Friday, June 8, 2007

Tiada kekuatan untuk bantu Palestin

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SEMASA berada di London beberapa hari yang lepas saya berpeluang membaca dan melihat pandangan sejagat, terutamanya pandangan orang Islam dari Eropah dan dunia Arab, tentang perkembangan berdarah yang berlaku di Palestin.

Terdapat dua tiga saluran televisyen yang dipancarkan dari London, Dubai dan Qatar dalam bahasa Arab yang secara langsung menyiarkan suara dan pandangan pembicara dan penonton tentang isu tersebut.

Saya mendapat kesan dari pembicaraan yang telah diadakan dengan disertai oleh ahli-ahli panel dan pandangan penonton melalui telefon daripada hampir keseluruhan negara Arab, isu ini dibicarakan dengan penuh semangat dan emosi.

Kebanyakan yang berbicara dan menyatakan pandangan melalui telefon telah membawa fakta sejarah tentang hak orang Islam ke atas Baitulmaqdis dan sifat rakus serta permusuhan kaum Yahudi. Ramai di antara para penonton yang menuntut kesatuan di antara umat Arab dan Islam untuk memperjuangkan kedaulatan orang Islam ke atas Baitulmaqdis.

Melihat dan meneliti pandangan yang dikeluarkan itu, apalagi melihat kepada pengorbanan para belia Palestin yang bersenjatakan batu melawan tentera rejim Israel yang bersenjatakan peluru, maka saya merasa kagum dengan semangat dan keberanian para belia tersebut yang sanggup menggadaikan nyawa mereka di hadapan musuh yang tidak mengenal belas kasihan itu.

Dan sememangnya pun pengorbanan itu telah memakan diri rakyat Palestin dengan kematian kira-kira seratus orang, termasuk tragedi ngeri yang menimpa anak kecil Jamal Al-Durra yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba bapanya akibat peluru tentera musuh yang tidak mengenal tamadun itu.

Kematian dan kekejaman yang dialami oleh rakyat Palestin disaksikan oleh jutaan umat manusia melalui kaca televisyen, tetapi semuanya ini tidak berjaya menarik perhatian dan tindakan masyarakat antarabangsa sehingga tersebar berita penculikan tiga orang tentera rejim Israel oleh kumpulan Hamas, maka pada saat itu barulah terdengar teriakan seluruh dunia menuntut keadilan dan menuding jari kepada rakyat Palestin sebagai manusia kejam dan ganas, termasuk suara kepala negara polis antarabangsa yang selama ini memang menyokong anak didiknya yang bertindak memusuhi rakyat Palestin.

Seorang pengulas politik Timur Tengah menyatakan kesalnya terhadap sifat berat sebelah dunia umumnya terhadap isu ini iaitu dengan menyatakan bahawa keadaan yang berlaku sekarang ini seolah-olah Palestin yang menjajah Israel sehingga banyak sekali suara yang berpengaruh di Barat menuntut supaya rakyat Palestin menghentikan keganasan dan bukannya menuntut tentera Israel menghentikan pencerobohan dan tembakan mereka ke atas rakyat Palestin yang bertindak mempertahankan maruah dan negara mereka.

Pengulas ini juga menyatakan kehairanannya kenapakah kes Timor Timur yang melibatkan isu kemanusiaan yang tidak sehebat dan sekejam apa yang dialami oleh rakyat Palestin mendapat perhatian Amerika, Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa lain yang bangun serentak dengan amat cepat sekali menyelesaikan isu ini?

Seorang penonton dari sebuah negara Arab menelefon sebuah stesyen televisyen satelit Arab menuntut supaya saluran itu dan saluran televisyen Arab lainnya jangan lagi menyiarkan gambar-gambar para pemimpin Amerika terutamanya Setiausaha Negaranya, Madeleine Albright kerana umat Arab amat muak melihat kelibat mereka di kaca televisyen disebabkan sikap mereka yang berat sebelah dan berpura-pura selama ini.

Saya melihat rakyat umumnya mempunyai pelbagai pandangan dalam menjayakan perjuangan rakyat Palestin untuk menubuhkan negara dan kerajaan mereka yang merdeka dan berdaulat. Semangat dan kesediaan mereka untuk berkorban nampaknya amat tinggi dan meluap-luap. Bagaimanapun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam satu sesi dialog dengan para peserta yang menghadiri pertemuan beliau dengan para intelek Islam di London pada 3 Oktober sebagai menjawab satu pertanyaan dari hadirin, bahawa negara Islam hanya dapat menyatakan simpati dan sedih dengan apa yang dialami oleh rakyat Palestin dalam perjuangan dan pengorbanan mereka itu.

Perasaan simpati ini tidak memberi kesan apa-apa kerana dalam dunia canggih pada hari ini tidak terdapat sebuah pun negara Islam yang kuat dan termasuk di dalam kumpulan negara maju yang sebenarnya. Dengan itu negara Islam tidak dapat bersaing apa lagi melawan kuasa lain yang kuat dan maju, malah negara Islam tetap dipandang rendah dan hina.

Sebenarnya hakikat inilah yang dapat saya kesan dari semua suara dan pandangan yang dikeluarkan oleh rakyat dari dunia Islam dan dunia Arab melalui akhbar dan siaran televisyen selama saya berada di London.

Kita amat kaya dengan semangat dan retorika, amat pandai dengan teori dan falsafah untuk berjuang dan berjaya dalam perjuangan itu. Tetapi sayangnya kita amat kekurangan kuasa, terutamanya kuasa politik yang dapat mencorakkan cara politik antarabangsa. Politik negara Islam masih tidak merdeka, masih bergantung kepada kuasa luar, termasuk kuasa besar dari Barat.

Hal ini juga sebenarnya yang dapat kita saksikan ketika berlaku peperangan Teluk beberapa tahun dulu, iaitu akibat dari permusuhan sesama negara Islam, maka dunia Islam sendiri yang menerima hukuman dari kuasa penjajah Barat yang mengakibatkan kemusnahan dan kesengsaraan umat Islam sendiri. Malah di dalam krisis itu kita dapat menyaksikan bagaimana negara Islam sendiri yang memberi laluan dan pangkalan kepada pesawat-pesawat musuh untuk mengebom dan memusnahkan negara Islam yang berjiran dengannya.

Keadaan ini jelas menunjukkan kemelut perpecahan yang berlaku di kalangan negara-negara Islam, dan pergantungan sesetengah negara Islam kepada kuasa Barat untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

Maka dalam isu Palestin ini pun, nampaknya rakyat Palestin sendiri yang akan menjadi korban yang dalam jangka masa berpanjangan, sedangkan negara-negara Islam lainnya tidak dapat berbuat apa-apa, dan mungkin juga mengelak diri daripada melakukan sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan orang lain.

Amat sayang sekali negara-negara yang kaya dengan anugerah Allah s.w.t. dalam perut bumi mereka yang dinamakan emas hitam atau petrol tidak mahu menggunakan kekayaan mereka ini sebagai senjata untuk melawan penjajahan Barat yang selama ini memperkotak-katikkan umat Islam, termasuk rakyat Palestin yang penuh malang itu.

Bagi saya selagi dunia Islam masih bercakaran, mundur, tidak merdeka sepenuhnya, tidak bermaruah dan masih hanya beretorika dan berteori, maka selama itulah umat Islam seluruhnya akan mengalami nasib gelap, ditindas, dihina dan kematian rakyat yang tidak berdosa seperti yang ditimbulkan oleh pengorbanan Jamal Al-Durra itu tidak akan terbela.

Kita hanya akan dapat mengucapkan ''kasihan'' dan ''kasihan'' sahaja, atau berteriak dengan sekuat-kuatnya ke seluruh dunia, namun tiada siapa pun yang dapat mendengar suara kita.

No comments: