Wednesday, July 18, 2007

Kebebasan dan maruah

PENONTON-PENONTON televisyen di Malaysia baru-baru ini berpeluang menonton filem yang mengesahkan tentang kisah peribadi Puteri Diana dengan segala suka dukanya.

Di samping itu tentu ramai juga penonton kita yang telah menyaksikan filem tentang hubungan peribadi Presiden Amerika Syarikat dengan teman wanitanya.

Kalau puteri di raja mempunyai teman lelaki yang didampingi, ditiduri dan dilakukan apa saja yang sepatutnya dianggap sulit dan amat peribadi, maka Presiden juga bertindak demikian.

Kedua-duanya melakukan perbuatan sumbang di hadapan para pekerja, pengawal peribadi, tukang cuci, tukang andam dan semua orang di sekeliling mereka, tanpa rahsia atau berselindung lagi di atas nama 'cinta'.

Ramai orang yang menontonnya menafsirkan perbuatan puteri diraja sebagai satu tindakan yang adil kerana kecuaian suaminya. Malah dalam kisah Presiden itu pun, nampaknya segala tingkah laku dan perbuatan Presiden adalah dianggap sebagai isu peribadi.

Sebab itulah akhirnya filem tersebut memberi kesimpulan bahawa tindakan peribadi tidak menjejaskan kariernya dan beliau dipilih lagi untuk menjadi Presiden.

Saya di sini tidak berniat untuk membicarakan isu ini, sama ada ia adil atau tidak adil, perlu atau tidak perlu didedahkan kepada umum. Daripada penilaian Barat, ukuran perhubungan yang boleh dijustifikasikan di antara lelaki dan wanita ialah perasaan 'cinta'.

Perasaan ini pula menjustifikasikan tindakan apa saja oleh pasangan berkenaan. Cinta pada mereka ialah hubungan emosi dan jasad yang perlu dipenuhi tuntutan-tuntutan emosi dan jasad itu walaupun tanpa melalui ikatan perkahwinan.

Cinta antara lelaki dan wanita merupakan lesen anugerah sendiri untuk mereka melakukan segala tindakan mereka seterusnya, tanpa dapat diganggu- gugat lagi.

Melihat kedua-dua buah filem tersebut yang mengandungi banyak unsur pornografi itu, maka timbul pula soal media yang bersusah payah mendedahkan hubungan itu kepada umum melalui kedua-dua filem yang berkenaan. Atas nama kebebasan dan jaminan hak asasi serta demokrasi, pastilah penerbit kedua-dua filem itu akan mempertahankan tindakan mereka berhabis-habisan.

Malah di samping itu mereka mendapat kepujian pula kerana 'keberanian' dan 'kejayaan' mereka mendedahkan banyak perkara yang selama ini tidak diketahui umum tentang kisah-kisah sensasi dan pengalaman serta peristiwa-peristiwa menarik peribadi dan watak yang digambarkan.

Namun apa sahaja yang dibicarakan orang, ternyata bahawa kedua-dua filem itu telah berjaya meraih keuntungan yang besar kerana pasarannya cukup meluas dan mendapat sambutan luar biasa.

Siapa yang tidak mahu mengetahui kisah peribadi orang lain, apatah lagi peribadi 'besar' dan 'terkenal' seperti puteri diraja dan Presiden masing-masing dari dua buah negara maju yang melambangkan 'kuasa besar' dunia itu?

Kita di sini, di negara kita yang penuh adat tradisi, sopan santun bangsa dan agama ini pun, sebenarnya mulai dilanda wabak penyakit yang tersebut di atas.

'Penyakit' yang kita anggap parah dalam konteks nilai kita, sebenarnya mula dipandang ringan, kerana hal itu tidak dianggap 'penyakit' lagi di dunia Barat. Atas nama kemajuan, maka masyarakat kita juga sering dibaratkan.

Kalau di Barat masyarakatnya tidak perlu mewujudkan sesuatu yang dapat dianggap 'peribadi' atau privacy, maka kita juga boleh mendedahkan rahsia peribadi dan sifat buruk orang lain secara melulu. Kita juga mungkin tidak ada sesuatu yang 'sulit' lagi.

Media kita sendiri kadang-kadang agak terlanjur dalam hal ini. Banyak tabloid hiburan yang mencungkil hal-hal peribadi, terutamanya daripada kalangan para artis, untuk didedahkan kepada umum. Perbuatan ini dilakukan, kerana 'kelazatan' bergosip dan membicarakan hal orang lain.

Pada saya tujuan media tersebut adalah jelas, iaitu untuk tujuan komersial, bagi mengaut keuntungan yang besar hasil daripada jualan penerbitan-penerbitan itu, kerana penerbitan-penerbitan picisan inilah yang sering dibaca dan dilanggani dengan hebatnya oleh pembaca-pembaca kita.

Namun berbalik kepada bahan-bahan yang ditawarkan untuk penerbitan-penerbitan picisan itu, maka saya rasa tidak kurang juga 'puteri raja' atau 'presiden' daripada kalangan masyarakat kita sendiri yang sanggup merelakan diri mereka didedahkan oleh para penulis dan wartawan picisan itu pula, di dalam penerbitan-penerbitan 'popular' di negara kita.

Tapi di negara kita tentulah bukan presiden atau puteri raja yang sebenarnya menjadi bahan gambaran tersebut, malah mereka diwakili oleh golongan yang sedang 'menempah nama' sedang 'meningkat naik' dan yang 'telah maju' dalam dunia glamor.

Dunia glamor di negara kita bukan dunia intelek dan ilmu pengetahuan, atau dunia kepimpinan dan politik, tetapi dunia hiburan, lakonan dan nyanyian. Inilah dunianya yang sering diintai-intai oleh media dan pembaca, bukan untuk mencari sesuatu yang baik untuk dijadikan teladan, malah sesuatu yang buruk untuk ditiru atau sekurang-kurangnya menjadi pengetahuan peribadi.

Memang tidak ada hak sesiapa pun untuk mengambil tahu dan mengganggu kehidupan peribadi orang lain. Tetapi masyarakat tentulah akan terganggu sekiranya 'hal peribadi' itu didedahkan kepada umum kerana hal-hal ini jelas menyentuh maruah dan bertentangan dengan nilai-nilai bangsa dan agama kita, apatah lagi apabila hal itu didedahkan melalui media cetak dan elektronik, melalui drama dan sebagainya.

Kalau gambar-gambar menjolok mata Puteri Diana dapat disebarkan ke seluruh dunia melalui berbagai-bagai penerbitan bercetak dan elektronik, maka media kita juga dapat menyiarkan gambar-gambar 'Puteri Diana' atau 'Putera Charles' kita sendiri dengan kekasih-kekasih mereka dengan lagak dan cara yang sama tanpa menghiraukan perasaan umum lagi.

Orang-orang dunia 'glamor' sudah dapat muncul di hadapan kamera dengan berlagak sebagai pasangan yang amat intim semata-mata kerana mereka sedang bercinta atau bertunang. Berbaring di atas riba dan sofa penuh ghairah. Berpeluk-pelukan seperti pengantin baru dan berbagai-bagai lagak sumbang yang lain.

Persoalan pokok kita, ialah isu moral dan etika, nilai-nilai bangsa dan agama. Apakah masyarakat liberal seharusnya bersifat permisif tanpa kehormatan dan maruah diri? Dan pada media pula, apakah kebebasan media untuk mencetak apa saja demi keuntungan maka tidak perlu lagi dijaga soal moral dan akhlak?

Apakah tidak kita sedari akan pengaruh negatif hal-hal seperti itu ke atas anak muda dan remaja kita?

Kita bukan Barat. Kita masih ada garis pemisah antara soal-soal peribadi dan umum, antara perkara-perkara sulit dan yang boleh didedahkan kepada umum, antara kebebasan dan maruah, antara sopan dan lucah, antara megah dan malu, antara agama dan tidak beragama.

No comments: