Friday, June 8, 2007

Fenomena kemerdekaan zaman global

MENJELANG akhir-akhir bulan kemerdekaan negara kita, maka eloklah diperhatikan beberapa fenomena sosial dan politik serta ekonomi yang mengancam kemerdekaan kita yang sebenarnya pada zaman global dan teknologi komunikasi dan maklumat kini.

Proses globalisasi membawa bersama-samanya penjajahan bentuk baru di dalam budaya dan cara hidup yang didominasikan oleh negara-negara Barat dan Amerika: Budaya coca-cola dan jeans telah membawa bersama-samanya segala gejala pergantungan kepada cara hidup Barat itu, ditambah pula dengan aliran makanan segera dengan segala macam rasa dan rencahnya. Bagaimanapun kita tidak seharusnya memusuhi gejala jeans dan makanan segera yang sebenarnya banyak memberi kemudahan kepada para ibu bapa khususnya dalam melayani selera dan cita rasa anak-anak mereka kini.

Tetapi yang harus kita perangi ialah perjalanan pemikiran dan budaya hidup permisif yang dibawa dari Barat dan Amerika, terutamanya melalui dasar langit terbuka yang memberi peluang yang amat luas kepada kita untuk merasai dan menikmati nilai dan cara hidup dari dunia lain itu.

Penjajahan bentuk lama dan baru sama sahaja bahayanya kepada fizikal dan mental kita. Proses penjajahan juga sebenarnya telah mengalami beberapa peringkat yang jika ditinjau telah memakan masa yang lama.

Malahan bentuk penjajahan baru juga sedang berkembang dan akan memakan masa yang agak lama untuk menakluki dunia sekali lagi.

Fenomena penjajahan dan proses implimentasinya dapatlah disaksikan di dalam peringkat-peringkat berikut, iaitu berdasarkan kepada pengalaman penjajahan Barat dan Amerika:

(1) Fenomena penghapusan bangsa secara fizikal dan etnik seperti yang berlaku di Amerika dengan penghapusan penduduk asli red Indian sehingga ke akar umbinya dan menghapuskan nama etnik itu keseluruhannya dari bumi Amerika.

Hal ini diikuti oleh puak Serb di Bosnia yang bertindak menghapuskan kalangan etnik Bosnia Islam dari muka bumi Yugoslavia. Sejarah penjajahan kuno di Amerika itu nampaknya cuba diulangi di Eropah di bumi Bosnia Herzergovina, dan kali ini orang-orang Islam di negara tersebut ingin dihapuskan nama dan jasadnya secara menyeluruh agar mereka menerima nasib yang sama seperti orang-orang red Indian di negara Amerika.

(2) Fenomena penjajahan sesama manusia telah menjelma sekian lama dalam masyarakat yang memperdagangkan manusia sebagai hamba abdi. Amerika membawa masuk hamba abdi daripada kalangan masyarakat kulit hitam dari negara Afrika dan menjadikan mereka abdi dalam makna yang sebenarnya.

Pengabdian ini berlarutan sehingga berkurun-kurun lamanya dengan segala derita dan keseksaan yang ditanggung oleh manusia-manusia yang bergelar hamba abdi itu.

Negara Denmark hanya baru mengharamkan perdagangan hamba abdi sejak tahun 1972. Britain pada tahun 1802, Perancis pada tahun 1848, Amerika Syarikat pada tahun 1868.

Kedatangan Islam menyaksikan perhambaan yang berleluasa, maka Islam telah bertindak menyempitkan pintu perhambaan, sekali gus membuka luas pintu kemerdekaan sehingga akhirnya tidak ada lagi perhambaan di dalam Islam.( Hal ini telah saya bincangkan di dalam tulisan di ruangan ini pada 31 Ogos 2000)

(3) Fenomena penjajahan bermula sama ketikanya dengan penjajahan fizikal dan pemikiran oleh pihak penjajah, iaitu dengan meluaskan jajahan takluk ke negara-negara mundur, tetapi kaya dengan hasil bumi kurniaan Tuhan.

Kekayaan negara yang dijajah telah dikikis dan diangkut oleh penjajah ke negara mereka dengan amat mudah sebagai balasan terhadap pentadbiran mereka ke atas rakyat negara-negara yang dijajah.

Hal ini sebenarnya masih berlaku dengan cara moden dan akan terus menerus berlaku, terutamanya terhadap negara-negara membangun dan negara-negara Islam yang kaya sebagai balasan terhadap sumbangan para teknologis dan saintis dari negara Eropah dan Amerika Rakyat di negara yang 'terjajah' ini amat merasa sering berkongsi kekayaan dengan pihak penjajah, walaupun habuannya terlalu kecil sekali.

(4) Fenomena yang amat merbahaya dan mengancam jati diri negara-negara membangun sekarang ini ialah penjajahan mental dan rohani yang bertindak mengubah budaya dan nilai hidup setempat yang positif menjadi nilai hidup global yang tidak beridentitikan cara hidup setempat dan rencah keperibadian agama dan etnik rakyat yang dijajah itu.

Rakyat yang 'terjajah' akan melihat kepada 'tuan' mereka dengan penuh bangga dan mulia sebagai 'model' pejuang hak asasi dan keadilan yang akan menghancurkan sistem negara sendiri yang 'zalim' dan 'kuku besi'.

Penjajahan ini berjaya mengubahkan persepsi mereka yang terjajah dan pandangan hidupnya kerana sesuatu matlamat peribadi dan kelompok yang tertentu, dan mereka menjelma menjadi 'hero' dan 'pejuang' yang mendapat bantuan moral dan kebendaan daripada 'tuan' mereka penjajah dan hulubalang dari luar.

Mungkin kita sedang mengalami keadaan dan mentaliti rakyat yang sedang dijajah di dalam bentuk baru yang terakhir ini. Penjajahan inilah yang amat sukar dihapuskan dari muka bumi ini, kerana manusia sering dapat melihat perdagangan hamba abdi sccara fizikal dan secara lahir, dan dapat melihat juga penjajahan kekayaan yang dikaut keluar oleh orang lain, tetapi manusia amat sukar untuk menyedari bahawa mental dan fikiran mereka sedang dicucuk oleh jarum penjajahan, kerana penjajahan dalam bentuk ini amat halus dan sukar dikesan, sehingga para abdi yang dijajah itu itu merasakan bahawa mereka sebenarnya adalah wira dan pahlawan bangsa.

Semoga menjelang hari-hari akhir perayaan kemerdekaan ini, rakyat kita keseluruhannya akan menyedar erti kemerdekaan yang sebenarnya dan berusaha membebaskan diri dari segala bentuk penjajahan baru dan lama.

Saidina Umar Ibn Khattab berkata, ''Bilakah anda mempertahankan sesama manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibu mereka sebagai orang yang bebas dan merdeka''.

Bebas dan merdeka di sini tentulah tidak dimaksudkan hanya bebas fizikal dan jasad daripada cengkaman politik pemerintahan penjajah, tetapi ia merangkumi kebebasan daripada penjajahan pemikiran dan nilai, bebas daripada penjajahan akhlak dan agama, merdeka daripada kejahilan dan kedangkalan cara berfikir, merdeka daripada gaya hidup permisif dan tidak beragama.

Semoga keadaan akan menjadi lebih baik menjelang tahun-tahun kemerdekaan yang akan datang.

No comments: