Friday, June 8, 2007

Bilakah orang Melayu akan berubah?

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SETIAP kali menonton filem Melayu klasik saya melihat banyak pandangan yang memberikan gambaran negatif tentang budaya dan cara hidup orang Melayu zaman lampau. Perbuatan menikam dari belakang, mereka-rekakan fitnah dan cerita karut tentang orang lain kerana didorong oleh emosi cinta dan sifat tamak haloba kerana gilakan kuasa dan pangkat telah menjadi satu gejala yang amat lumrah di dalam kehidupan masyarakat yang digambarkan itu. Hal ini juga menyerlahkan unsur dalaman orang Melayu yang terlalu emosi dan bebal sehingga tidak mempunyai daya tahan yang kukuh untuk melawan hawa nafsu dan tuntutan emosi dan badannya sehingga ia tidak dapat lagi menggunakan pemikirannya yang rasional, malah kadang-kadang bertindak dengan cara yang bercanggah dengan ajaran agama. Dengan itu maka watak yang ditonjolkan itu akan dapat membunuh mangsanya, merampas isterinya, mengatur perkelahian dan bertikam dengan keris dan menyerang dari belakang tanpa disedari oleh mangsanya yang tidak berdosa.

Kini, dalam zaman moden serba canggih, malah di dalam abad baru kurun dua puluh satu ini, nampaknya gejala negatif dan cara hidup tidak bertamadun itu telah berulang kembali bagi segelintir masyarakat kita, dan mulai merebak menjadi satu wabak umum sehingga perbuatan fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh secara tidak berasas, mengecam dan memaki hamun dari belakang, mengatur strategi kotor untuk mewujudkan kekecohan dan perselisihan di antara sesama sendiri dan seribu satu macam tindakan negatif lainnya sedang digerakkan secara berleluasa di dalam masyarakat, termasuk di kalangan anak muda dan kanak-kanak sekolah dan sebagainya.

Perbuatan itu di dalam zaman moden serba canggih ini tentulah tidak lagi menggunakan keris dan lembing, atau cerita mulut yang berpindah dari mulut ke mulut secara yang amat terhad di kalangan anggota masyarakat desa dan pedalaman yang amat terhad pula, kerana pada zaman kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi moden ini, orang dapat menghebah dan menyebarkan cerita-cerita karut dan fitnah yang tidak berasas itu melalui mel elektronik, laman web, mesin faks dan sebagainya. Dengan itu dalam masa sesaat dua sahaja segala cerita dan berita akan sampai ke seluruh pelusuk dunia dan menjadi cerita bagi jutaan manusia dengan amat mudah sekali. Maka dengan itu ramailah yang mendengar dan mengetahuinya, dan ramai pulalah yang mempercayainya sebagai satu kebenaran.

Hal ini sebenarnya telah berlaku di dalam masyarakat setiap bangsa, iaitu ketika terdapat orang yang pakar di dalam bank umpamanya, maka orang ini akan dapat menipu bank dan pelanggannya dengan menggunakan kepakarannya sekiranya ia bersifat gelojoh, tamak haloba dan tidak amanah terhadap kerjanya. Demikianlah halnya keadaan yang berlaku di dalam bidang-bidang pekerjaan lain.

Ketika Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menyebarkan ajaran Islam, di sekeliling baginda terdapat golongan musyrikin dan golongan munafik yang menentang baginda. Golongan musyrikin yang terang-terang menentang Islam dapat dikesan dengan amat mudah oleh baginda, tetapi golongan munafik amat sukar dikesan, kerana mereka adalah ibarat talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam. Golongan berilmu yang berusaha menyebarkan keburukan di dalam masyarakat secara berselindung dan bersembunyi sekarang ini samalah sifat dan taktiknya seperti golongan munafik ini. Mereka menyebar cerita-cerita keji dan buruk di dalam Internet atau mel elektronik di sebalik nama-nama yang tidak dikenali. Identiti mereka tersembunyi, dan mereka tidak akan melahirkan nama mereka secara terang. Di dalam masyarakat mungkin mereka sebahagian daripada kita, tetapi di dalam Internet mereka adalah musuh kita.

Mungkin hal yang sama inilah yang berlaku di dalam institusi bank yang diheboh-hebohkan sekarang. Mereka yang membocorkan rahsia akaun peribadi orang-orang yang tertentu, atau institusi-institusi yang tidak disukainya di dalam internet dengan tujuan menghasut dan mendedahkan maklumat rahsia, maka mereka adalah golongan yang menggunakan kepakaran dan ilmu mereka sebagai orang profesional, tetapi sebenarnya mereka tidak profesional.

Kita amat berbangga melihat negara kita menghasilkan ahli-ahli profesional yang ramai semenjak kita mencapai kemerdekaan, dan di antara ahli-ahli profesional itu maka bilangan yang ramai juga adalah terdiri daripada profesional Melayu yang dihasilkan dari dasar ekonomi baru. Ketika ramai daripada mereka yang benar-benar bersifat profesional, yang muncul di dalam program-program TV, radio, di IPT, di hospital, industri, dan sebagainya, maka kita amat dukacita melihat segelintir daripadanya yang bersikap tidak profesional ketika menjalankan tugasnya semata-mata kerana didorong oleh rasa sentimen dan fanatik kepada sesuatu fahaman politik atau pendirian yang tertentu.

Oleh itu nampaknya kerja kita belum selesai, iaitu sesudah berjaya melahirkan ramai ahli profesional, maka kita harus pula mendidik mereka supaya benar-benar profesional di dalam menjalankan tanggungjawab dan tugasnya. Kerja kita menjadi bertambah berat kerana kebanyakan mereka adalah terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam pula. Nampaknya catatan sejarah tentang cara hidup dan tingkah laku negatif orang Melayu seperti yang digambarkan di dalam filem-filem Melayu klasik itu akan terus berlaku dan terus diamalkan oleh generasi kini. Kita telah berusaha mengubah cara berfikir dan pemikiran tersebut dengan berbagai-bagai cara, tetapi kesannya kelihatan amat sedikit.

Semoga kita masih mempunyai masa untuk menangani masalah ini sehingga apa yang kita tonton di dalam filem-filem Melayu klasik itu hanya kekal menjadi catatan sejarah kerana orang Melayu telah berubah!

No comments: