Friday, June 8, 2007

Pemikiran umat Islam kini keliru

DR. ISMAIL IBRAHIMSAYA teringat untuk membicarakan tajuk di atas setelah melihat banyak judul buku yang membicarakan tentang pemikiran para sarjana Islam tentang berbagai-bagai tajuk semasa yang memerlukan kajian lanjut dan agenda susulan bagi melaksanakannya sebagai agenda umat Islam keseluruhannya.

Salah satu judul buku yang baru diterbitkan dalam konteks ini ialah pemikiran Al-Dawalibi tentang nasionalisme, sekularisme, murtad dan riba.

Di sini saya tidaklah bercadang untuk memberikan pandangan tentang isi dan pendapat penulis buku tersebut, kerana saya rasa sebagai penuntut ilmu, maka keseluruhan individu Muslim perlu menatap dan menghalusi pandangan-pandangan yang diberikan di dalam tulisan tersebut dan membandingkannya dengan penulisan lain yang dikeluarkan oleh para sarjana Islam dan bukan Islam.

Tajuk-tajuk pembicaraan yang tersebut sesungguhnya adalah amat penting difahami dengan secara halus dan kritikal kerana tajuk-tajuk pembicaraan seperti inilah yang masih tidak dapat difahami oleh orang Islam dan masih merupakan sesuatu yang asing dari pemikiran mereka.

Isu-isu yang tersebut bukanlah boleh diambil mudah secara simplistik begitu, sehingga ramai diantara kita yang mendabek dada dan mendakwa dialah sahaja yang faham tentang sekularisme, nasionalisme dan lain-lain lagi. Keadaan ini menjadi lebih kusut kerana orang yang sering mendakwa begini sering menyampaikan pandangannya hanya melalui ceramah dan syarahan yang penuh retorika, tanpa bersandarkan kepada fakta ilmu dan hasil kajian yang berwibawa.

Isu-isu yang besar ini hanyalah menjadi permainan bibir dan lidah yang disuarakan di dalam keenakan ungkapan yang agak kosong dan tidak bermakna.

Saya mengemukakan masalah di atas, kerana saya berpandangan bahawa tanpa asas-asas ilmu yang berdasarkan pemikiran yang saintifik dan rasional, tanpa fakta sejarah dan sokongan sumber syariah yang betul dan sahih serta pentafsiran alam berbagai-bagai konteks yang tertentu, maka pemikiran umat Islam di negara kita nampaknya pada hari ini menjadi terlalu kecoh dan keliru. Umat Islam di negara kita lebih banyak berpegang kepada apa yang didengarnya melalui kaset-kaset ceramah dan penceramah-penceramah itu sendiri yang diadakan di seluruh negara oleh orang-orang yang pandai menarik hati orang dengan sulaman jenaka, sindiran-sindiran dan permainan kata-kata yang menawan emosi serta sentimen pendengar. Hal ini menjadi bertambah kuat dengan tafsiran-tafsiran yang diberikan kepada ayat-ayat yang dipetik dari al-Quran dan Hadis yang kadang-kadang dibuat untuk menyokong pandangan tertentu secara berat sebelah.

Buku yang saya sebutkan di atas diulas oleh Prof. Kharofa yang cuba memberikan pandangannya yang agak seimbang tentang isu-isu yang dibicarakan. Dan bagi saya sesuatu isu ilmu dan gagasan itu haruslah dibuka ruangan yang agak luas untuk dipolemikkan supaya setiap orang dapat memahaminya dengan lebih baik lagi dari hanya mendengar pandangan individu tanpa usul periksa.

Kita di negara ini pada hari ini nampaknya telah kembali ke zaman silam tentang isu-isu ilmu, termasuk beberapa kenyataan yang bersifat fatwa, iaitu dengan mengambil kaedah taqlid atau menurut secara membuta tuli pandang seorang individu yang dianggap alim dalam agama. Sikap taqlid buta ini boleh melahirkan satu generasi Islam yang tidak mampu berfikir dan tidak berupaya untuk mencari dan memahami fakta ilmu dan hukum berdasarkan kajian dan analisis sendiri tentang sesuatu perkara itu.

Sikap bertaqlid atau hanya menurut apa saja yang disebut oleh orang yang dianggap berilmu agama tanpa usul periksa boleh juga mewujudkan satu generasi yang bersikap fanatik secara keterlaluan terhadap sesuatu pandangan itu.

Kalau pada satu zaman dulu para pemikir Islam, termasuk dari negara dan rantau kita, seperti Syeikh Daud Fatani, Syeikh Tahir Jaluluddin dan lain-lain di dalam tulisan-tulisan mereka sering mengingatkan orang-orang Melayu supaya menjauhkan diri dari taqlid buta dan bersikap taksub, maka nampaknya pada hari ini kita mulai kembali lagi kepada keadaan yang disebutkan mereka itu, dan kita mulai menghidupkan kembali sifat tersebut yang sepatutnya dikikis dari masyarakat Islam pada zaman moden ini.

Kerana sikap dan pendirian sempit beginilah, maka kita dapat melihat bagaimana kecoh dan kelirunya pemikiran orang-orang Islam di Malaysia pada hari ini yang amat asyik membicarakan isu-isu yang telah lama diselesaikan seperti isu suara wanita, wanita bekerja, malah isu-isu nasional dan keselamatan yang dijadikan seperti satu perkara yang dipermain-mainkan, umpamanya isu rampasan senjata di Sauk yang dikatakan satu permainan politik, bagaimana boleh terjadi apakah kenderaan yang hanya berjumlah beberapa buah itu mampu membawa muatan yang banyak dan berbagai-bagai isu lain yang semuanya dipermain-mainkan oleh orang akibat dari sikap hanya suka mendengar kata-kata individu tertentu tanpa perlu lagi memikir dan menganalisis lagi berdasarkan fakta dan hakikat yang diberikan oleh orang lain termasuk oleh pihak polis, tentera dan pimpinan negara sendiri. Apakah semuanya harus kita permain-mainkan di negara kita sekarang ini?

Inikah ajaran Islam yang kita praktikkan berdasarkan firman Allah s.w.t yang menuntut kita berilmu, beramal, memeriksa berita yang kita terima, menjaga lidah dan ungkapan kata kita, bersikap dan bersifat amanah, ikhlas dan jujur?

Kita berbangga juga dengan ungkapan takkan Melayu hilang di dunia, iaitu Melayu di dalam sejarah, agama, pelayaran, perniagaan, politik, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Tetapi pemikiran Melayu sekarang hanya tertumpu kepada mempolitikkan semua isu yang mereka hadapi dalam politiking yang amat sempit dan bersifat fanatik.

Politik kita bukan politik Islam yang sebenarnya, kerana ketika pihak Zionis berusaha bersungguh-sungguh untuk merampas keseluruhan tanah suci Baitulmaqdis, kita bercakaran tentang siapa yang perlu jadi imam sembahyang dan siapa nak jadi makmum.

No comments: