Friday, June 8, 2007

Tazkirah politik cemarkan tarawih

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
BULAN Ramadan telah berlalu dengan pantas sekali. Hari ini kita telah menunaikan ibadat puasa selama sebelas hari. Tetapi kita tidak pasti apakah amalan berpuasa ini benar-benar telah meninggalkan kesan yang baik terhadap diri kita dari segi pertuturan, tingkah laku, peningkatan kerohanian dan sebagainya.

Hanya individu itu sendiri yang dapat menilai dan merasakannya. Yang amat diharapkan bahawa ibadat ini akan meninggalkan kesan yang baik dan positif kepada kaum Muslimin semua.

Satu perkara yang jelas bertentangan dengan hikmah dan ajaran ibadah puasa mungkin telah berlaku ketika pilihan raya kecil di Lunas tempoh hari. Sekurang-kurangnya para penceramah dan penyokong parti-parti yang bertanding di dalam pilihan raya itu telah berusaha bermati-matian untuk memenangkan calonnya. Dan untuk mencapai kemenangan itu maka para pengundi haruslah dipengaruhi.

Untuk mempengaruhi para pengundi pula maka masing-masing tentulah akan membuka keburukan pihak lawan dan menonjolkan kebaikan sendiri, walaupun dalam kedua-dua aspek itu ada yang terdesak untuk berbohong dan berpura-pura malah mungkin sehingga mengeluarkan fitnah dan hasutan.

Pendeknya kempen pilihan raya telah menjadi satu permainan yang seolah-olah dilukis dalam warna hitam putih, tidak ada lagi warna lain. Yang putih kepunyaan kita semuanya dan lawan kita pula semuanya hitam, tak berguna, jahat dan sebagainya. Maka dari sudut ini nampaknya Ramadan tahun ini menyaksikan tingkah laku, tutur kata dan perilaku sesetengah pendukung dan penyokong parti politik yang keterlaluan, agresif, tidak beretika, tidak beradab sopan, dan yang lebih bahaya lagi ialah tindakan kekerasan yang hampir-hampir mencetuskan kekacauan di antara dua golongan umat yang sama-sama menunaikan ibadat puasa pada bulan yang mulia ini.

Namun begitu hal ini tidak bermakna bahawa dalam bulan puasa kita harus menangguhkan semua aktiviti kita keseluruhannya. Saya tidak berpandangan begitu, malah apa saja aktiviti yang boleh dijalankan pada bulan ini, maka aktiviti itu seharusnya dijalankan juga di dalam bulan puasa.

Cuma yang dikesalkan ialah sikap manusia yang dipengaruhi oleh sentimen, emosi keterlaluan dan fanatik melulu yang mencemarkan etika dan ajaran agama ketika berusaha menegakkan pendirian masing-masing. Hal inilah yang amat mencemarkan nama baik dan maruah orang Islam, terutamanya dalam menegakkan hujah yang palsu.

Bagaimanapun pilihan raya itu telah selesai, dan kini semuanya kembali tenang dan aman untuk kita meneruskan ibadat pada bulan mulia ini. Namun begitu, kita tidak selamanya beranggapan demikian, kerana dari amalan sesetengah kalangan orang Islam, ternyata bahawa bulan puasa tidak memberikan kesan untuk mereka menjaga adab pertuturan dan etika Islam ketika membicarakan isu-isu tertentu.

Seperti pada bulan puasa yang lepas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saban malam di masjid dan surau tertentu terdapat para penceramah yang memberikan peringatan atau tazkirah kepada para jemaah yang sedang menunaikan sembahyang tarawih.

Tazkirah mereka memanglah baik pada dasarnya iaitu untuk memberi nasihat dan peringatan sesuai dengan pesanan Allah s.w.t supaya saling ingat mengingatkan sesama insan kerana peringatan itu mungkin memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Tetapi tazkirah itu akan memberi manfaat untuk semua sekiranya isu yang dibicarakan berbentuk objektif dan terlepas dari ungkapan yang menyinggung pihak-pihak lain, atau mengandungi prasangka dan teori yang penceramah itu sendiri kadang-kadang tidak memahaminya.

Para jemaah yang datang ke surau atau ke masjid telah memasang niat yang suci, iaitu untuk datang menunaikan sembahyang tarawih, yang hanya dapat dilakukan setahun sekali.

Para jemaah itu pula terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan, pengetahuan, status sosial, dan termasuk fahaman politik yang berbeza mengikut selera masing-masing.

Orang begini tentulah tidak merasa selesa sekiranya mereka dipaksa untuk mendengar tazkirah, apa lagi apabila tazkirah itu disampaikan secara yang berat sebelah, tidak sesuai dengan pendirian dan ilmu pengetahuan mereka umpamanya, apa lagi jika dipenuhi pula dengan kata-kata yang berunsur mengumpat dan mempersendakan orang lain.

Akhirnya tazkirah yang seharusnya bermotifkan nasihat dan pesanan yang suci kerana Allah s.w.t menjadi ceramah politik yang dipenuhi oleh pandangan-pandangan individu penceramah yang tidak menyenangkan orang yang mendengarnya.

Saya akur dengan pandangan bahawa umat Islam harus berpolitik. Tetapi yang harus difahami dalam konteks ini ialah konsep dan pengertian politik dalam erti kata yang sebenarnya. Apakah politik kepartian sempit yang mengandungi kepelbagaian racun dan dosa itu harus diamalkan oleh orang Islam? Apakah bentuk ceramah pilihan raya yang dilaungkan dengan penuh emosi dan sentimen itu boleh diketengahkan sepanjang masa sehingga boleh dibawakan ke dalam masjid dan surau?

Oleh itu pada pandangan saya kita harus memahami apakah makna politik yang dibenarkan ialah akhlak dan ajaran Islam supaya dengan itu kita dapat membezakan di antara politik yang dapat membawa manfaat kepada umat kita dengan politik yang hanya memudaratkan keseluruhan umat kita.

Bulan Ramadan kini telah memasuki pertengahan jalan. Kita semua memahami hikmah dan rahsia puasa seperti yang dikehendaki agama kita. Kita mengetahui bahawa puasa adalah ibadat untuk Allah s.w.t, maka Dialah yang mengetahui amalan kita dan akan memberikan ganjarannya. Malah kita mengetahui bahawa puasa bererti mengawal semua aspek diri kita dari segi pertuturan, perbuatan, tindakan, sehinggakan perasaan hati dan niat kita semuanya haruslah berada di bawah kawalan kita sendiri.

Allah s.w.t tidak menilaikan ibadat puasa berdasarkan orang yang berpuasa, iaitu sama ada dia orang lelaki atau perempuan, tua atau muda, berilmu atau jahil, alim atau tidak alim. Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita bahawa Allah s.w.t tidak melihat kepada rupa paras dan imej seseorang, tetapi Allah s.w.t melihat kepada amalan kita untuk diberikan ganjarannya.

Maka dalam bulan puasa ini pun tidak ada orang yang merasakan ibadatnya akan terus diterima Allah s.w.t kerana sesuatu sebab yang tertentu. Semua kita adalah sama di hadapan Allah, oleh itu jagalah ibadat ini di peringkat individu masing-masing. Bulan Ramadan akan hampir meninggalkan kita, eloklah kita sedar dan insaf, agar kita tidak termasuk di dalam kalangan manusia yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat sesuatu pun kecuali lapar dan dahaga. Lapar dan dahaga itulah yang dialami, yang lain-lain tidaklah diketahui lagi.

No comments: