Friday, June 8, 2007

Jangan rumitkan pemahaman Islam

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
KETIKA saya membicarakan tentang Islam di dalam Perlembagaan Malaysia di ruangan ini pada 17 Ogos 2000, maka tujuan saya ialah untuk memberikan gambaran tentang pentafsiran positif bagi peruntukan perlembagaan itu berdasarkan pelaksanaan dan amalan yang telah dijalankan di negara kita dalam pembangunan Islam dan komitmen kerajaan terhadap agama negara selama ini.

Saya memetik penjelasan Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim tentang hal ini, yang sekali gus menolak pentafsiran sempit tentang peruntukan Islam di dalam perlembagaan itu seperti yang ditafsirkan oleh Ketua Hakim Negara dalam kes Che Omar bin Che Soh lawan pendakwa raya di Mahkamah Persekutuan (2MLJ 55) 1988, juga kes Teoh Eng Kuat lawan Kadhi Pasir Mas dan seorang lagi (2MLJ 301) 1990.

Menurut Prof. Ahmad Ibrahim bahawa cara pentafsiran negatif tentang Islam yang diperuntukkan di dalam perlembagaan itu ''telah merujuk kepada makna yang diberi oleh penjajah British pada masa-masa penjajahan dan sebelum perlembagaan itu diadakan.

Dengan pengaruh British itu dan cara pemerintahan mereka yang telah menyekat kuasa raja-raja dan menggunakan institusi-institusi pemerintahan sekular undang-undang Islam telah disempitkan kepada undang-undang keluarga, perkahwinan, perceraian dan warisan, dan itu pun dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja'' (Rujuk buku Prinsip-prinsip Perlembagaan Islam Dalam Perlembagaan Malaysia terbitan IKIM 1999).

Tulisan saya agak mudah difahami dan membawa mesej secara langsung bahawa perlembagaan dengan itu dapat ditafsirkan secara meluas tanpa terikat dengan makna yang sempit, malahan perkembangan Islam di Malaysia yang semakin meningkat, dan peruntukan kewangan yang telah dibelanjakan di dalam sektor agama di bidang ekonomi, kewangan, pendidikan, fardu ain dan sebagainya, juga penglibatan perancangan Islam yang dilakukan di dalam kepelbagaian pembangunan negara, juga penglibatan para ahli agama di dalam arus perdana pentadbiran negara serta komitmen pemerintah dalam segala aspek aktiviti dan pengurusan agama, dengan sendirinya menunjukkan bahawa selama ini semua proses dan pelaksanaan Islam di negara kita dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Negara kita.

Hal inilah yang cuba saya hubungkan dengan pentafsiran luas peruntukan perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama negara.

Saya menerima banyak komen yang menyokong pandangan dan hakikat ini di samping beberapa komen yang menafikan pentafsiran positif itu, termasuk tulisan di dalam akhbar secara terbuka dengan menyatakan pandangan penulisnya secara peribadi tentang tajuk ini.

Saya merasakan bahawa semua komen yang diberikan mempunyai pandangannya tersendiri, malahan pelajar dari Taiwan yang menulis pendapatnya di dalam akhbar ini telah menyahut pelawaan saya supaya dapat berdialog seterusnya apabila beliau kembali ke Malaysia ketika cuti Tahun Baru Cina nanti.

Di dalam tulisan saya kali ini saya ingin membawa kembali ingatan kita kepada beberapa peruntukan di dalam Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah s.a.w, agar dengan itu kita dapat melihat sendiri bagaimana peruntukan-peruntukan di dalam piagam tersebut merupakan peruntukan yang berbentuk Islam dan dapat dilaksanakan dengan meluas di dalam semua pembangunan negara, walaupun tidak mengisytiharkan kerajaan Islam atau perlembagaan Islam.

Intipati piagam tersebut yang dirumuskan oleh Ibn Hisham seperti yang dipetik oleh Dr. Yusuf al-Siba'i melalui bukunya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, adalah seperti berikut:

* Kesatuan umat Islam tanpa mengira perbezaan;

* Membangun satu masyarakat dalam satu sistem yang sebaik-baiknya, selurus-lurusnya dan sekukuh-kukuhnya.

* Melawan orang-orang yang memusuhi negara dan membangkang, tanpa boleh memberikan bantuan kepada mereka;

* Melindungi setiap orang yang ingin hidup berdampingan dengan kaum muslimin dan tidak boleh berbuat zalim atau aniaya terhadapnya;

* Umat yang di luar Islam bebas melaksanakan agamanya. Mereka tidak boleh dipaksa masuk Islam dan tidak boleh diganggu harta bendanya;

* Umat yang di luar Islam harus ambil bahagian dalam membiayai negara seperti umat Islam sendiri;

* Negara melindungi semua warganegara, baik yang Muslim mahu pun bukan Muslim;

* Umat Islam dan bukan Islam tidak boleh melindungi musuh negara dan orang-orang yang membantu musuh negara;

* Apabila satu perjanjian akan membawa kebaikan kepada masyarakat, maka semua warganegara baik Muslim mahupun bukan Muslim harus rela menerimanya.

Ternyata bahawa beberapa rumusan yang tersebut merupakan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang mencukupi untuk membangun negara dan masyarakat berdasarkan ajaran Islam dan nilai kerohaniannya yang bersifat sejagat untuk semua manusia walaupun tanpa disebut tentang status agama rasminya.

Saya mendapat kesan bahawa kalangan yang ingin mentafsirkan perlembagaan negara kita secara sempit dan terhad tentang Islam sebagai agama rasmi negara itu selain daripada dipengaruhi oleh pentafsiran agama secara tafsiran sekular yang disebutkan oleh Prof. Ahmad Ibrahim, maka mereka juga mungkin dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran lain, terutamanya yang berbentuk falsafah yang ingin mencipta beberapa kekeliruan di dalam minda masyarakat, khususnya di dalam pembicaraan tentang sesuatu konsep yang tertentu.

Memasukkan jarum syak wasangka, persoalan konsep yang dihubungkan pula dengan beberapa realiti di dalam masyarakat seperti salah laku, penyelewengan, atau yang dikatakan penindasan dan perhambaan orang lain, semuanya ini boleh menjadikan satu isu yang mudah dan straight forward (langsung) amat complicated (rumit) sehingga ramai orang yang akan merasa keliru dan ragu-ragu tentang hal tersebut. Inilah motif yang saya rasa ingin disemaikan oleh beberapa golongan yang tertentu di dalam masyarakat kita.

Malah terdapat kalangan tersebut yang mungkin agak berkecamuk pemikirannya dengan isu yang lain, iaitu dengan memberi komen bagaimanakah Islam di dalam perlembagaan itu dapat ditafsirkan secara positif, sedangkan masih banyak pindaan dan pengubahsuaian harus dilakukan kepada undang-undang negara.

Pembicaraan mengenai dua isu ini nampaknya sering dicampur-adukkan untuk memberikan justifikasi kepada pandangan negatif yang tertentu.

Kaedah agama kita menegaskan bahawa apa yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya, mungkin sama jugalah dengan pepatah Melayu yang mengatakan marahkan nyamuk janganlah pula kelambu yang mahu dibakar!

Memang banyak lagi perubahan dan pindaan yang harus dilakukan, tetapi hal itu tidak pula membawa kepada peranan pesimistik sehingga tidak mahu lagi mengiktiraf dan menghargai apa yang telah dilakukan selama ini.

Malaysia yang sempurna dan agung bukanlah boleh dibangunkan dalam masa satu hari sahaja.

No comments: