Friday, June 8, 2007

Islam mampu hadapi globalisasi

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
MENJADI umat global yang bertaraf dunia dan dapat memainkan peranan menerajui kemajuan universal adalah sesuatu yang seharusnya dimainkan oleh umat Islam. Maka istilah global di sini perlulah dianalisis dengan teliti untuk kita meninjau dan mencari jawapan bagaimanakah umat Islam dapat menjadi umat global.

Namun yang menjadi persoalan dalam seminar IKIM pada 27 dan 28 Mac yang lalu ialah impak globalisasi ke atas kehidupan sosial dan budaya yang perlu ditinjau dari perspektif Islam dan bagaimanakah Islam memberikan responsnya terhadap isu ini.

Antara persoalan yang ditimbulkan dalam seminar tersebut ialah perbicaraan mengenai model dan mekanisme globalisasi, seperti penglibatan proses globalisasi dengan penjajahan baru, proses pembaratan tanpa memberikan perhitungan kepada nilai dan etika tempatan, penindasan terhadap negara miskin dan yang sedang membangun, monopoli media Barat secara berterusan ke atas dunia ketiga, dasar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sering mengancam ideologi dan akidah agama, juga membawa kepada berleluasanya unsur-unsur lucah dan penyelewengan moral, malah simbol-simbol kebaratan dan luaran yang menjajah minda dan pemikiran generasi baru, termasuk anak patung Barbie dan Pokemon yang telah diharamkan oleh kerajaan Arab Saudi baru-baru ini!

Isu proses perbaratan dan penjajahan negara dan minda telah berjalan sekian lama dan membawa hasil yang amat baik bagi penjajah dari segi mengaut kekayaan kebendaan dan peninggalan minda penjajah di dalam kepala para pemimpin yang lebih cenderung menjelma di dalam negara merdeka sebagai pejuang, tetapi sebenarnya lebih berbentuk boneka kepada bekas penjajah. Minda dan rohnya tetap dikuasai oleh program penjajah, walaupun ia berada dan hidup di dalam negaranya yang telah mencapai kemerdekaan.

Pada satu sudut yang lain negara-negara membangun, rata-ratanya menjadi mangsa globalisasi dalam bentuk penjajahan baru akibat daripada perniagaan mata wang dan perubahan angka tertentu yang dimasukkan di dalam komputer di bilik-bilik transaksi perniagaan mata wang yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk mengkucar-kacirkan bursa saham dan menjatuhkan nilai mata wang negara yang tertentu.

Seorang pemain yang menguasai perdagangan mata wang ini bagi seluruh dunia sudah memadai untuk memiskinkan banyak negara dan menjatuhkannya kembali ke tahap berpuluh-puluh tahun ke belakang serta merosakkan pembangunan ekonominya yang dibina sekian lama ke tahap sebelum krisis yang dihadapinya.

Satu perkara yang harus disedari bahawa bilangan umat Islam pada masa ini telah melebihi satu bilion jiwa iaitu kira-kira dua puluh peratus daripada seluruh penduduk dunia. Dari segi politik, semua negara Islam telah mencapai kemerdekaan, dan lebih satu bilion jiwa umat Islam itu adalah hidup di dalam negara mereka yang merdeka. Menurut kajian yang dijalankan, 54 peratus produk petrol dunia adalah dimiliki oleh negara-negara Islam, satu kekayaan yang dikurniakan Allah s.w.t kepada orang Islam.

Tetapi daripada jumlah satu bilion umat Islam dengan penguasaan terbesar ke atas petrol dunia, satu tragedi sedih telah melanda umat kita iaitu dengan terdapatnya lebih daripada 600 juta umat Islam masih hidup di bawah tahap kemiskinan. Imej dan wajah malang inilah yang sering muncul di dalam media cetak dan elektronik yang tergambar dalam bentuk bangkai bernyawa, perut kanak-kanak yang buncit dan keadaan fizikalnya yang terlalu lemah walaupun hanya untuk menghalau lalat yang menghurunginya.

Di samping itu terdapat banyak negara Islam yang masih terperangkap dalam hutang yang amat banyak, yang merupakan perangkap yang menjerat mereka untuk kembali tunduk di bawah kekuasaan negara kaya dan badan antarabangsa yang akan mengheret mereka kembali kepada penjajahan berbentuk baru sebagai satu proses globalisasi yang dibicarakan itu.

Terdapat negara Islam yang jumlah hutangnya melebihi satu pertiga daripada kadar pendapatan kasar nasional mereka. Hutang berlipat ganda inilah yang akan mengheret mereka ke lubang kehancuran yang dilakarkan oleh proses penjajahan semula dalam bentuk globalisasi ciptaan Barat.

Ringkasnya, negara miskin akan menjadi lebih miskin dan akan dibeli dengan mudahnya oleh negara-negara maju jika rakyatnya tidak berhati-hati dan mudah terperangkap dalam gula mainan Eropah dan Amerika. Ketika negara membangun dan miskin bertarung untuk melepaskan diri daripada perangkap kemiskinan dan kepapaan, maka negara-negara Barat menjadi bertambah kaya seperti yang dapat dilihat daripada perbelanjaan orang-orang Eropah dan Amerika masa kini yang mengikut satu kajian, bahawa mereka membelanjakan kira-kira RM64.6 bilion hanya untuk membeli makanan binatang pemeliharaan mereka di rumah seperti makanan anjing, kucing, katak, arnab dan sebagainya yang menjadi binatang kesayangan, teman bercakap, dibelai di atas katil dan sebagainya.

Mengikut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) jumlah sebesar yang dibelanjakan untuk makanan binatang peliharaan di rumah itu telah melebihi kos untuk memberi makan kepada lebih empat setengah juta orang di negara-negara membangun. Ini kerana kos untuk memberi makan kepada jumlah manusia sebesar ini hanya memakan belanja kira-kira RM49.4 bilion sahaja! Dalam keadaan ini haiwan peliharaan di Barat lebih tinggi nilai dan layanannya dibandingkan dengan jutaan umat manusia di negara miskin.

Mereka di negara maju sebenarnya sedang mengkucar-kacirkan negara membangun dengan mekanisme yang mudah, iaitu dengan meletakkan syarat ketat dalam perdagangan seperti membeli bahan komoditi dengan harga yang murah dan memaksa kita membeli produk industri mereka, termasuk teknologi, dengan harga yang mahal. Malahan satu taktik yang amat berkesan yang sedang dilakukan oleh bekas tuan-tuan kita itu ialah memecahbelahkan perpaduan rakyat negara-negara membangun supaya negara-negara tersebut terjebak dalam pertelagahan yang mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi dan politik, dan konflik puak dan golongan rakyat yang kadang-kadang berpunca daripada berbagai-bagai isu yang mereka sendiri tidak memahaminya.

Jadi, nampaknya isu globalisasi memerlukan respons yang berbagai-bagai dari dunia ketiga, termasuk dunia Islam yang banyak menghadapi masalah dan ujian. Masyarakat Islam agak berbeza dengan masyarakat manusia lain kerana orang-orang Islam telah melalui zaman tamadun yang dikongsi bersama dalam nilai dan ilmu pengetahuan. Orang Islam juga berkongsi keimanan dan kesatuan syariah yang dengan sendirinya membentuk masyarakat global Islam itu sendiri. Pengalaman dan pelaksanaan konsep persaudaraan Islam yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam bentuk muakhat antara golongan Ansar dan Muhajirin, kesatuan kiblat, kitab suci al-Quran, ketauhidan, dan sistem peribadatan umpamanya juga melibatkan persefahaman sejagat yang membentuk masyarakat global umat Islam.

Proses masyarakat global ini sendiri menghadapi masalah di dunia Islam, maka bagaimanakah gerangannya masyarakat Islam akan memberikan responsnya kepada proses globalisasi yang dianggap sebagai peluang dan cabaran itu? Apakah globalisasi bagi kita hanya dalam membicarakan anak patung Barbie atau watak Pokemon, sedangkan anak-anak dan orang dewasa Islam terpaksa tidur dengan perut kosong, dan dengan tangan kaki yang lemah, tidak terangkat walaupun hanya untuk menghalau lalat yang menghurung mukanya? Ketika keadaan ini berlaku, apakah mereka akan diceramahkan tentang moral, etika, budaya, malah agama?

Persoalan begini perlu dijawab dan dipecahkan oleh umat Islam seluruhnya secara sejagat dan global.

No comments: