Friday, June 8, 2007

Bersegera mengerjakan perkara baik

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SATU ajaran penting yang terkandung di dalam al-Quran yang perlu kita jadikan iktibar dalam membentuk budaya kerja kita ialah seperti yang ditegaskan Allah s.w.t. di dalam surah Luqman, ayat 34 yang bermaksud:

Dan tiada seorang pun yang mengetahui (dengan pasti) apakah yang akan diusahakannya esok.

Ayat ini menjelaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat memastikan apakah yang akan terjadi pada hari esok, atau sama ada rancangannya untuk melakukan sesuatu kerja pada hari esok akan benar-benar dapat dilaksanakan atau tidak, kerana semuanya bergantung kepada takdir yang akan menentukannya.

Tetapi ayat ini perlulah ditafsirkan secara positif, iaitu manusia haruslah mempunyai perancangan, dan perancangannya pula haruslah konkrit dengan mengambil kira segala kemungkinan yang akan berlaku dan mengkaji segala aspek yang dapat membawa kepada kejayaan terhadap apa yang dirancangnya.

Satu pengajaran lain yang perlu diambil dari ayat ini ialah manusia haruslah sentiasa segera dan cepat melakukan kerja yang perlu dilakukannya tanpa menunggu hari esok atau menangguh dan melengah-lengahkan kerjanya ke satu masa yang lain.

Jika kerja itu dapat dilakukannya pada saat itu dan pada hari itu juga, maka tidak sepatutnyalah kerja itu ditangguhkan ke hari lain, ke saat lain, kerana penangguhan itu mungkin akan mengakibatkan kegagalan atau terluputnya peluang bagi menjayakan kerja tersebut. Dan ada juga kata-kata bestari yang menyifatkan penangguh kerja adalah pencuri masa.

Ungkapan kata-kata hikmah menyebut janganlah anda lewat-lewatkan kerja hari ini ke hari esok ertinya kerja hari ini haruslah dilaksanakan hari ini juga.

Maka dalam konteks pengajaran inilah saya rasakan bahawa projek-projek pembangunan yang dilakukan di dalam negara kita tidak harus dipandang secara negatif dan ditafsirkan secara emosi. Projek-projek yang dikatakan projek mega, dan yang terakhirnya ialah projek Sentral Kuala Lumpur haruslah dikaji dari sudut ini juga, iaitu dari segi kesesuaian masa dan ketika, kerana projek-projek itu haruslah dikerjakan sekarang tanpa perlu ditangguhkan kepada satu masa yang lain.

Dari sudut pandangan agama saya tetap yakin bahawa apa yang boleh dikerjakan hari ini, jangan kita tangguhkan ke hari esok, kerana kita tidak tahu apakah yang akan berlaku esok. Kita punya kemampuan dari segi persediaan kebendaan, teknologi, tenaga manusia, dan kita mempunyai kesempatan masa yang sesuai, jadi apakah salahnya projek-projek pembangunan besar yang akan memberikan keuntungan kepada rakyat untuk jangka masa berpuluh-puluh, malah beratus-ratus tahun yang akan datang itu, harus kita lewat-lewatkan kepada satu masa yang lain.

Apakah kita tahu bahawa masa yang belum kita tetapkan itu akan menjelang tiba dengan penuh kemampuan dan persediaan yang cukup seperti peluang yang ada pada kita hari ini?

Rasulullah s.a.w. pun, seperti yang selalu kita dengar dari para ulama dan pernah kita tonton melalui TV dalam rancangan agama dengan para bijak pandai Muslim, pernah bersabda mengingatkan kita supaya mengambil kesempatan dan peluang dari lima perkara yang perlu dipergunakan dengan baik dan sesuai dengan masanya sebelum tiba lima perkara lain yang agak terlewat dan luput masanya, maka di antara lima perkara itu ialah menggunakan peluang ketika kita senang sebelum tibanya masa kita susah.

Kita agak senang dan mampu dari segala segi untuk membangunkan negara kita, maka kenapa harus kita lewat-lewatkan? Kita mempunyai kekuatan ekonomi yang membolehkan kita membangunkan banyak projek untuk keselesaan kita, maka mengapakah kita harus persoalkan kewibawaan kita sendiri dalam melaksanakan pembangunan itu.

Pesanan Rasulullah s.a.w. supaya kita mengambil kesempatan dari zaman kesenangan kita untuk bekerja dan berusaha sebelum tibanya zaman kesusahan, maksudnya tentulah boleh diaplikasikan dengan kerja-kerja membina negara dan membangunkan infrastrukturnya yang mantap.

Ketika projek-projek mega dibangunkan, negara kita mengalami kemewahan, dan kerja-kerja itu selamat dijalankan dengan agak selesa. Sesuai dengan pesanan Rasulullah s.a.w. maka sekiranya projek-projek itu ditangguhkan, maka hampir pasti pembangunan itu tidak dapat dilakukan ketika kita mengalami zaman meleset dan kejatuhan ekonomi yang melanda negara kita menjelang pertengahan tahun 1997.

Sekiranya ditunggu hingga ke satu masa yang lain, maka pastilah menjelang saat ini kita tidak akan dapat melihat gedung perniagaan, kompleks, pejabat dan masjid serta bangunan lain seperti yang telah terlaksana itu akan menjelma menjadi kenyataan yang dapat kita saksikan sekarang kecuali sekiranya kita sanggup menjual maruah kita kepada kuasa besar asing dan melutut kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) atau bank dunia.

Kita menyedari bahawa walaupun kita amat proaktif dan bertindak amat cepat, namun dalam banyak hal kita terasa masih ketinggalan waktu. Jambatan Pulau Pinang yang dibangunkan itu yang kita rasa amat selesa, sekarang telah menjadi terlalu sempit dan sesak, sehingga terpaksa difikirkan untuk membina satu lagi jambatan yang serupa.

Demikian juga dengan lebuh raya dan sistem pengangkutan yang telah dibina yang dirasakan dapat bertahan untuk jangka masa yang lama, tiba-tiba telah menjadi amat sesak juga dan perlu diperbesarkan segera.

Malahan apa yang dibina beberapa waktu yang lalu dengan harga yang kita rasakan mahal, jika dibina sekarang apa lagi pada masa yang akan datang, maka harganya tentulah akan melambung tinggi dan menjadi berganda-ganda kosnya. Agaknya inilah hikmahnya agama kita sering menggesa umatnya supaya bersegera menunaikan kerja yang baik untuk dunia dan akhirat. Jangan melengah-lengahkan kerja kebajikan dan amalan yang memberikan faedah kepada manusia sendiri. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Kahfi, ayat 23: Dan janganlah sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: Sesungguhnya akan kau kerjakannya esok, kecuali dengan menyebut jika diizinkan Allah.

Tugas kita ialah menyerah kepada Allah s.w.t. untuk menjayakan kerja kita, tetapi usaha dan ikhtiar mestilah dilakukan segera, hari ini juga. Orang-orang Islam dengan itu dianjurkan supaya berusaha dan bekerja kuat dengan seberapa segera dan cepat, kerana sememangnya pun dalam keadaan sekarang kita amat kesuntukan masa untuk mengejar umat lain dan dunia lain. Kalau kita telah mempunyai visi itu dan bertindak dengan cepat, maka janganlah kita persia-siakannya atau mempersenda-sendakannya pula. Kita harus bersyukur dan mendoakan semoga kita masih punya waktu dan kesempatan untuk terus membangun.

No comments: