Friday, June 8, 2007

Teladani akhlak Rasulullah

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BANYAK perkara yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang meninggalkan kesan negatif kepada generasi muda.

Satu perkara yang telah saya sentuh di dalam tulisan ini dua minggu lalu ialah teladan buruk yang berlaku di kalangan Ahli Parlimen ketika Menteri Kewangan mengemukakan ucapan Belanjawan 2000.

Beliau diejek dan disorak serta dilemparkan dengan kata-kata kesat yang amat tidak wajar dikeluarkan di dewan yang sepatutnya menjadi medan perbincangan secara profesional dan penuh hikmah.

Sayangnya keadaan menjadi lebih serius lagi selepas itu ketika terdapat ahli-ahli Yang Berhormat itu bertindak melampaui kata-kata kesat dan tidak bersopan, iaitu ketika terdapat ahli-ahli yang cabar mencabar untuk beradu kekuatan fizikal di luar dewan.

Hal-hal yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara kita nampaknya mulai diketengahkan oleh generasi dewasa kini.

Oleh itu seperti yang telah saya timbulkan dulu bahawa kesan negatifnya mungkin tidak dirasakan oleh mereka yang terlibat secara langsung sekarang ini, tetapi kesan buruknya yang seharusnya dipertanggungjawabkan kepada mereka ialah segala tindakan yang mereka ambil ini akan menjadi satu norma hidup dan tindakan, atau satu budaya dan gaya hidup yang bakal diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Segala apa yang dilakukan itu, terutamanya yang timbul dari kalangan orang yang dihormati dan dipuja oleh generasi muda yang tertentu, akan dianggap sebagai nilai dan normal hidup yang dapat diterima sebagai satu budaya bangsa yang tabii.

Selama ini pun kita sering mendengar dan membaca tentang tindakan generasi lama yang telah bertindak di luar batas-batas kesusilaan, iaitu dengan percubaan-percubaan menanamkan rasa benci kepada sesama bangsa, khususnya kepada orang-orang yang mereka benci secara melulu, seperti para pemimpin negara, iaitu yang berlaku di pusat-pusat pendidikan mulai dari tadika hingga ke pusat-pusat pengajian tinggi di mana generasi baru yang telah diracuni pemikiran untuk turut sama-sama membenci orang-orang tertentu atas alasan-alasan yang hanya difahami mengikut tanggapan orang-orang dewasa itu sahaja.

Kita telah lama mendengar tentang ceramah-ceramah, kuliah, pengajaran di dalam kelas, cara membentuk soalan ujian dan peperiksaan di sekolah, ditambah pula oleh penyebaran berita-berita dan artikel yang tidak bertanggungjawab melalui surat elektronik dan Internet.

Maka semuanya ini merupakan satu penyebaran maklumat dan bahan pemikiran negatif yang boleh mengubah nilai-nilai hidup generasi baru dan seterusnya menjadi budaya bangsa untuk beberapa lama yang akan datang.

Nabi Allah Ibrahim dan Yaakob seperti yang dikisahkan oleh al-Quran di dalam surah al-Baqarah, ayat 132 dan 133 telah menunjukkan contoh terbaik dalam hal ini iaitu dengan meninggalkan pesanan yang baik untuk anak-anak mereka supaya meneruskan perjuangan generasi lama, iaitu terus menerus berpegang kepada amalan yang diamalkan oleh generasi bapa mereka.

Ayat-ayat tersebut bermaksud begini:

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga Nabi Yaakob berwasiat kepada anak-anaknya). Katanya, Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini (Islam) menjadi ikatan kamu, janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam keadaan Islam.

Seterusnya di dalam ayat 133, Nabi Yaakob segera menafikan kaum Yahudi bahawa baginda telah mewasiatkan kepada anak-anaknya supaya berpegang dengan agama Yahudi. Malah baginda sebelumnya berwasiat kepada anak-anak dan keturunannya supaya berpegang teguh kepada agama Allah yang satu, iaitu Islam, yang telah diwahyukan kepada sekalian Nabi-Nya dari Nabi Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.

Inilah semangat dan ajaran agama kita iaitu memperturunkan ajaran dan nilai yang mulia yang menjadi pegangan kita sebagai ibu bapa, pendidik, pemimpin, tok guru, tok imam, khatib, penceramah dan sebagainya kepada semua golongan di bawah tanggungjawab dan pimpinan masing-masing iaitu anak-anak, para murid dan pelajar, ahli jemaah dan lain-lain lagi yang sentiasa bersedia merebut percakapan dan meniru segala perilaku dan tindakan kita.

Orang-orang yang mendapat nikmat dan keistimewaan kurniaan Allah s.w.t ini seharusnya bersyukur dengan keistimewaan dan kebolehan mereka dan salah satu cara bersyukur ialah dengan bertutur dan bertindak secara ikhlas dan amanah demi kepentingan agama dan akhlaknya yang mulia.

Inilah juga semangat dan konsep kepimpinan melalui teladan yang seharusnya dihayati dan dipraktikkan oleh semua orang dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan inilah yang bakal membentuk jati diri dan nilai hidup anak-anak kita dan generasi mereka yang akan datang.

Penanaman nilai negatif dan cara hidup kasar serta tidak bersopan yang amat berleluasa pada hari ini telah memperlihatkan gejala-gejala negatif dan krisis sosial yang agak serius di kalangan generasi baru kita. Keadaan ini pula sering mengundang tuduhan liar dan sikap salah menyalahkan sesama sendiri, malah ramai yang mengambil sikap mudah, iaitu ketika membicarakan tentang salah laku dan krisis moral di kalangan anak muda maka mereka hanya akan menuding jari kepada pihak lain.

Yang mereka nampak hanyalah kesalahan orang lain, sedangkan mereka sendiri banyak melakukan kesilapan yang tidak mahu mereka akui.

Untuk menempa sejarah cemerlang bangsa dan umat akan datang, saya rasa eloklah kita renungkan peristiwa sejarah Nabi-Nabi seperti yang kita teliti di atas yang telah benar-benar menunjukkan kepimpinan melalui teladan. Itulah akhlak Islam yang sebenarnya. Dan ini akhlak yang mulia itulah yang dimaksudkan oleh Khadijah a.s ketika menjelaskan tentang akhlak Rasulullah s.a.w bahawa ''Akhlaknya ialah al-Quran''. Yang menjadi persoalannya ialah apakah kita benar-benar memahami kata-kata keramat yang sering kita ulang-ulangkan itu?

No comments: