Wednesday, July 18, 2007

Perlunya umat Islam mahir multimedia

SUNGGUHPUN jawapan kepada persoalan apa dia dan kenapa umat manusia harus menggunakan multimedia pada masa kini, sudah terjawab dengan cara yang agak komprehensif dan mendalam di kalangan masyarakat negara-negara maju dan negara-negara yang kukuh prasarana sains teknologi dan ilmu pengetahuannya, namun bagi kita di Malaysia, khususnya di kalangan umat Islam, mungkin persoalan ini tidak banyak yang dapat difahami dan masyarakat keseluruhannya masih mencari-cari jawapannya yang tepat dan konsepnya yang jelas.

Malah dalam kegawatan sosial dan budaya yang sedang dihadapi negara, khususnya yang mencabar dan menggugat nilai-nilai agama dan cara hidup orang-orang Islam, maka masyarakat Islam sering menjadi spektikal dan mengambil sikap permusuhan secara total kepada sesuatu alat teknologi baru seperti multimedia ini.

Orang-orang Islam menjadi 'fobia' dan ketakutan melulu kepada peralatan elektronik yang dianggap sebagai satu penyumbang kepada kerosakan moral dan akhlak bangsa, khususnya golongan muda, seperti TV yang banyak menghidangkan 'makanan' beracun kepada penonton dengan program-program yang berbentuk permisif, tanpa nilai-nilai positif, atau menjadi mentor dan guru untuk mendidik penonton mengikut acuan Barat melulu yang lebih banyak menjurus kepada masyarakat antinilai dan antimoral, malah antiagama.

Maka dalam kegawatan sosial yang dihadapi ibu bapa dan masyarakat umumnya, yang diletakkan sebahagian besar kesalahannya ke atas TV, filem, video dan sebagainya, tiba-tiba muncul pula alat baru, iaitu komputer, dengan segala 'sampah sarap' yang dibawanya menurut apa yang mereka dengar daripada percakapan awam dan berita-berita yang disebarkan tentang keburukan komputer yang menjadi alat multimedia dan Internet itu, lalu ketakutan dan kebimbangan mereka menjadi lebih memuncak, dan kebimbangan inilah yang membentuk sikap mereka dan orang-orang awam untuk lebih berhati-hati dalam mendekati apa lagi mengambil peluang daripada kemajuan dan pembangunan multimedia ini.

Sebenarnya sikap ini termasuk dalam ungkapan yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali ibn Abu Talib bahawa ''kita sering takut terhadap sesuatu yang tidak kita ketahui''. Oleh itu ketakutan kita kepada multimedia, khususnya komputer dan Internet kerana kita tidak tahu dan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang kegunaan teknologi ini. Ilmu yang ada sedikit-sedikit tentangnya mungkin hanya berdasarkan kepada sumber-sumber yang tidak sah, atau komen-komen jalanan yang negatif, tidak bersifat saintifik dan menyeluruh tentang fungsi dan manfaat multimedia.

Dalam Seminar Multimedia dan Islam anjuran IKIM pada 26 - 27 Mei, 1998 para peserta mendengar dan mempelajari hampir segala aspek tentang multimedia dan peluang-peluang yang harus diambil oleh umat Islam dalam penggunaan teknologi ini untuk kebaikan bersama. Umat Islam mempunyai ruang yang baik melalui multimedia untuk memprojekkan nilai-nilai sejagat Islam dan mengemukakan penyelesaian terhadap isu dan masalah kemanusiaan berdasarkan ajaran Islam yang murni.

Cerita-cerita tentang unsur negatif dalam penggunaan Internet tidak seharusnya menjadi penghalang untuk ibu bapa dan anggota masyarakat Islam dalam menggalakkan anak-anak menjadi celik komputer. Memanglah komputer boleh memprojekkan imej-imej buruk tentang unsur-unsur lucah, dan boleh menjadi alat propaganda menyeleweng yang boleh mengeliru dan meracuni pemikiran mereka, tetapi langkah-langkah yang perlu haruslah diambil untuk menghadapi dan mengatasi cabaran ini secara khusus.

Tidak semestinya penyalahgunaan media elektronik ini akan merupakan satu halangan yang membantut usaha kita bagi memanfaatkan teknologi maklumat dan multimedia ini secara membina dan secara positif untuk kepentingan kita juga.

Multimedia sebenarnya menggabungkan industri komputer, komunikasi dan pengisian. Industri multimedia ini merupakan satu revolusi perubahan dunia yang sedang berlaku dengan pesat dan yang dapat mengatasi lebih jauh segala revolusi sebelumnya seperti media cetak, TV, telefon dan sebagainya.

Multimedia telah menunjukkan tanda-tanda yang jelas bahawa ia sedang melakarkan dunia umumnya, dengan kesan dan pengaruhnya yang amat besar terhadap kehidupan sosial dan politik sejagat.

Pembangunan ekonomi dunia melalui multimedia amat ketara sekali dan khususnya pembangunan ekonomi Amerika telah diuruskan dengan amat cekap melalui multimedia. Para peserta seminar IKIM yang tersebut diberitahu oleh seorang penceramah bahawa pada tahun 1996, di Silicon Valley, terdapat 11 syarikat ditubuhkan setiap hari, pada setiap lima hari satu syarikat disenaraikan di Bursa Saham dan melahirkan puluhan jutawan baru dalam jangka masa yang tersebut. Oleh itu Naib Presiden Amerika Syarikat, Al-Gore sejak tahun 1994 lagi menegaskan kepada rakyat Amerika supaya jangan berlengah-lengah lagi menguasai dan memimpin teknologi maklumat yang baru supaya perniagaan Amerika akan meningkat berlipat ganda di pasaran dunia.

Sungguhpun kemajuan yang disebutkan itu merupakan kemajuan ekonomi yang boleh dihubungkan dengan kepentingan kebendaan dan wang, tetapi sebenarnya ekonomi yang dibangunkan adalah berdasarkan ekonomi yang mengutamakan ilmu pengetahuan dan ekonomi maya, yang membuka lembaran minda dan pengetahuan manusia. Aset sebuah syarikat ialah agenda yang pintar dan pekerja yang pintar. Buruh dan pekerja atau manusia itu bukanlah komoditi, malah pengetahuan, kepintaran dan kreativiti menjadi kunci kejayaan bagi seseorang dan organisasi yang tertentu.

Dunia yang dikuasai multimedia beginilah yang akan menjelma menjelang alaf baru nanti. Oleh itu terlepas dari prasangka yang tidak berasas dan kekalutan pemikiran yang masih keliru, maka umat Islam dan dunia Islam seharusnya dapat sama-sama mengejar, menyaingi dan mengambil peluang daripada pembangunan teknologi ini untuk menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka di atas muka bumi ini yang diberi amanah sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t.

Teknologi maklumat merupakan pembuka hati, pembuka telinga dan pandangan manusia yang sering diperingatkan Allah s.w.t. supaya manusia ini memanfaatkannya dengan bersungguh-sungguh. Firman Allah s.w.t.: ''Allah telah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu, sedang kamu tiada mengetahui suatu apa pun; dan Dia adakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati, mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadaNya''. (al-Nahl, ayat 78).

Dan firman-Nya lagi: ''Kemudian Dia sempurnakan kejadiannya dan Dia tiupkan roh ke dalamnya, dan Dia adakan untukmu pendengaran, penglihatan dan hati.'' (al-Sajdah, ayat 9).

Jelaslah dari sini bahawa proses kejadian dan kematangan manusia boleh juga diterjemahkan dalam proses aplikasi multimedia yang menggabungkan aspek audio (pendengaran) visual (penglihatan) dan analisis (hati atau minda). Semoga dengan ini orang-orang Islam akan dapat cuba mencari jawapan kepada persoalan apa dan kenapa multimedia, seterusnya bersikap positif dan menceburi secara aktif dalam alam multimedia.

No comments: