Friday, June 8, 2007

Mempertahankan imej Islam negara kita

DR. ISMAIL IBRAHIM
DI dalam semua forum dan perbincangan yang diadakan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, saya sentiasa mempertahankan umat Islam di negara kita sebagai umat yang sederhana, bertolak ansur dan bersikap terbuka dengan semua kaum dan etnik tanpa mengira latar belakang keagamaan, budaya dan bahasa mereka.

Pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara kepelbagaian kaum dan agama yang berjaya hidup bersama secara produktif dan aman damai sejak sekian lama membuktikan bahawa golongan majoriti Islam sentiasa menjaga kerukunan hidup dan berjaya pula menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama ini. Hal ini juga masih saya tegaskan di dalam persidangan di London yang telah diadakan dari 6 hingga 9 Julai yang lalu bertemakan Christians and Muslims in the Commonwealth: A Dynamic Role in the Future.

Pernah di dalam perbincangan-perbincangan di peringkat antarabangsa, khususnya dengan media Barat, ditimbulkan isu pelampau agama yang dikenali dengan panggilan fundemantalis, iaitu yang dianggap di dalam politik Islam sebagai golongan radikal, pengganas dan tidak bertamadun yang cuba dihubungkan dengan aktiviti dan perjuangan Islam di Malaysia.

Saya sering mempertahankan umat Islam di negara kita dan menyangkal tuduhan mereka bahawa di negara kita terdapat golongan fundemantalis itu.

Saya menekankan bahawa golongan pendakwah dan aktivis Islam di negara kita adalah mereka yang menjalankan dakwah dengan aman dan damai, malahan gerakan politik yang dipanggil sebagai gerakan politik Islam itu pun sebenarnya masih menjalankan gerakan dan aktiviti mereka berlandaskan perlembagaan negara dan masih dapat dikawal supaya golongan itu menghormati dasar demokratik negara.

Saya sering juga menjelaskan kepada umum bahawa oleh kerana kerajaan benar-benar mengamalkan dasar demokrasi dengan memberi ruang yang luas kepada kebebasan bersuara dan bergerak kepada rakyat, maka golongan Islam juga tidak perlu mengambil jalan ganas atau gerakan sulit yang mengancam keselamatan awam dan negara dalam memperjuangkan cita-cita mereka.

Hal ini dapat dibuktikan di dalam aspek-aspek yang tertentu. Umpamanya dalam bidang berdakwah maka terdapat banyak sekali badan dakwah yang bergerak, malahan banyak di antaranya yang mendapat bantuan kerajaan sendiri. Di dalam arena politik, parti yang mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam juga mendapat hak yang sama di dalam pilihan raya dan sebagainya sehingga dapat membentuk kerajaan yang diiktiraf di negeri-negeri tertentu.

Begitulah sebenarnya kedudukan negara dan umat Islam yang sering kita gambarkan dan sering kita pertahankan di mana-mana saja, dan atas alasan itulah maka sering kita tegaskan bahawa negara kita mengalami ketenteraman politik dan ekonomi kestabilan sosial dan kesepaduan bangsa.

Bagaimanapun, dengan perkembangan-perkembangan yang berlaku pada akhir-akhir ini, terutamanya peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Islam tentang perpecahan dan perselisihan faham disebabkan oleh kefahaman politik sempit yang membawa kepada timbulnya rasa fanatik dan fikiran jumud di kalangan yang tertentu, malahan peristiwa terakhir yang melibatkan golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Al-Ma'unah yang membawa mesej khurafat dan bertindak secara kekerasan, maka hal-hal begini sudah tentulah mencemarkan nama baik dan mencemarkan imej positif umat Islam di negara kita.

Orang mungkin akan mencemuh kita sekiranya kita membicarakan tentang golongan Islam yang demokratik dan bersikap toleransi. Orang juga boleh menuduh kita sebagai umat yang telah menghasilkan golongan fundamentalis dalam erti kata politik yang difahami selama ini di negara Barat.

Sememangnya, pun dalam keadaan ini amat sukar lagi untuk kita mempertahankan umat Islam di negara kita sebagai umat yang cintakan perdamaian dan umat yang berkemajuan serta bertamadun meskipun golongan yang terlibat dengan golongan pelampau itu hanya boleh dibilang dengan jari tangan sahaja. Kita tahu bagaimana propaganda media Barat selama ini terhadap orang Islam, bagaimana mereka sering memperbesar-besarkan berita dan peristiwa yang amat tidak penting di dalam negara Islam.

Permainan media politik itu yang mempunyai agenda-agenda tertentu, dapat menghebohkan kepada seluruh dunia tentang keburukan kita walaupun keburukan itu tidak seberapa atau tidak wujud sama sekali.

Selama ini memang agak sukar untuk musuh Islam mencerca dan mengecam umat Islam di negara kita. Kita masih tetap menganggap persengketaan di antara umat Islam sebagai perselisihan domestik di ceruk dapur rumah tangga kita sendiri. Tetapi apabila timbul gerakan menyamun senjata dan melakukan pembunuhan atas nama agama dan jihad, maka hal ini bukanlah merupakan isu rumah tangga lagi.

Ia tentulah merupakan isu golongan atau satu umat yang dinamakan umat Islam yang telah dilabelkan dengan berbagai-bagai gambaran negatif.

Maka dalam keadaan ini nampaknya umat Islam di negara kita juga dianggap tidak ada bezanya dengan umat Islam di beberapa buah negara lain yang menegakkan perjuangan mereka di atas kekerasan dan keganasan, tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu saya rasa langkah pihak keselamatan kita membendung gerakan itu dengan cepat dan segera amatlah perlu diberikan penghargaan dan disertai dengan kesyukuran yang penuh kepada Allah s.w.t yang masih dapat menyelamatkan kita semua dan menyelamatkan negara kita dari terjerumus ke dalam kemusnahan seperti yang dialami oleh sesetengah negara lain, termasuk negara jiran kita sendiri.

Saya rasa dalam menghadapi gerakan yang mengancam keselamatan umat dan negara, ketenteraman keluarga dan bangsa kita, maka tugas untuk mengatasi masalah itu adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat negara kita tanpa mengira fahaman politik, etnik dan sebagainya.

Amatlah malang sekali sekiranya hal ini dipolitikkan pula oleh pihak-pihak yang tertentu. Nyawa dan ketenteraman manusia, termasuk anak cucu kita sendiri tidaklah seharusnya dipolitikkan seperti kita mempolitikkan isu subsidi baja atau pelantikkan imam di surau atau masjid, dan sebagainya.

Isu ini merupakan isu maruah dan nama baik agama, keutuhan bangsa dan negara, apakah untungnya isu ini dipolitikkan?

Bagi saya dalam menghadapi peristiwa-peristiwa begini, saya tetap akan terus menerus mempertahankan umat kita di negara ini sebagai umat yang terbaik di dalam dunia Islam, dan dasar kita terhadap umat Islam serta bangsa kita umumnya adalah merupakan dasar yang terbaik.

Kalau semua orang cuba menyoal dirinya sendiri tentang apakah yang diperolehnya dari negara ini, maka saya rasa tidak akan ada orang yang akan terburu-buru mengambil sikap bebal dan dungu seperti mempolitikkan isu kumpulan Al-Ma'unah ini.

Saya tidak fikir bahawa orang-orang yang sebenarnya beriman dan berfikiran waras akan membela keganasan dan kekerasan atas nama agama atau atas nama apa sekalipun, kerana keganasan dan kekerasan adalah sifat keji yang dilarang agama kita.

Kita menghadapi krisis pemikiran yang amat serius sekali sekiranya terdapat di kalangan kita orang-orang yang cuba mempertahankan pembunuhan dan kekerasan.

Kita akan kembali menjadi umat jahiliah sekiranya kita melindungi perbuatan keji yang terang-terang bercanggah dengan nilai akhlak dan ajaran agama kita. Apakah kita mahu umat kita menjadi mundur dan bersikap sempit begitu?

No comments: