Wednesday, July 18, 2007

Islam: Sumbangan Malaysia diiktiraf

SEKURANG-KURANGNYA tiga buah negara Islam di Timur Tengah telah memberi pengiktirafan rasmi dan menerima baik mesej Islam yang disuarakan Malaysia selama ini kepada dunia luar, Timur dan Barat.

Pengakuan rasmi kali ini datangnya dari negara Mesir dengan penganugerahan ijazah doktor falsafah kehormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dari universiti Islam tertua di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar.

Bagi sesetengah kalangan, mungkin hal ini dianggap sebagai perkara enteng dan biasa saja, tetapi jika ditinjau dari segi rekod universiti berkenaan, dan pengiktirafan negara Mesir kepada pemimpin di luar dunia Arab dalam bidang sumbangan dan kepimpinan Islam, maka anugerah ini membawa makna yang besar dan bererti, serta menggambarkan satu perubahan persepsi dunia Islam kepada perjuangan Islam di dunia Melayu di Asia ini.

Hal ini dikukuhkan lagi dengan pengiktirafan Saudi Arabia terhadap penonjolan Malaysia dalam membangunkan Islam di dunia Islam dan di kalangan dunia antarabangsa dengan penganugerahan yang diberikan kepada Perdana Menteri tidak lama dulu dan berita terakhir mengatakan bahawa PM juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Al-Khartoum di Sudan.

Pada saya, pengiktirafan yang diberikan kepada Malaysia dalam pembangunan Islam ini merupakan satu bentuk pandangan negara-negara tersebut yang merestui cara penghayatan dan pelaksanaan Islam yang diamalkan di Malaysia, di samping modus-operandi yang dilakukan dalam hal ini.

Isu-isu sensasi yang sering dibangkitkan tentang Islam terutamanya di kalangan masyarakat Barat ketika membicarakan tentang Islam ialah isu demokrasi, kebebasan, hak asasi manusia dan kedudukan wanita. Isu-isu ini sering disalahtafsirkan dan sering dikategorikan sebagai isu yang menjadikan Islam itu pada tanggapan mereka satu agama yang mundur, mengamalkan diskriminasi dan tidak berdaya menyaingi tamadun Barat kini.

Dalam menangani isu-isu ini di Malaysia, kita berjaya mengambil pendekatan yang amat praktikal sehingga pandangan-pandangan negatif terhadap Islam dalam konteks isu-isu tersebut dapat dibuktikan sebagai tuduhan-tuduhan melulu yang mempunyai motif politik dan ekonomi semata-mata, tanpa kehadiran sebarang elemen yang mempunyai hubungan dengan isu tamadun dan ilmu pengetahuan. Melalui mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri sama ada di forum-forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, OIC, dan G-15 baru-baru ini, atau di forum-forum kebangsaan, mesejnya jelas bahawa Malaysia memperjuangkan Islam yang toleran, adil, terbuka dan sederhana. Malah masyarakat Barat sendiri yang mempunyai persepsi salah tentang Islam terutamanya apabila melibatkan isu menegakkan keadilan bagi umat Islam yang tertindas, maka Barat sering mengamalkan sikap double standards.

Satu perkara lain yang agak menonjol di Malaysia dalam konteks ini, iaitu ketika membicarakan isu demokrasi dan kebebasan, hak asasi manusia, kedudukan wanita, dan sebagainya, maka kita di Malaysia sudah agak terkehadapan dari segi pratikaliti dan pelaksanaannya untuk membuktikan kepada dunia bahawa kita benar-benar menghayati dasar Islam dalam hal-hal yang tersebut.

Kita tidak mengehadkan diri dalam teori dan retorika, tetapi kita telah menunjukkan kepada dunia dengan model dan contoh serta realiti umat Islam di Malaysia dalam menonjolkan diri dan memainkan peranan aktif sesuai dengan falsafah, ajaran dan nilai-nilai Islam itu sendiri.

Kita masih dapat mempertahankan dasar demokrasi yang dituntut Islam dalam perpaduan bangsa, penerimaan dan penyerapan orang-orang bukan Islam dalam perkongsian kuasa politik, peluang-peluang ekonomi, pendidikan, kebebasan beragama dan sebagainya.

Pergantungan kepada sistem ekonomi conventional berasaskan sistem ekonomi kapitalis tidak mencegah kita untuk membangunkan aktiviti ekonomi yang berasaskan syariah dan berdasarkan sistem tanpa riba yang semakin hari semakin popular di dalam masyarakat kita termasuk masyarakat bukan Islam.

Sistem pendidikan Islam di negara kita mengalami anjakan paradigma yang mungkin mengejutkan sesetengah kalangan masyarakat primitif Islam sendiri di negara kita, iaitu dengan timbulnya rombakan-rombakan sistem pendidikan Islam yang lebih berbentuk kesepaduan ilmu wahyu dan ilmu akal sehingga kemuncaknya melahirkan pusat pengajian tinggi Islam dalam bentuk baru yang berasaskan konsep kesepaduan ilmu ini, pada tahun 1983, iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sistem kesepaduan ilmu menurut konsep pendidikan Islam yang sebenarnya ini menolak sistem tradisional yang lebih banyak memperkuatkan konsep pemisahan ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Malah dalam penonjolan masyarakat Islam sendiri, orang-orang Islam di Malaysia telah dapat membuktikan kepada dunia bahawa mereka tetap berkeyakinan bahawa nilai dan etika Islam merupakan teras kepada kesejahteraan manusia di tengah-tengah pergolakan dan persaingan ekonomi yang amat mencabar. Walau sehebat mana sekalipun ekonomi memainkan peranannya dalam membentuk dunia moden pada hari ini, namun akhlak dan etika tetap merupakan ciri penting kesejahteraan manusia.

Dengan itu dasar kebendaan dan gelojoh melulu dalam mencari kebendaan tetap ditolak dan dijauhi.

Umat Islam di Malaysia masih tetap dapat menolak dasar sekularisme walaupun dalam cabaran pembangunan dan proses industrialisasi begitu pesat sekali pada hari ini.

Kita tidak pernah menganggap agama sebagai sesuatu yang terpisah dari segala aspek kehidupan kita walau sekuat mana sekali pun tekanan pembangunan yang kita terima. Terlepas dari beberapa tanggapan negatif kumpulan-kumpulan yang tertentu, wanita Islam di Malaysia terus diberikan hak mereka dan amat aktif menceburi diri mereka dalam bidang dan aktiviti yang direstui agama dan tradisi kita. Agama dan budaya kita tetap masih segar membentuk dan mendorong pembangunan wanita dalam masyarakat berpaksikan sistem nilai yang positif.

Dalam hal ini, ditambah dengan usaha kita yang lain seterusnya, maka dunia Islam dan bukan Islam merasakan bahawa Malaysia dapat menyumbang kepada dunia dalam memajukan Islam dalam konteks dunia moden pada hari ini. Kita telah dapat membuktikan kepada dunia bagaimana Islam boleh menjadi kuasa positif untuk menegakkan keadilan, keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat.

Atas dasar inilah sesungguhnya pengakuan dan penghormatan yang diberikan kepada Malaysia merupakan satu pengiktirafan yang ikhlas, dan kita harap hal ini merupakan satu cahaya yang akan menerangi jalan perjuangan kita seterusnya, kerana jalan ini sebenarnya masih terlalu panjang, terlalu banyak ranjau dan durinya dan terlalu banyak cabarannya, termasuk dari kalangan umat kita sendiri yang masih belum mahu menerima perubahan.

No comments: