Friday, June 8, 2007

Ke mana lupusnya adab sopan

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SEMASA kecil dulu kita diajar oleh emak bapa supaya bersopan santun. Jangan menyampuk cakap orang, jangan meninggikan suara ketika bercakap.

Dari segi tingkah laku pula kita diajar supaya jangan berjalan di belakang orang yang sedang duduk apa lagi jika tetamu yang datang itu adalah orang-orang tua, tetamu yang dihormati dan sebagainya.

Tetapi melihat kepada apa yang berlaku di dalam Parlimen pada hari Jumaat yang lepas, ketika belanjawan negara sedang dikemukakan oleh Menteri Kewangan, saya merasakan bahawa pelajaran dan nasihat yang pernah dihamburkan kepada kita ketika kita masih kecil dulu perlu dihidupkan semula.

Kita nampaknya lebih memerlukan pengajaran adab sopan itu lebih dari masa-masa yang silam, kerana kita pada masa kini sedang membicarakan isu tamadun, K-ekonomi, kemajuan sains dan teknologi, soal bangsa dan negara maju, adab dan susila Islam, kembali kepada al-Quran dan hadis, menghayati ad-din sebagai cara hidup yang sempurna, insan kamil dan beribu macam simbol dan slogan yang amat sibuk kita memperkatakannya dalam zaman moden, zaman global ini.

Nampaknya simbol, slogan dan idealisme hidup yang amat unggul yang kita bicarakan itu tidak memberi erti apa-apa sekiranya untuk bersabar dan bersopan di dalam Dewan Parlimen dan bertindak secara bertamadun itu pun tidak dapat kita mengerti dan jauh sekali daripada menghayatinya.

Terlepas daripada persoalan siapa yang salah dan benar, siapa yang terangsang sesiapa, perbuatan menjerit-jerit, memekik, melolong melepaskan geram, disulam pula dengan kata-kata yang tidak beradab yang kedengaran dari pihak-pihak tertentu, sesungguhnya mencemarkan adab sopan dan etika sama ada dipandang daripada nilai etika bangsa atau nilai akhlak agama, malah cara hidup orang bertamadun, semuanya tercemar dan amat memalukan.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, manusia memanglah boleh bertindak liar dan agresif, terutamanya apabila terdapat sesuatu yang menyinggung perasaan dan dianggapnya tidak sesuai dengan dirinya. Tetapi biasanya hal ini boleh berlaku di kedai-kedai kopi atau di warung-warung di tepi jalan, malah sering berlaku di kelab-kelab malam ketika orang terlalu banyak meminum minuman keras dan menjadi mabuk, maka orang mabuk akan bertindak di luar batas-batas kemanusiaan, kerana ia hilang akal dan tidak sedar tentang sesuatu tindakan atau perkataannya.

Kerana hakikat tabiat manusia yang cenderung bertindak liar dan lupa diri inilah maka al-Quran sering menekankan tentang keperluan manusia bersabar.

Banyak sekali ayat yang mengingatkan manusia supaya bersabar. Bersabar ertinya menahan marah dan mengawal nafsu dan perasaan ketika marah, ketika susah, ketika ditimpa kemalangan, dan ketika senang juga.

Semua situasi ini memerlukan kesabaran, kerana manusia sebagai makhluk sempurna dan unggul tidak seharusnya bertindak seperti haiwan, malah manusia seharusnya bertindak secara rasional dan sentiasa menghormati batas-batas moral dan adab, bertindak secara bijaksana, apa lagi jika manusia itu seorang yang beriman kepada Allah s.w.t. Kombinasi sifat sabar, bijaksana, iman dan tawaduk menjadikan seorang itu insan kamil, insan yang ideal dan unggul yang sering dibicarakan oleh tokoh-tokoh guru dan para penceramah kita yang bijaksana.

Kekecohan yang berlaku, yang terang-terang bertentangan dengan adab dan nilai moral yang murni ini sekali gus menunjukkan contoh yang buruk kepada masyarakat yang menontonnya secara langsung. Masyarakat semua peringkat, termasuk kanak-kanak sekolah, akan melihatnya sebagai sesuatu yang jijik, atau terdapat tiga kalangan tertentu yang melihatnya sebagai satu contoh baik dan tingkah laku yang boleh ditirunya. Golongan kanak-kanak yang menontonnya mungkin melihatnya sebagai satu contoh yang harus diikuti kerana ia dilakukan oleh orang-orang dewasa yang ''terpilih'' dan mendapat kepercayaan umum sehingga membolehkan orang-orang itu menduduki kerusi Parlimen.

Kalau orang-orang yang bijaksana itu boleh bertindak demikian, maka kenapa pula orang lain tidak boleh meniru mereka? Bukankah mereka wakil-wakil kita dan mereka mempunyai kelebihan dari kita? Mungkin inilah yang menjadi bahan pemikiran anak-anak kita sekiranya mereka menonton gelagat yang berlaku di dalam Dewan itu.

Kita perlu menghidupkan semula ajaran ibu bapa kita zaman dulu yang menekankan tentang sopan santun dan akhlak walaupun mereka sebenarnya tidak pun mengenal erti tamadun, kemajuan, ilmu pengetahuan saintifik, apa lagi istilah-istilah baru globalisasi, modenisasi, teknologi dan sebagainya.

Yang mereka tahu ialah mendidik anak-anak supaya menjadi manusia iaitu manusia yang tahu bercakap dengan baik, tahu menghormati orang lain, tahu makan dan minum cara bersopan dan tahu menghargai diri dan bertindak sesuai dengan keadaan di sekeliling seperti pesanan mereka di mana bumi dipijak maka di situlah langit dijunjung. Oleh itu sebagai orang berilmu dan bertamadun kita haruslah tahu di manakah kita berada, di tepi jalan, di warung kopi atau di dalam Parlimen yang menjadi tumpuan jutaan orang di luar sana.

Kejutan-kejutan begini, termasuk kejutan terakhir yang mendedahkan gelagat rakyat kita yang menjadi petualang di luar negara untuk menghancurkan diri sendiri dan menghancurkan keturunannya juga, merupakan satu perolahan sejarah tindakan kemanusiaan yang amat radikal dan penuh tragis.

Apa yang berlaku ini merupakan satu tragedi yang sedang menimpa umat kita abad dan alaf ini. Kalau tindakan askar Jepun dari pasukan berani mati dan sering juga dilakukan oleh pejuang-pejuang Palestin sekarang ini dianggap sebagai tindakan membunuh diri, tetapi mereka membunuh diri kerana memperjuangkan maruah dan kehormatan bangsa dan negara mereka.

Tetapi tindakan golongan rakyat kita yang memburuk-burukkan negara sendiri sebaliknya merupakan tindakan membunuh diri dan membunuh anak cucu dan bangsa sendiri, malah menggadai negara sendiri. Orang-orang begini merupakan orang fantasi dalam cerita si Luncai, atau orang yang membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Apakah yang dia dapat?

Umat dan bangsa kita umumnya tidaklah harus membiarkan perkembangan melulu ini terus berlaku di dalam masyarakat tanpa pemeriksaan rapi dan tapisan yang teliti. Kalau dibiarkan maka ia akan menjadi fenomena sosial yang lumrah dan tradisi bangsa yang biasa, maka akhirnya akan menjadi gaya hidup dan adat yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Kita memerlukan pendidikan bangsa yang lebih menekankan kepada tatasusila dan adab sopan yang sebenarnya berdasarkan akhlak bangsa dan agama yang kita junjung. Kita memerlukan kesedaran mendadak sekarang ini terhadap fenomena yang tidak sihat itu supaya dapat pula kejutkan masyarakat tentang bahayanya yang besar, bukan hanya kepada kita sekarang tapi kepada generasi yang akan datang.

No comments: