Wednesday, July 18, 2007

Gerakan pemusnah agama

KISAH seorang ibu kehilangan anak gadis kesayangannya seperti yang saya catatkan di ruangan ini pada 3 April lalu masih segar dalam ingatan, dan mendapat reaksi emosional dan mental yang agak hangat melalui maklum balas yang saya terima dari semua peringkat.

Kisah ini menarik perhatian kerana ianya melibatkan sikap anak gadis tersebut yang menjadikan ibu bapanya sebagai musuh nombor satu dan menjadikan semua anggota keluarga dan teman-teman baiknya juga sebagai musuh ketat.

Transformasi yang dialami anak gadis itu ternyata amat serius, iaitu seratus peratus terbalik dari peribadi dan sikap serta mental dan peranannya ketika ia masih normal dari sekolah rendah menjelang ke tingkatan lima. Andaian yang dibuat oleh ibunya ialah anak gadisnya besar kemungkinan telah melalui proses penyucian mental dan fikiran dari kalangan yang tertentu yang ada hubungan dengan God person.

Nama ini dicatat sendiri oleh anaknya dalam buku hariannya sebagai orang yang ditemuinya dalam proses transformasi peribadinya itu.

Andaian kita pula mungkin dapat disimpulkan bahawa proses transformasi mental dan pemikiran ini mempunyai hubungan dengan ideologi agama dan ketuhanan, kerana God person yang disebutkannya itu mungkin merupakan Tuhan dalam konsepnya yang tersendiri, atau sebarang peribadi yang mempunyai hubungan dengan penjelmaan Tuhan di dalam dirinya, atau yang mengakui dirinya sebagai Tuhan, utusan Tuhan dan sebagainya.

Pengaruh orang perantaraan atau ''Tuhan'' ini mengatasi segala hubungan ke ibu bapaan dan kekeluargaan serta kawan rakan karib, kerana ibu bapa tidak lagi ditegur sapa, keluarga tidak lagi perlu dilayan dan teman-teman karib juga tidak perlu dilawan berbicara dan berbincang.

Kisah ini saya kemukakan dengan satu tujuan sahaja, iaitu untuk memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa dalam era persaingan ekonomi dan teknologi pada hari ini, di luar sana terdapat juga persaingan golongan dan kalangan orang-orang yang cuba mengembangkan pengaruh ideologi kepercayaan agama dan anutan yang tertentu, dan adakalanya melalui platform ekonomi dan teknologi maklumat.

Mereka akan mencari titik kelemahan anak-anak muda untuk disuntik dengan racun berbisa yang tanpa disedari oleh anak-anak itu akan meresapi ke dalam darah daging dan pemikirannya sehingga mereka berubah menjadi manusia yang lain.

Inilah proses yang berlaku di dunia moden pada hari ini, iaitu pengisian rohani dan mental dengan ajaran-ajaran tertentu yang dapat mempengaruhi fikiran dan tindakan manusia yang adakalanya menjelma dalam bentuk ajaran sesat seperti golongan cult tertentu yang pernah berlaku di Jepun, England, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Pengikut-pengikut ajaran sesat cult ini akan menumpahkan sepenuh taat setia dan menaruh keyakinan penuh kepada pemimpin dan ketua mereka sehingga ke satu tahap yang tidak ada tolok bandingnya.

Mereka akan patuh kepada sebarang arahan ketuanya, walaupun ke tahap yang membinasakan diri sendiri, seperti membunuh diri dengan apa cara sekali pun. Gerakan pemusnah personaliti dan identiti ini merupakan satu gerakan antarabangsa dengan jaringan dan networking yang amat luas. Kita tidak tahu apakah anak gadis yang terlibat dalam peristiwa ini menjadi mangsa jaringan tempatan dan seberang laut.

Tetapi yang kita tahu anak ini berjaya melarikan diri ke luar negara dan sedang melanjutkan pelajaran di England dengan dijaga oleh guardian atau penjaga yang misteri, tidak diketahui oleh ibu bapanya sendiri.

Hal seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa dan pada bila-bila masa sahaja. Ia mungkin boleh mulai berlaku di pusat tuisyen seperti yang berlaku kepada gadis ini, atau di tempat lain melalui sesiapa saja yang tidak diketahui. Ibu bapa haruslah lebih tajam pandangannya kepada tingkah laku dan gerak geri anak-anaknya, terutamanya tentang cara berfikir dan perubahan kepekaannya terhadap nilai dan budaya tradisi keluarga dan agama.

Dalam keadaan pengaruh nilai-nilai sejagat dan masyarakat permisif, berbagai-bagai perubahan mengejut boleh berlaku kepada diri seseorang itu, terutamanya yang dapat mengubah persepsi dan world-viewnya.

Kemajuan teknologi maklumat merupakan satu unsur lain yang dapat memberi cabaran hebat kepada sistem kepercayaan dan ajaran agama pada hari ini. Menyebut tentang agama, saya tidak bermaksudkan Islam sahaja, malah termasuk juga agama-agama lain yang turut dicabar dan digugat kedudukannya, dan dalam hal ini Islam semestinya menghadapi cabaran yang amat hebat kerana ia mempunyai sistem yang meliputi segala aspek kehidupan manusia.

Dalam laman web Internet yang boleh dimasuki oleh sesiapa saja umpamanya, terdapat berbagai-bagai pengisian yang mempersoalkan tentang relevansi agama dalam masyarakat moden. Persoalan-persoalan itu dibangkitkan di atas nama hak asasi mutlak manusia dan amalan demokrasi dan kebebasan individu, termasuk isu kebebasan berfikir dan menganut sistem kepercayaan sendiri.

Seorang Islam yang memberi nama Islamnya menyediakan lamannya sendiri di dalam Internet dan mempersoalkan tentang ajaran Islam yang melarang manusia mengamalkan homoseksual, iaitu di manakah keadilan Islam dalam hal ini dan apakah rasionalnya larangan tersebut diwujudkan sedangkan manusia ini mempunyai keinginan dan perasaannya sendiri?

Apabila isu seperti ini ditimbulkan dalam laman web, maka akan terjalinlah interaksi dengan seluruh dunia. Si pemunya laman ini akan menerima banyak maklum balas yang menyokong pendiriannya sehingga mereka dapat melahirkan semacam pandangan yang cukup mantap dan established tentang isu ini, iaitu mengapa agama menjadi penghalang untuk manusia mengamalkan kebebasan mereka yang asasi.

Keadaan ini menjadi lebih kusut apabila laman ini diperkembangkan menjadi saluran kumpulan gay dan lesbian yang menamakan diri mereka Muslim Gay and Lesbian dengan menyuarakan protes mereka terhadap agama dan seribu satu persoalan yang dibangkitkan menyentuh segi rasional dan logik bercirikan asas-asas pemikiran bebas dan dasar sekularisme.

Tambah tidak menyenangkan kita orang Melayu ialah apabila laman yang sama digunakan oleh kumpulan keturunan Arab di Amerika Syarikat untuk mengiklankan persatuan gay dan lesbian Arab di US bagi mencari ahli untuk tujuan interaksi dan menjalankan aktiviti bersama.

Saya menyebut tidak menyenangkan orang Melayu, kerana orang awam kita sering melihat Arab sebagai model terbaik agama. Maka anak-anak kita juga mungkin akan bertanya: ''Kalau mereka boleh buat kenapa kita tidak boleh?''

Cabaran dan pengaruh sejagat dengan berbagai-bagai cara itu sesungguhnya haruslah berada dalam maklumat kita. Para cendekiawan, pimpinan, ibu bapa, pendidik dan semua golongan haruslah menyedari cabaran-cabaran yang dibawa oleh manusia sekarang melalui berbagai-bagai saluran dan jaringan, termasuk cabaran-cabaran terhadap ajaran asas dan teras agama yang telah kita warisi dari sumber asal, al-Quran dan Sunah.

Sebelum berlaku seperti peristiwa yang dialami oleh ibu tadi, atau yang lebih besar lagi, maka kita seharusnya menjadi lebih awas dengan mengenal pasti masalah dan cabaran itu serta membekalkan anak-anak kita dengan ilmu pengetahuan dan pendirian yang kukuh dalam menghadapi segala arus dan badai kehidupan global dan moden ini.

No comments: