Wednesday, July 18, 2007

Membina nilai bangsa Malaysia

HARI Raya Korban yang disambut hari Selasa lalu bukan sahaja merupakan hari mengingati dan menghayati sunah Nabi Allah Ibrahim a.s. tentang perintah Allah untuk mengorbankan putera baginda Ismail, tetapi juga merenung kembali dan mengambil iktibar tentang sejarah perjalanan Nabi Ibrahim a.s. yang begitu prihatin tentang keturunan baginda umumnya.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 124, yang bermaksud: Dan ingatlah tatkala Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa perintah, lalu ia menyempurnakannya, (dan) dia berfirman, ''Sesungguhnya Aku hendak jadikan kamu ketua bagi manusia'' (maka ia (Nabi Ibrahim) bertanya: Daripada keturunanku (juga)? ''Dia (Allah) menjawab, ''perjanjianku tidak akan mengenai orang-orang yang zalim.''

Keprihatinan Naib Ibrahim jelas terbayang iaitu ketika baginda sendiri akan dilantik untuk memimpin manusia seluruhnya, maka baginda bertanya kepada Allah s.w.t. apakah anak cucu dan keturunannya juga akan dilantik menjadi pemimpin manusia seperti dirinya sendiri. Maka kepada pertanyaan inilah Allah menjawab bahawa janji Allah untuk baginda bukanlah janji yang menyeluruh, iaitu janji bagi Nabi Ibrahim untuk menjadi pemimpin manusia tidak akan dirasai oleh anak cucunya yang zalim dan tidak berlaku adil.

Keprihatinan Nabi Ibrahim tentang anak cucunya secara langsung dijawab oleh Allah yang memberi isyarat bahawa keturunan baginda tidak akan mewarisi kuasa baginda secara mutlak berasaskan warisan, malah mereka haruslah terdiri daripada manusia-manusia yang dapat berlaku adil, tidak bersifat zalim dan sebagainya.

Sebab itulah dalam urutan sejarah Nabi Ibrahim seterusnya Allah menjelaskan tentang perintah-Nya supaya Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail membersihkan rumah-Nya, iaitu Kaabah untuk orang-orang yang beribadat, tawaf, rukuk dan sujud di dalamnya. Kerjasama ayah dan anak ini merupakan satu simbol gabungan dua generasi penyambung untuk manusia Muslim sejagat yang berkekalan hingga ke hari ini dan masa yang akan datang.

Baginda pun (Nabi Ibrahim) mengambil berat tentang peringatan Allah s.w.t. bahawa dasar kepimpinan warisannya haruslah diasaskan di atas kesaksamaan, keadilan dan tidak berlaku kezaliman. Sebab itulah dalam surah yang sama ayat 127 dan 128 Allah s.w.t menjelaskan doa restu dan munajat Nabi Ibrahim kepada Allah s.w.t. seperti berikut.

Dan (ingatlah) ketika Ibrahim membina dasar-dasar Baitullah berserta Ismail (seraya berkata): Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Penerima Taubat Lagi Maha Penyayang.''

Doa Nabi Ibrahim ialah memohon Allah menunjukkan jalan yang lurus dan benar dalam mengerjakan ibadat mereka, juga memohon keampunan di atas segala keterlanjuran yang mungkin berlaku.

Mesej penting daripada beberapa ayat tentang kisah sejarah ini, ialah keprihatinan bapa terhadap kebahagiaan anak cucu dan keturunannya di dunia dan akhirat. Kalau dalam peristiwa yang memohon pengorbanan ayah dan anak ketika Allah memerintahkan ayah menyembelihkan anaknya, dan peristiwa itu berakhir dengan penutup yang melegakan, iaitu anak diganti dengan binatang korban, maka peristiwa-peristiwa selanjutnya menceritakan tentang pembentukan kerjasama fizikal dan mental serta aktiviti kerohanian ayah dan anak untuk membina keluarga mantap bercirikan unsur-unsur dunia akhirat, jasmani dan rohani.

Iktibar ini amat tepat pada masanya ketika kita menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini iaitu ketika kita sendang menyusun agenda membentuk keluarga bahagia berteraskan nilai-nilai murni akhlak dan kerohanian Islam sejagat. Nilai-nilai sejagat yang dimaksudkan itu ialah untuk dihayati dalam tradisi umat manusia keseluruhannya di sepanjang zaman.

Dalam konteks kita, nilai-nilai sejagat Islam tentang moral dan rohani perlu dikenal pasti dan dihayati dalam membentuk bangsa Malaysia yang mantap, berdisiplin, berkualiti dan bermaruah, jauh daripada tradisi dan budaya hidup yang merugikan, yang termasuk dalam istilah al-Quran sebagai lahwu dan laghwu, lalai dan sia-sia.

Saya membaca kenyataan Timbalan Presiden MCA Ahad, 5 April 1998 yang lalu dengan penuh minat dan amat menarik sekali. Beliau ketika menyatakan sokongannya kepada program tiga tahun untuk mengikis tradisi perjudian, kepercayaan khurafat, majlis makan amalam secara mewah dan adat tradisi kaum Cina di Malaysia, menyatakan bahawa ''perjudian tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya kaum Cina. Hal yang sama juga boleh ditujukan kepada majlis jamuan makan malam sepuluh course yang memakan masa beberapa jam.''

Kenyataan ini amat menarik, kerana hal ini juga merupakan satu isu keluarga dalam pembentukan generasi baru yang mengalami anjakan paradigma yang selama ini menghantui pandangan generasi lama. Kenyataan ini juga menggambarkan sebahagian daripada usaha bersama semua etnik secara sepadu dalam membentuk nilai dan budaya orang-orang Malaysia.

Saya sendiri selama ini sering mendapat kesan daripada maklumat-maklumat yang didengar dan dibaca, bahawa perjudian dan kepercayaan kepada khurafat adalah merupakan sebahagian daripada tradisi dan budaya kaum Cina yang tidak mungkin dikikis sama sekali.

Tetapi kenyataan Timbalan Presiden MCA itu nampaknya memberi satu persepsi baru tentang budaya kaum Cina yang boleh direformasi dan dibangun semula dengan program tiga tahun yang dicadangkan itu ke arah yang lebih positif dan membina.

Saya percaya bahawa kesungguhan program itu dan keazaman kental para pendukungnya akan berjaya membuka minda orang ramai tentang keperluan membina kehidupan yang lebih baik berasaskan satu nilai murni yang dinamik dan berkualiti.

Malah sebelum ini pun iaitu pada 4 April saya membaca kenyataan Presiden MCA sendiri yang menyatakan bahawa ''Pembangunan kerohanian mestilah diberikan penekanan yang sewajarnya di samping pembangunan ekonomi. Kepentingan kasih sayang, keprihatinan, perkongsian, memberi dan menerima, haruslah diterapkan di dalam masyarakat pada hari ini, kerana pembangunan ekonomi sahaja tidak dapat menjamin kemajuan bangsa seluruhnya.''

Kenyataan-kenyataan ini pada saya adalah kenyataan yang amat membina kerana ia dibuat atas dasar budaya dan pembangunan bangsa. Penerapan dan amalan nilai-nilai positif moral dan kerohanian tidak semestinya hanya mengambil pendekatan ritual atau ibadat semata-mata yang biasanya diasaskan kepada ajaran agama.

Memang benar bahawa bagi orang-orang Islam nilai-nilai moral kerohanian ini cukup lengkap dan amat menyeluruh dalam ajaran agama Islam, tetapi satu hal yang harus disedari bahawa nilai-nilai ini perlu disampaikan dalam bentuk kepelbagaian dimensi, sosial, budaya, psikologi, sejarah, falsafah dan sebagainya, dan hal ini tentulah tidak memadai dengan satu dua khutbah, ceramah atau forum rasmi sahaja.

Orang Islam sendiri mungkin memerlukan program berjangka seperti yang cuba ditunjukkan oleh MCA. Mungkin banyak program berorientasikan budaya dan sosiologi bangsa Melayu yang perlu dikaji dan disusun serta ditangani dengan sebaik-baiknya dalam membangun masyarakat Islam di Malaysia yang bermoral dan berakhlak.

Orang Melayu dengan gambaran negatif generasi mudanya yang banyak terlibat dengan gejala sosial, mungkin tidak menghadapi masalah yang besar tentang sembahyang dan puasa serta ibadat dan ritual yang lain. Tetapi isu keseluruhannya ialah isu moral dan akhlak, isu penghayatan nilai dan etika murni, termasuk nilai-nilai murni dan etika keislaman itu sendiri.

Selain daripada usaha ibu bapa dan institusi pendidikan formal di negara kita, maka saya rasa bahawa kerjasama di antara para sarjana dan ulama dengan ahli-ahli kajian sosial dan ekonomi amatlah penting untuk membentuk cara hidup dan budaya Melayu sebenarnya yang berasaskan agama dan berorientasikan nilai-nilai Islam yang murni.

Kalau MCA boleh melancarkan program tiga tahunnya untuk mereformasikan budaya dan tradisi kaum Cina di Malaysia, maka organisasi Melayu pun mungkin memerlukan program sendiri, dan saya percaya kaum India juga boleh turut sama dalam program pembangunan kaum India di Malaysia.

Harapan kita yang utama ialah membangunkan bangsa Melayu yang berpegang teguh kepada nilai-nilai etika, moral dan agama masing-masing dengan secara bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas.

No comments: