masa depan dan kepimpinan negara kita. Gambaran ini memberi kesan seolah-olah satu keributan ekonomi dan politik sedang melanda dan mengancam kestabilan politik dan negara kita.

Laporan dan pemberitaan seperti ini jelas menunjukkan satu pertukaran paradigma dan persepsi editor tertentu terhadap isu yang sebenarnya dan peristiwa dalaman negara yang tidak mereka fahami dengan sebaik-baiknya.

Arah dan hala tuju politik Barat seolah-olah merencanakan cara pemberitaan dan laporan terhadap negara-negara membangun yang menunjukkan sikap pertentangan terhadap mereka di dalam aspek-aspek yang hendak mereka paksakan ke atas negara lain agar negara-negara lain dapat dibelenggu dan diperangkap menjadi mangsa mereka.

Pemberitaan dan laporan bermotifkan politik ini sebenarnya yang menjadi masalah kepada negara-negara Islam, kerana gambaran yang diberikan amat mencemar imej negara-negara tertentu dan meninggalkan akibat yang buruk ke atas negara-negara tersebut dari segi pembangunan ekonomi dan politiknya.

Telah ditimbulkan juga di dalam seminar ini tentang analisis akademik yang amat adil terhadap imej Islam dan hubungannya dengan Barat.

Analisis akademik memberikan gambaran yang positif tentang Islam dan dengan itu mampu memberikan gambaran yang sungguh jelas tentang pembangunan Islam dengan nilai-nilai sejagatnya.

Tetapi seperti yang ditekankan di atas, sebenarnya dari segi akademik dan fakta, maka Islam sebenarnya tidak mempunyai masalah yang banyak, kerana hakikat ilmu dan kebenaran Islam dengan ajaran dan nilainya yang murni dan universal tetap merupakan hakikat yang harus diakui oleh semua.

Oleh itu isu-isu mempolitikkan berita dan laporan inilah yang sebenarnya menjadi tumpuan perbincangan dan yang perlu diberikan kefahaman kepada para jurnalis dan editor Barat agar mereka lebih bersimpati dan memahami situasi dan keadaannya yang sebenar.

Alangkah baiknya jika jurnalis politik ini dapat memahami isu yang sebenarnya dan mempunyai persepsi yang agak jelas seperti yang difahami oleh John Espesito, Edward Said dan sebagainya!

No comments: