Friday, June 8, 2007

Kesepaduan umat perlu sikap terbuka

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BAGI sesiapa yang memahami al-Quran atau membaca tafsirannya, tentu pernah terbaca kisah Bani Israil yang membuat beberapa helah ketika Nabi Musa a.s menyampaikan perintah Allah s.w.t kepada mereka agar menyembelih lembu betina seperti yang tersebut di dalam surah al-Baqarah ayat 67 hingga 71.

Mereka menganggap bahawa perintah itu adalah satu mainan semata-mata, sebab itulah mereka sengaja membuat helah dengan mengemukakan beberapa soalan yang diada-adakan tentang sifat lembu betina tersebut, yang dikatakan amat mengelirukan.

Mereka bertanyakan tentang sifatnya, warnanya dan berbagai-bagai perkara lain mengenai lembu tersebut, sehingga apabila mereka telah benar-benar terdesak, mereka pun terpaksa mendapatkan lembu yang memenuhi sifat dan rupa yang mereka tanyakan, dan hal ini hampir-hampir memerangkap mereka sendiri, iaitu seperti yang diterangkan Allah s.w.t:

ifMereka berkata: Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itunf. Al-Baqarah, ayat 71.

Helah mereka amatlah jelas, iaitu menyembunyikan perasaan yang tidak ikhlas dan permusuhan serta menentang terhadap perintah Allah s.w.t.

Kisah ini sebenarnya merupakan satu pengajaran yang amat baik bagi kita ketika berhadapan dengan sesuatu perkara yang perlu dibuat keputusan dengan segera. Menyembunyikan perasaan yang tidak ikhlas, atau sengaja membuat helah tertentu bagi mencari keuntungan diri sendiri merupakan sifat yang tidak baik bagi orang-orang yang beriman kepada Allah s.w.t.

Kita pun mengetahui tentang perintah Allah s.w.t bahawa kita tidak harus terlalu banyak bertanya tentang sesuatu, sehingga hal ini kadang-kadang membawa akibat yang tidak baik atau menyakitkan hati kita.

Banyak perkara yang sememangnya memerlukan penjelasan lanjut dan terperinci, tetapi tidak semestinya semua perkara itu memerlukan banyak pertanyaan sehingga akhirnya menyusahkan kita sendiri, malah kadang-kadang membawa akibat yang buruk pula kepada semua.

Oleh itu, helah Bani Israil ini juga hanya menggambarkan sikap tidak ikhlas dalam mematuhi perintah Allah s.w.t dan mempersenda-sendakan arahan-Nya.

Dalam ruangan ini minggu lalu, telah saya sentuh juga helah yang dibuat oleh Amrun Ibn As yang menjulang kitab suci al-Quran di atas tombak sebagai helah politik untuk menjatuhkan Khalifah Ali. (Saya mohon maaf kerana tersalah memetik nama ini sebagai Abu Musa Al-Ashari).

Helah politik yang dilakukan ini telah mempengaruhi orang ramai yang telah terperangkap dalam peperangan psikologi dan agama, iaitu dengan menjulang kitab suci tersebut, maka orang Islam semestinya tidak berani lagi mengingkari atau melakukan sesuatu yang dianggap bertentangan dengan dasar al-Quran, maka dengan itu mereka akan menurut apa sahaja yang diperintahkan oleh pihak yang menjulang kitab suci itu.

Hal ini bagaimanapun merupakan satu helah, dan helah ini ternyata amat berkesan mempengaruhi pemikiran dan pendirian orang ramai. Inilah sebenarnya analisis para pengkaji sejarah politik Islam yang melihat bahawa dalam politik terdapat beberapa tindakan para pemimpin yang dapat meyakinkan orang awam walaupun hal itu tidak sepatutnya dilakukan sekiranya pihak-pihak yang bertelagah benar-benar mempunyai sifat ikhlas dan jujur kerana memperjuangkan kepentingan ummah dan agamanya.

Helah yang tersebut itu merupakan satu catatan sejarah yang banyak memberikan pengajaran kepada orang Islam pada hari ini dalam menghadapi persoalan dan cabaran semasa kita sendiri, termasuk di dalam negara kita ini yang menyaksikan perpecahan sesama Islam yang agak parah.

Umat Islam di negara kita menghadapi krisis yang membawa kepada perpecahan dan persengketaan disebabkan oleh beberapa isu yang tertentu. Salah satu isu sebenarnya ialah isu politik dan perebutan kuasa antara umat Islam. Tegasnya isu politik merupakan satu isu besar yang membawa kepada perpecahan sesama umat Islam negara ini.

Usaha-usaha untuk mencari titik pertemuan dan persepakatan pandangan dan sikap pula nampaknya banyak sekali menghadapi jalan buntu. Pihak-pihak yang bersengketa nampaknya masih berbincang tentang prasyarat, tanpa mencuba untuk menetapkan apakah agenda umat sebenarnya yang perlu dibincang? Apakah titik pertemuan yang perlu dicari? Malah, apakah agenda bersama yang seharusnya disepakati, meskipun masing-masing pihak mempunyai agenda politik tersendiri dari segi pendekatannya.

Ringkasnya, dalam keadaan ini pun saya rasa banyak iktibar dan pengajaran yang perlu kita pelajari daripada peristiwa sejarah yang antaranya ada yang membawa kerugian dan tragedi kepada umat Islam sendiri.

Kisah Bani Israil yang saya sebutkan itu juga seharusnya memberi panduan kepada kita dalam menghadapi sesuatu masalah dan bagaimanakah caranya mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Sesuatu yang seharusnya diselesaikan segera demi kepentingan bersama maka ia tentulah tidak seharusnya dilengah-lengahkan, apa lagi dengan meletakkan syarat-syarat yang agak asing daripada matlamat asal perbincangan yang dimaksudkan itu.

Pengajaran Allah s.w.t melalui kisah lembu betina ternyata sekali bahawa Bani Israil bertujuan untuk menambahkan kekusutan kepada masalah yang sedia ada. Hal inilah yang disebutkan Allah s.w.t bahawa perintah-Nya kepada Bani Israil itu akhirnya hampir-hampir tidak mampu dilaksanakannya.

Oleh itu bagi agenda perpaduan umat Islam di negara kita, nampaknya terdapat lebih banyak unsur-unsur yang mungkin membawa kepada kegagalan daripada kejayaan. Ini disebabkan oleh halangan yang sedia wujud dan beberapa tekanan lain yang lebih banyak menjurus kepada kegagalan.

Sempena sambutan hari mulia dan suci Islam, iaitu Hari Raya Korban, amat diharapkan bahawa umat Islam dan para pemimpinnya akan lebih bersikap terbuka dan ikhlas demi kepentingan umat Islam keseluruhannya. Para pemimpin politik daripada kalangan orang Islam haruslah sanggup berkorban dengan penuh kesedaran dan keinsafan untuk kepentingan seluruh ummah, bukan untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu. Inilah makna korban yang paling besar bagi kita umat Islam.

No comments: