Friday, June 8, 2007

Mengutamakan ilmu sebagai azam alaf baru

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KINI segala peristiwa besar yang melintasi sejarah hidup kita telah pun berlalu. Pilihan raya, tahun 2000, bulan Ramadan dan Hari Raya telah kita lalui dengan selamatnya, tanpa gangguan persengketaan politik yang membawa kepada pertumpahan darah, tanpa kehadiran pepijat alaf baru Y2K, bencana alam, malapetaka dan sebagainya.

Malahan semuanya berlalu dengan aman damai dan penuh ketenangan. Kita bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas nikmat keamanan yang dikurniakan kepada kita rakyat negara ini, tidak seperti malapetaka dan keganasan manusia serta pelbagai peristiwa ngeri dan pedih yang menimpa beberapa buah negara lain seperti ribut taufan, banjir lumpur, pergaduhan kaum, peperangan dan seribu satu macam peristiwa lain yang mengganggu ketenteraman manusia dan alam seluruhnya.

Oleh itu kini amatlah baik dan amat sesuai dan tepat dengan masanya, kita memulakan satu babak dan lembaran hidup baru yang lebih bermakna lagi dari hidup kita pada masa yang lalu. Kalau pilihan raya lalu menyebabkan kita leka dengan politik, sehingga semua tumpuan dan kerja sebahagian besar dari kita menghala hanya kepada politik, membantu dan berkempen untuk parti sendiri, menghentam dan mengkritik, kadang-kadang secara yang amat melulu dan membabi buta, kepada parti lawan dan ahli-ahlinya, maka keadaan itu mungkin perlu ditenangkan mulai sekarang ini.

Masjid dan surau, sekolah dan tadika, malah rumah kediaman dan warung yang pernah kita jadikan gelanggang berkempen politik dan membicarakan kes-kes yang kita sendiri kadang-kadang hanya bersandarkan kepada cakap-cakap orang semata-mata kerana tujuan politik, maka sekarang eloklah semua institusi itu diperbetulkan fungsi dan matlamatnya.

Jadikanlah surau dan masjid untuk beribadat dan tempat menghamburkan kata-kata hikmah dan ajaran murni agama bagi tujuan penyatuan dan perpaduan ummah.

Jadikan khutbah yang dihamburkan setiap minggu kepada para jemaah sebagai medan menyampaikan ilmu yang dimanfaatkan umum, terlepas dari tema politik kepartian yang sempit dan melukai hati sesetengah orang.

Kembalikanlah sekolah dan tadika, atau institusi pengajian umum kepada tujuan asalnya, iaitu untuk mendidik minda dan rohani pelajar secara seimbang dan sihat, terlepas daripada pendidikan yang menanamkan rasa fanatik dan menjurus kepada satu hala tuju yang tidak baik.

Bagaimanapun saya percaya bahawa penyalahgunaan institusi tersebut adalah amat kecil dan terhad, tidak amat ketara dan tidak amat tinggi peratusannya.

Tetapi sekiranya terdapat para pengendali yang tersalah laku dalam menggunakan institusi itu, walaupun hanya sebuah dua, maka ia sudahpun menunjukkan ketidakstabilan pemikiran orang Malaysia yang perlu diperbetulkan, kerana kuman Barat itu biasanya akan meresap dan merebak ke seluruh badan secara yang amat tidak disedari sehingga sampai ke peringkat bahaya, maka agak terlambat bagi kita untuk mengubatinya ketika itu.

Orang Melayu dan orang Islam umumnya adalah yang terlalu asyik dengan permainan politik kepartian ini, kerana mereka nampaknya tidak terlalu sibuk dengan perniagaan dan aktiviti ekonomi. Mereka juga mungkin tidak terlalu prihatin dengan pelajaran dan pendidikan anak-anak, terutamanya para pesara yang tidak lagi mempunyai anak-anak yang bersekolah. Orang Melayu juga mungkin tidak terlalu sibuk untuk mengambil tahu segala apa yang berlaku di luar dunia, kampung atau negara sendiri seperti apa yang berlaku di dunia, oleh itu mereka tidak perlu sangat membaca akhbar, malah mereka mungkin juga merasakan bahawa ilmu mereka telah cukup jadi mereka juga tidak perlu membaca buku-buku pengetahuan.

Minat terhadap seni dan sastera juga tidak banyak, kerana itu mereka juga tidak perlu membaca karya-karya seni seperti novel dan sebagainya.

Oleh itu nampaknya mereka mempunyai masa lapang yang amat banyak yang boleh dipergunakan untuk politiking, untuk gosip politik, kempen politik, cakap-cakap politik yang berulang-ulang dibicarakan tanpa jemu-jemu.

Maka dengan menjelangnya hari baru dan bulan baru serta tahun baru yang kita alami sekarang, alangkah eloknya kita mengadakan perubahan dalam program hidup kita. Alangkah baiknya jika kita memikirkan bagaimanakah caranya hendak meningkatkan anggota keluarga kita di dalam bidang pendidikan.

Kalau selama ini satu keluarga belum ada seorang pun anaknya yang sampai ke peringkat universiti, maka kenapa tidak difikirkan bagaimana caranya untuk mencapai matlamat sekurang-kurangnya seorang anaknya mendapat pendidikan di peringkat universiti.

Kalau selama ini kita tidak pernah menggunakan masa lapang untuk mencari ilmu pengetahuan melalui buku, maka apakah salahnya kita meletakkan sasaran untuk membaca buku sekurang-kurangnya sebuah atau beberapa buah setahun?

Kalau selama ini juga kita tidak tahu dan tidak pula berusaha untuk mencari peluang perniagaan untuk mencari pendapatan tambahan. Maka apakah salahnya hal ini cuba diceburi mengikut kemampuan masing-masing. Malah kalau mahu pula menolong orang, kenapa tidak menyertai amalan-amalan kebajikan bagi membantu orang cacat, banduan di penjara, anak-anak yatim dan orang-orang tua yang terlalu banyak bilangannya di sekitar negara kita.

Pendeknya kurangkan politiking, dan banyakkan kerja lain haruslah diletakkan sebagai agenda hidup dalam abad baru dan alaf baru ini. Hal ini juga harus disedari oleh ahli-ahli parti yang kini menumpukan perhatian kepada pemilihan di dalam parti sendiri. Ini juga melibatkan politiking yang amat hebat, malah kadang-kadang melibatkan pencemaran moral dan etika, wang ringgit dan harta benda yang menggambarkan sikap melampau orang yang bernama ahli politik.

Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w bahawa sebaik-baik pekara dan urusan adalah kesederhanaan, tidak melampaui had dan sempadan. Inilah lembaran baru hidup yang seharusnya dibuka mulai era baru ini oleh semua orang.

No comments: