Friday, June 8, 2007

Pecahkan rekod kelembapan pelajar Melayu

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
PADA masa kini, terdapat banyak berita dan tulisan di dalam media yang mendedahkan tentang kelemahan pelajar kita dalam pelajaran dan pengajian mereka.

Dalam dua tiga minggu ini terdapat berita yang menjelaskan tentang satu kajian yang menunjukkan bahawa prestasi pelajar Melayu di dalam peperiksaan akhir peringkat ijazah di universiti amat rendah dan tidak memberangsangkan.

Jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar bukan Melayu ternyata peratusan pelajar Melayu yang mendapat kelas pertama atau kelas dua atas di peringkat ijazah adalah terlalu jauh ketinggalan di belakang.

Hal ini menjadi lebih ketara lagi apabila dilihat kepada jurusan pengajian aliran sains dan teknologi, maka peratusan tersebut lebih merosot lagi iaitu menunjukkan satu pencapaian yang amat mengecewakan, terutamanya apabila disedari hakikatnya bahawa pelajar-pelajar Melayu itulah yang banyak mendapat kemudahan bantuan biasiswa, pinjaman dan sebagainya.

Menurut satu tulisan yang disiarkan dalam jangka waktu yang sama, seorang pegawai bahagian hal ehwal pelajar sebuah universiti membuat kesimpulan bahawa jika pada hari pertama pendaftaran di universiti terdapat bilangan pelajar Melayu seramai 600 orang umpamanya, maka pada hari konvokesyen mungkin hanya kira-kira 400 orang sahaja pelajar tersebut yang berjaya menamatkan pengajiannya dan menerima ijazah. Yang bakinya mungkin telah keguguran di tengah jalan atau mengambil keputusan menyerah kalah kerana sebab-sebab yang hanya mereka sahaja yang mengetahuinya.

Hal ini sebaliknya berbeza dengan pelajar bukan Melayu, iaitu kalau 600 orang yang mendaftar diri maka seramai itu pulalah yang berjaya hingga ke akhir dan mendapat ijazah.

Sama ada hal ini merupakan hakikat yang betul atau tidak dari segi perangkaan dan peratusannya, namun inilah hakikat yang berlaku dalam masyarakat pelajar Melayu pada masa kini.

Sesiapa sahaja yang pernah menghadiri majlis konvokesyen di universiti, mereka akan dapat menyaksikan keadaan ini dengan mata kepala mereka sendiri, dan mereka juga akan dapat menatapnya dalam rakaman buku-buku cenderamata konvokesyen tersebut yang terpampang dengan nama-nama pelajar cemerlang kelas pertama atau kedua tinggi, merebut hadiah buku, pingat dan berbagai-bagai hadiah lain yang menunjukkan pencapaian terbaik pelajar-pelajar tersebut. Nama-nama itu biasanya tidak banyak yang tertera sebagai nama pelajar Melayu.

Maka dalam menghadapi keadaan yang menyedihkan ini, saya percaya pihak kerajaan dan masyarakat umumnya termasuk para ibu bapa dan tenaga pengajar universiti yang prihatin tentang hal ini, telah mempunyai berbagai-bagai idea untuk memperbaikinya.

Saya pernah membaca banyak teori dan fikiran yang dikeluarkan untuk menganalisis dan menyelesaikan kelemahan ini, cuma yang belum dilihat atau ditemui ialah perubahan yang benar-benar berlaku hasil daripada teori dan fikiran yang baik itu.

Rasanya telah berpuluh-puluh tahun kita membicarakan hal ini dan pelbagai bengkel dan seminar telah dijalankan untuk membincangkannya, namun satu perkara yang tidak dapat kita saksikan secara nyata, ialah perubahan dan anjakan paradigma yang sebenar-benarnya berlaku di kalangan masyarakat pelajar Melayu itu sendiri.

Pada hari ini nampaknya kita masih memerlukan kajian, kita masih meneliti kajian itu dan kita masih membicarakan hal ini dengan angka dan fakta yang menjurus kepada pendedahan kelemahan dan kemunduran, sedangkan sebab-sebab dan kaedah untuk mengatasinya kelihatan amat rapuh dan tidak berdaya untuk mewujudkan perubahan yang kita perlukan.

Jadi nampaknya kita akan terus membuat kajian dan akan terus menatap angka dan fakta kelemahan dan kemunduran pelajar-pelajar kita dalam kebingungan dan kehairanan.

Kalau kembali kepada ajaran agama kita, ternyata bahawa kita mempunyai banyak fakta dan perintah yang menjurus ke arah peningkatan ilmu dan pengetahuan umat.

Al-Quran amat kaya dengan fakta ilmu dalam semua bidang dan disiplin, dan penuh dengan dorongan dan perintah yang menjadi tuntutan agama untuk mempelajari ilmu dan mencapai tahap kecemerlangannya.

Sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya juga tidak kurang dengan contoh dan panduan yang amat banyak tentang kecemerlangan yang harus dicapai oleh penganut Islam dalam bidang ilmu pengetahuan.

Dalam keadaan ini saya cadangkan supaya para pelajar kita sendiri yang seharusnya merasakan keinsafan dan kesedaran untuk meningkatkan kecemerlangan mereka. Mereka sendiri seharusnya merangka program dan agenda sendiri bagaimana hendak meningkatkan prestasi mereka.

Mereka seharusnya mempunyai pemikiran yang strategis dalam merangka rencana keutamaan mereka di dalam pengajian dan mengurus waktu mereka secara yang lebih berkesan.

Malah ketika para pelajar kita yang nampaknya amat ghairah menghayati ajaran agama maka mereka seharusnya menjadikan ajaran dan idealisme agama sebagai dorongan dan pembakar semangat mereka untuk maju dalam pelajaran.

Mereka mestilah mempunyai semangat yang tinggi dalam persaingan dan daya ketahanan diri ketika menghadapi cabaran dan halangan seperti yang dituntut oleh Islam.

Justeru dalam konteks ini juga, saya fikir terdapat kebenarannya kata-kata seorang pembaca yang menulis kepada pengarang sebuah akhbar Inggeris baru-baru ini yang merasa terharu dengan rekod yang dicapai oleh pelajar-pelajar Melayu di sebuah universiti, iaitu berjaya membakar lemang yang paling panjang mengalahkan mak cik kita di kampung-kampung.

Cuma keluhannya agak relevan iaitu katanya ketika pelajar-pelajar bukan Melayu berbangga dengan kejayaan reka cipta yang canggih di dalam bidang lain yang lebih mencabar, apakah pelajar-pelajar kita hanya akan berlumba-lumba dengan mak cik kita di kampung untuk mencipta lemang yang paling panjang itu?

Saya rasa dalam konteks yang sama banyak lagi orang lain yang akan menulis kepada media dalam nada dan esakan yang sama, iaitu ketika orang lain telah mencapai kecemerlangan yang amat tinggi di dalam bidang matematik, sains teknologi, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya, apakah kita hanya akan berbangga dengan pencapaian sekumpulan pelajar kita di sebuah universiti yang berjaya mencipta dan mendirikan sirih junjung yang paling tinggi yang juga memecahkan rekod negara baru-baru ini?

Bagaimanapun nampaknya inilah trend baru di dalam masyarakat kita sekarang ini, iaitu memecahkan rekod yang ada, tidak kira apa sahaja projeknya. Semoga aliran baru ini akan dialihkan oleh pelajar-pelajar kita ke arah memecahkan rekod kemunduran dan kelembapan mereka. Inilah rekod yang seharusnya dipecahkan bukan rekod yang diciptakan di pedalaman dan di ceruk-ceruk kampung.

No comments: