Friday, June 8, 2007

Jalan pertengahan Islam

DR. ISMAIL IBRAHIM
KETIKA merasmikan satu program anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) pada Ahad lalu saya telah mengetengahkan satu isu kepada para mahasiswa yang menghadiri program tersebut, iaitu isu kesederhanaan atau jalan tengah yang diambil oleh Islam dalam mengatur kehidupan manusia di dunia ini.

Saya menjelaskan bahawa Islam sering memberikan ruang untuk para penganutnya memikirkan satu penyelesaian yang paling baik untuk mereka di dalam satu-satu perkara.

Umpamanya ketika al-Quran menegaskan tentang balasan kecelakaan dan neraka bagi orang yang mengumpul harta dan ''menyembahnya'' maka dalam kitab suci itu juga Allah s.w.t mengingatkan hamba-Nya supaya berusaha untuk hari akhirat tanpa melupakan pula kehidupannya di dunia ini. Untuk memahami isu ini perhatikanlah ayat-ayat yang tersebut di bawah:

Kecelakaanlah (azab yang pedih) bagi pengumpat lagi pencela, yang mengumpul harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dihumbankan ke dalam Hutamah, dan tahukah kamu apakah Hutamah itu, (iaitulah) api (yang disediakan) Allah yang dinyatakan, yang (naik menjulang) sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup rapat di atas mereka (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang. (Al-Humazah, ayat 1-9).

Demikianlah gambaran Allah s.w.t akan kesiksaan dan balasan pedih yang akan ditimpakan ke atas orang-orang yang bertindak mengumpul harta kekayaan dan menghitung-hitungkannya serta menganggap bahawa harta benda itu sebagai satu kuasa yang dapat mengekalkannya di atas muka bumi ini. Peringatan ini sesungguhnya amat keras dan implikasinya kepada manusia amat serius, sehingga dengan itu manusia akan dapat memahami bahawa pengumpulan harta itu dan tindakan yang digambarkan oleh ayat tersebut merupakan tindakan yang membawa akibat yang amat berat kepada mereka pada hari akhirat nanti. Dengan itu secara lojiknya umat Islam tidaklah seharusnya mengumpul harta.

Namun begitu, kita yang membacanya haruslah juga melihat di dalam keseluruhan al-Quran dan ajaran Islam sendiri yang mengemukakan banyak prinsip dan asas dalam memahami ajaran Islam yang sebenarnya dalam hal ini.

Di dalam ayat-ayat yang lain di dalam al-Quran Allah s.w.t juga memberikan panduan yang banyak tentang konsep pengumpulan harta dan penggunaannya supaya manusia mendapat panduan yang cukup dalam mengumpul harta dan menggunakannya daripada hanya melihat kepada harta sebagai satu objek yang membawa ke neraka.

Allah s.w.t, memberikan panduan kepada mereka bagaimana memanfaatkan harta benda dan menjadikannya sebagai jalan mendapat ganjaran pahala dan syurga pada hari akhirat kelak.

Umpamanya Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Qasas ayat 77:

Dan usahakanlah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (untuk kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.

Maksud ayat ini bahawa dalam mencari kebahagiaan di akhirat nanti, maka manusia tidaklah pula harus mengabaikan nasib dan bahagiannya untuk kehidupan di dunia ini. Maka yang memberikan kebahagiaan di dunia ini, salah satunya tentulah harta benda dan manfaatnya di dalam kehidupan. Kita dapat menyimpulkan di sini bahawa mengumpul harta bukanlah secara mutlak menjadi tegahan dan larangan daripada Allah s.w.t, tetapi pengumpulan harta yang menjadikan manusia memperhambakan dirinya kepada harta itu tanpa mengingati tugas dan kewajipannya kepada Allah itulah yang dilarang.

Sekiranya manusia mengumpul harta dan dalam masa yang sama dapat menunaikan tanggungjawab terhadap Allah mengikut lunas-lunas yang telah ditentukannya dari harta benda itu maka manusia sebenarnya telah menjalankan kerja terpuji dan bakal diberikan ganjaran baik oleh Allah s.w.t pada hari akhirat nanti. Hal ini ditegaskan juga oleh Allah s.w.t di dalam surah al-Taubah, ayat 34 yang memberi amaran kepada orang-orang yang menyimpan emas dan perak tanpa membelanjakannya kepada jalan Allah, maka mereka akan mendapat siksa yang pedih pada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka jahanam, lalu dibakarkan dahi mereka dengannya, lambung dan punggung mereka, lalu dikatakan kepada mereka ''inilah harta benda yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, dan rasakanlah sekarang akibat dari apa yang kamu simpan itu.

Contoh yang diberikan, diatas dapat menjadi asas dan dasar yang penting bagi kaedah dan metodologi memahami ajaran Islam secara menyeluruh tanpa mentafsirkannya secara sempit dan melulu.

Manusia harus menggunakan akal fikiran dan konteks yang jelas ketika cuba memahami sesuatu dasar agama tanpa terikat dengan sikap taksub dan sempit ketika memahami ajaran daripada prinsip tertentu di dalam al-Quran.

Inilah maksud jalan pertengahan yang diambil Islam dalam mengatur kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Jalan ini kita fahami sebagai dasar kesederhanaan yang sering menjadi panduan kita ketika menguruskan kehidupan kita di dunia ini di dalam berbagai-bagai aspeknya. Ketika kita diberi amaran oleh Allah s.w.t tentang sikap permusuhan yang ditunjuk dan dilaksanakan oleh kaum Yahudi, Nasrani dan musyrikin umpamanya, maka kita juga dituntut supaya menggunakan kebijaksanaan dan bersikap lemah lembut terhadap musuh.

Demikian juga bagi isu-isu lain yang sering timbul di dalam masyarakat kita tentang memahami konsep dan dasar Islam di dalam aspek-aspek yang tertentu.

Umpamanya bagi program yang dianjurkan oleh PMUKM itu yang menekankan tentang akidah, maka saya timbulkan juga keperluan orang Islam menyepadukan komponen syariah dan akhlak di dalam kemantapan akidah umat, supaya umat yang mantap di dalam akidah juga akan mantap di dalam urusan-urusan kehidupan lainnya yang mempunyai hubungan dengan aspek ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya, di samping meningkatkan maruah dan moral umat Islam itu sendiri.

Oleh itu, para mahasiswa dan golongan lain haruslah memahami sesuatu isu dalam konteks ilmu pengetahuan dan dasar jalan tengah yang ditunjukkan oleh Islam.

No comments: