Friday, June 8, 2007

Toleransi ada batas-batasnya

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BERIKUTAN daripada tulisan saya di dalam ruangan ini minggu lalu, terdapat beberapa orang pembaca yang beranggapan seolah-olah Islam tidak dapat bertoleransi di dalam beberapa aspek yang tertentu, sedangkan pada dasarnya Islam adalah satu agama yang penuh dengan sifat toleransi dan bertolak ansur.

Memanglah saya bersetuju bahawa Islam adalah agama yang mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur. Bagaimanapun Islam dapat bertoleransi selagi ia dapat difahami dengan baik tentang sempadan-sempadan yang tertentu dalam soal-soal dasar agama itu.

Islam malah dari awal lagi memberi jaminan kepada kebebasan manusia memilih agama masing-masing seperti yang ditegaskan di dalam surah al-Kafirun bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.

Menurut para pentafsir, surah ini diturunkan Allah s.w.t ketika orang Musyrikin cuba membuka dialog dengan Rasulullah s.a.w agar mengambil jalan tengah dalam beribadat kepada Tuhan. Mereka meminta baginda menyembah tuhan-tuhan mereka selama setahun, kemudian mereka pula akan menyembah Allah s.w.t selama setahun juga. Lalu turunlah ayat-ayat yang menegah baginda melakukan demikian pada masa itu dan pada masa-masa yang akan datang.

Isu menyembah Tuhan adalah isu pokok akidah dan tidak dapat dipermain-mainkan, kerana itulah baginda Rasulullah s.a.w tidak dapat sama sekali bertolak ansur dalam soal dasar ini.

Malah masing-masing boleh memilih jalannya sendiri dalam soal ibadah yang mempunyai hubungan rapat dengan akidah ini. Kalau masih mahu berada di dalam syirik maka boleh terus syirik, demikian jugalah sebaliknya, iaitu sekiranya telah beriman kepada Allah s.w.t maka seorang itu haruslah terus beriman.

Pendeknya, isu akidah bukanlah satu perkara yang dapat dikompromi dengan mudah sekali seperti soal-soal keduniaan dan kemanusiaan yang tidak melibatkan keimanan. Inilah sebenarnya konsep toleransi dalam agama yang dilihat oleh Islam.

Malah di dalam al-Quran juga ditegaskan dengan jelas sekali agar orang-orang yang beriman tidak mencela sembahan-sembahan orang lain, supaya orang lain juga tidak akan bertindak mencela Allah s.w.t. Maksudnya dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing, maka Islam memberi kebebasan penuh bagi manusia dalam mempraktikkannya dan tidak dibenarkan sebarang penganut agama mempersoalkan cara orang lain beribadat.

Demikianlah juga dalam persefahaman kita di negara kita, iaitu setiap pemeluk agama dan kepercayaan yang tertentu adalah bebas untuk mempraktikkan agama masing-masing dengan syarat ia dilaksanakan di dalam keadaan aman dan harmoni.

Untuk menjaga keharmonian inilah telah saya berikan contohnya di dalam tulisan saya yang lalu bahawa ceramah pendakwah Ahmad Deedat dirasakan tidak sesuai dilakukan di negara kita ketika beliau memberikan hujah untuk membuktikan kebatilan ajaran agama lain kerana dirasakan bahawa hujah tersebut merupakan satu sikap konfrontasi secara terbuka yang tidak seharusnya menjadi tajuk perdebatan umum.

Penjelasan dan analisis begitu mungkin hanya sesuai dibicarakan secara ilmiah di dalam masyarakat yang tertentu , atau di dalam majlis yang tertutup sahaja. Inilah sikap hikmah dan bijaksana yang seharusnya menjadi wadah pembicaraan isu-isu sensitif bagi sesuatu masyarakat, sama ada isu-isu agama, bahasa, budaya dan sebagainya, apa lagi isu-isu sensitif bagi kepelbagaian kaum dan etnik seperti negara kita.

Maka dalam konteks ini isu-isu agama yang dibentangkan di dalam tuntutan-tuntutan tertentu di negara kita tidak seharusnya dibicarakan secara terbuka dan menyinggung perasaan kalangan yang tertentu.

Inilah sebenarnya konsep toleransi dan bertolak ansur menurut pandangan Islam iaitu yang bertujuan mencari perdamaian dan keharmonian masyarakat. Namun begitu dalam bertoleransi, Islam juga sentiasa berwaspada dan sering mengingatkan penganutnya tentang taktik musuh-musuhnya yang mungkin mengambil kesempatan daripada kelembutannya itu. Sebab itulah al-Quran juga di dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 dan 9 menegaskan bahawa Allah s.w.t tidak menegah kita orang Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak menunjukkan permusuhan kepada kita kerana kita beragama Islam, dan tidak pula mengusir kita dari negeri kita, kerana Allah s.w.t amat mencintai orang yang berlaku adil.

Ayat ini seterusnya memberikan perincian dalam konteks yang sama, iaitu Allah s.w.t menegah kita daripada berbuat baik kepada orang-orang yang memusuhi kita kerana agama, atau mengusir kita dari negara kita, atau pun yang memainkan peranan menolong kalangan lain yang sedang berusaha untuk mengusir kita dari negara kita.

Ayat sependek ini sudah agak mencukupi untuk memberikan panduan kepada kita tentang siapakah musuh kita yang sebenarnya yang tidak seharusnya dipandang ringan dan dibiarkan bermaharajalela melaksanakan agenda permusuhannya dengan orang Islam. Peristiwa yang berlaku di Palestin dan di Bosnia umpamanya jelas membayangkan permusuhan terhadap orang Islam di dalam kedua-dua aspek yang dikemukakan oleh ayat-ayat yang tersebut iaitu memusuhi umat Islam kerana mereka beragama Islam dan umat Islam diusir dari rumah tangga dan negara mereka secara yang amat kejam.

Maka pada ketika ini umat Islam tidak harus berdiam diri, malah seharusnya dapat bertindak mempertahankan hak mereka, bukan menyerah kalah atas nama toleransi dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w dalam mengamalkan sifat toleransi kepada semua orang, termasuk masyarakat bukan Islam, telah memeteraikan perjanjian damai yang mengandungi ciri-ciri hidup bersama secara rukun dan damai, termasuk hak perlindungan di sisi undang-undang dan kewajipan bersama untuk mempertahankan negara.

Tetapi apabila kaum Yahudi Bani Nadir bertindak mengkhianati perjanjian ini, yang merupakan kontrak sosial di antara baginda dengan kaum tersebut, maka Baginda telah mengambil keputusan yang tegas dengan mengeluarkan mereka dari bumi Madinah iaitu dengan memberi masa selama sepuluh hari kepada mereka untuk meninggalkan negeri Madinah.

Tindakan baginda telah dilakukan sebegitu tegas kerana kewujudan mereka di dalam negara boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan umum. Jadi, di samping sifat bertolak ansur dan bertoleransi di dalam banyak perkara, maka terdapat kes-kes yang tertentu yang menuntut tindakan tegas dan drastik dilakukan demi kepentingan umum dan kesejahteraan negara.

Demikianlah sebenarnya konsep toleransi Islam yang memberikan kesempatan dan peluang yang banyak kepada setiap individu dan masyarakat menikmati hak masing-masing.

Tetapi toleransi ini juga mempunyai sempadan dan had yang tertentu yang seharusnya dihormati oleh semua pihak.

Dua perkara yang telah disebutkan di dalam ayat di atas jelas memberi amaran kepada orang Islam bahawa permusuhan terhadap orang Islam akan sentiasa lahir kerana mereka beragama Islam, dan mereka akan sentiasa terdedah kepada kumpulan musuh yang akan cuba merampas hak mereka, termasuk rumah tangga dan negara mereka juga. Maka dalam keadaan ini Islam tidak dapat lagi bertoleransi, malah seharusnya bertindak tegas dan keras.

No comments: