Friday, June 8, 2007

Agama pelihara institusi sosiobudaya

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
TULISAN saya minggu lalu mengenai kekeliruan yang ditimbulkan tentang penggunaan bahasa dalam memprojekkan identiti keislaman seseorang menarik perhatian beberapa pihak.

Antaranya seorang guru bahasa berkelulusan sarjana yang sedang mengajar di salah sebuah universiti tempatan yang menghantar e-mel kepada saya. Beliau menulis antara lainnya seperti berikut:

Kupasan tentang pengaruh bahasa bagi sesetengah golongan yang mampu menyebut atau menggunakan beberapa kata Arab dianggap alim seperti contoh soleh (muzakkar) dan solehah (muannath).

Apabila menggunakan kata-kata pinjaman Arab untuk menunjukkan ketinggian ilmu agama atau lebih Islamik rasanya bukanlah satu hipotesis yang betul. Tapi inilah yang berlaku dalam masyarakat Melayu, iaitu kearaban itulah dikatakan Islamik.

Di samping pandangan ini, terdapat pandangan lain yang hampir sama yang memberi pendapat bahawa para pengguna bahasa Melayu haruslah komited kepada nahu dan struktur bahasa Melayu tulen di alam penulisan dan penuturan bahasa tersebut.

Mencampuradukkan kata pinjaman dengan kaedah nahu dan struktur bahasa asing merupakan satu perkembangan yang tidak sihat kepada bahasa kita.

Berdasarkan beberapa pandangan ini saya amat mengharapkan agar para sarjana bahasa dan institusi pengajian tinggi dapatlah menjalankan kajian tentang aspek yang saya timbulkan itu dan mengemukakan sumbangan fikiran yang membina agar bahasa Melayu tidak tercemar kerana keghairahan sesetengah pihak yang secara sewenang-wenangnya mencampuradukkan nahu dan struktur asing dalam penggunaan bahasa Melayu seperti sekarang.

Di samping itu saya sebenarnya tidaklah menentang pengayaan bahasa Melayu dengan istilah-istilah asing, terutamanya dari bahasa yang akrab dengan kita seperti bahasa Arab.

Tetapi yang saya rasakan tidak wajar ialah kecenderungan menjadikan bahasa Melayu dari sudut nahu dan strukturnya sebagai bahasa asing, termasuk bahasa Arab, semata-mata kerana keinginan dan semangat kita untuk kembali kepada Islam dalam semua aspek kehidupan kita.

Saya berpandangan bahawa penggunaan sebarang bahasa pun tidaklah menjadi kesalahan dalam komunikasi dan penyampaian maklumat tentang Islam, asalkan bahasa yang kita gunakan itu penuh dengan adab sopan, mempunyai nilai keindahan yang diharuskan oleh Islam dan tidak bercanggah dengan ajaran agama itu sendiri. Kalau menggunakan bahasa Arab pun, tetapi penuh dengan maki hamun dan kata-kata yang biadab dan tidak berakhlak, maka buruklah juga padahnya.

Semangat kembali kepada Islam dan membuktikan komitmen kita kepada Islam tidak semestinya hanya dengan merubah dua tiga kalimat atau istilah Melayu kepada bahasa Arab, sedangkan kita telah pun menggunakan istilah dan kata-kata bahasa Melayu yang telah terpakai dengan mantapnya dalam budaya kita turun-temurun dan amat mudah pula difahami oleh anak-anak bangsa kita, atau para pelajar dan peminat bahasa kita daripada kalangan bangsa asing.

Malahan saya amat menyanjung tinggi orang yang dapat menguasai berbagai-bagai bahasa, kerana menguasai bahasa asing merupakan satu khazanah kekayaan ilmu yang amat tinggi nilainya seperti yang disebutkan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w bahawa sesiapa yang menguasai satu bahasa asing maka ia akan terpelihara daripada tipu daya bangsa itu.

Bagaimanapun yang menjadi masalah ialah orang yang sering mencuba-cuba dan meniru gaya bahasa asing dan penggunaannya tidak dikuasai sepenuhnya. Akhirnya dia hanya terikut-ikut sehingga merosakkan bahasa tulen ibundanya.

Dalam konteks ini, alangkah baiknya seseorang itu berusaha menguasai bahasa asing itu dengan sebaik-baiknya dan terus menggunakan bahasa asing yang dikuasainya itu dengan sepenuhnya daripada hanya meminjam beberapa perkataan sahaja.

Kecenderungan kepada fenomena kosmetik dan lahiriah ini menurut pandangan seorang pelajar yang mengirimkan e-mel kepada saya, merupakan satu aliran baru dalam masyarakat kita.

Katanya masyarakat kita ingin mengubah sistem dan institusi budaya kita keseluruhannya, terutamanya ketika masyarakat kita sedang mengalami perubahan kepada agama tanpa ilmu pengetahuan yang cukup.

Pelajar itu menyatakan perasaan bimbang dan bingung untuk berpakaian baju Melayu atau berjubah ketika hendak ke masjid bagi sembahyang waktu dan sembahyang Jumaat, atau hendak bersongkok hitam atau berkopiah putih ketika berkunjung ke rumah orang kahwin atau ke bandar dan ke kedai, malahan ketika berada di rumah.

Dia menimbulkan kebimbangan dan perasaan kekeliruan ini kerana katanya, dalam pemerhatiannya sekarang ini cara berpakaian seharian telah berubah daripada cara yang pernah dilihatnya ketika dia masih kecil dahulu.

Ibu bapanya sendiri dulu tidak melakukan perubahan yang dilihatnya sekarang. Ia juga keliru tentang persoalan tidak mendapat pahalakah andainya dia bersembahyang dengan memakai songkok hitam? Kurangkah pahala sekiranya dia tidak berjubah ketika bersembahyang?

Bagi saya contoh yang diberikan oleh pelajar ini tidaklah menjadi isu yang besar kerana ia tidaklah membawa kepada pencemaran akidah dan iman seseorang.

Namun kebimbangan yang dikeluarkannya itu adalah satu fenomena masyarakat sekarang dalam mengukur keimanan dan komitmen seorang Islam kepada agamanya. Dia merasakan bahawa kalau tidak memakai kopiah putih, maka dia akan dianggap sebagai seorang yang tidak kuat agamanya.

Inilah yang menjadi masalah baginya, iaitu dia merasa lemah dan ragu-ragu dalam mempertahankan dirinya pada pandangan orang awam yang telah membentuk satu trend budaya sendiri dalam agama sehingga terdapat anggapan yang memandang institusi budaya turun-temurun itu sebagai sesuatu yang tidak Islam, atau amat longgar komitmen Islamnya.

Hal inilah yang dikatakannya masyarakat sekarang sedang berusaha mengubah dan meruntuhkan banyak institusi budaya bangsa kerana hendak menampilkan diri sebagai seorang Islam tulen, pada hal menurut pemerhatian pelajar ini seperti yang diceritakannya ketika mengerjakan umrah di Mekah, dia melihat para pekerja binaan, pemandu bas dan teksi, dan pekedai serta penyapu sampah juga kelihatan memakai kopiah putih ini yang tidak pun sebenarnya menggambarkan bahawa pakaian itu adalah pakaian ibadat.

Ia hanya pakaian adat dan tradisi bangsa mereka yang tidak mempunyai hubungan dengan kekuatan atau kelemahan pegangan agama mereka.

Saya terfikir juga dalam konteks ini bahawa kita sepatutnya sudah dapat menjelaskan dengan sebaik-baiknya kepada generasi muda kita tentang institusi budaya kita dari segi percanggahannya dengan agama atau tidak.

Kita tidak seharusnya mengelirukan mereka dengan amalan yang mereka lihat dalam masyarakat tanpa ilmu pengetahuan yang cukup. Kecenderungan untuk meruntuhkan semua institusi budaya dan sosial yang sedia ada dalam masyarakat kita selama ini menggambarkan ketidakmatangan pemikiran dan ilmu pengetahuan kita sendiri.

Oleh kerana isu ini menyentuh persoalan agama, maka saya fikir para ilmuwan agama seharusnya tampil ke muka untuk memberi pandangan dan cara penyelesaiannya serta menunjukkan contoh yang sebenar tentang keperibadian Islam tulen, sama ada dalam penggunaan bahasa, berpakaian dan sebagainya.

No comments: