Wednesday, July 18, 2007

Cari jalan terbaik

SAYA tidak merasa hairan sama sekali dengan tindakan yang diambil oleh Menteri Besar Perlis mencabar khatib yang menyampaikan khutbah Hari Raya tempoh hari di sebuah masjid di negeri itu supaya memasuki politik dan bertanding di dalam pilihan raya.

Saya tidak mengetahui isi khutbah berkenaan, tetapi daripada pengalaman saya selama ini, memang terdapat para khatib yang menyampaikan khutbah dalam nada politik yang berat sebelah dengan andaian-andaian yang umum dan bersifat kritikal melulu mengikut persepsi peribadi khatib itu sendiri.

Selama ini saya dapat mendengar sendiri para khatib yang menggunakan mimbar masjid untuk menyuarakan perasaan peribadi dengan tafsiran-tafsiran sendiri terhadap sesuatu isu semasa yang kadang-kadang merupakan andaian-andaian kosong, jauh menyimpang daripada realiti dan persoalan pokok isu yang dibicarakan itu.

Saya dapati bahawa fenomena ini sedang berlaku dengan rancaknya di beberapa buah masjid di Lembah Klang sejak beberapa lama dahulu lagi, malah berlaku juga di tempat sembahyang yang diberikan kebenaran untuk didirikan sembahyang Jumaat di satu kawasan pembangunan mega di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur sekarang.

Saya percaya, sekiranya dilakukan tinjauan menyeluruh di masjid-masjid di seluruh negara pada setiap hari Jumaat, mungkin dapat ditemui agak ramai para khatib yang menjadikan khutbah Jumaat sebagai ceramah politik kepartian yang sempit, dengan pandangan-pandangan peribadi yang amat tidak profesional.

Saya akui bahawa perbezaan pandangan merupakan norma-norma biasa dalam kehidupan manusia, termasuk dalam perjuangan mana-mana kumpulan untuk mendapatkan kuasa politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Malahan perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahli akademik dan intelektual juga merupakan sesuatu yang amat digalakkan untuk mencari sesuatu kesimpulan dan penemuan baru dalam bidang-bidang yang tertentu.

Tetapi elemen yang tidak dapat diterima ialah unsur-unsur yang tidak sihat dalam membentangkan idea dan pandangan sendiri, iaitu yang sering dikemukakan dalam bentuk tuduhan melulu, tohmah dan fitnah, berpaksikan emosi dan perasaan liar, berkepentingan peribadi dan berbagai-bagai metodologi negatif lainnya yang dengan senang sekali membangkitkan sentimen dan emosi serta mempengaruhi pemikiran masyarakat umum.,

Malah penerimaan masyarakat Islam terhadap cara-cara yang tidak normal inilah yang sering memberi justifikasi tidak adil terhadap tindakan umat Islam secara kejam kepada kumpulan Islam lainnya yang dianggap sebagai musuh dan lawan dalam bidang ajaran agama, perbezaan ideologi politik dan sebagainya. Dalam keadaan ini kadang-kadang masyarakat Islam bertindak amat jauh penghujungnya iaitu dengan berlakunya pertumpahan darah dan pembunuhan sama sendiri.

Gejala ini tidak syak lagi dengan sendirinya amat bertentangan dengan nilai-nilai moral kerohanian dan ajaran Islam itu sendiri, dan merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah Allah yang diserahkan kepada manusia untuk menyibar dakwah pada jalan Allah ''dengan hikmah dan nasihat yang baik''.

Dalam menyampaikan khutbah, amatlah keterlaluan mengandaikan bahawa keseluruhan para jemaah akan bersetuju dengan pandangan, terutamanya pandangan politik dan fanatik sempit para khatib. Khutbah merupakan ''jalan sehala'' daripada khatib kepada jemaah.

Sekiranya khutbah itu dipenuhi dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas atau penafsiran-penafsiran peribadi yang tidak disokong oleh fakta-fakta ilmu, maka para jemaah akan merasa amat gelisah dan serba salah. Mereka akan merasa bahawa mereka ''dipaksa'' untuk menelan bulat-bulat segala sesuatu yang diucapkan oleh para khatib tanpa mempunyai peluang untuk berbincang atau bersoal jawab lagi.

Fenomena kekerasan dan kekasaran dalam menyibarkan ajaran agama seolah-olah telah menjadi ''trend'' di dalam masyarakat dunia Islam sekarang. Unsur-unsur agresif dan ungkapan yang tidak beradab telah banyak dipergunakan di sana sini sehingga ramai yang merasa lazat dengan ''trend'' ini dan terbawa-bawa dalam masyarakat Islam di negara kita sendiri yang sepatutnya mempunyai budaya dan tradisi hidup yang lemah lembut, bersopan dan beradab.

Saya tidak menunjukkan kenyataan ini kepada sebelah pihak sahaja, kerana di sebaliknya saya dapat juga mencium bau busuk aliran ini di kalangan orang-orang yang kononnya berjuang untuk menegakkan ''ideologi agama'' cara mereka sendiri dengan membuat penentangan secara total kepada alim ulama kita dan tradisi amalan agama yang berasaskan al-Quran dan sunah.

Contoh yang dapat saya kemukakan di sini ialah ungkapan kasar dan keras yang ditulis di dalam surat layang (surat terbuka kepada Imam Besar Masjid Negara) yang saya terima salinannya pada 4 Februari 1998. Penulis surat itu yang menamakan dirinya sebagai WBK Al-Kahfi antara lain mengemukakan ungkapan-ungkapan begini... ''Tapi, ganjil juga bagaimana orang tolol boleh jadi Imam Besar Masjid Negara. Kalau imam besar tolol, makmumnya lagilah bahalul''. ''Oleh itu, Haji mendakwa hadis perlu untuk menjelaskan al-Quran. Ini adalah hujah dangkal oleh Haji tolol. Wahai Haji, kanak-kanak berumur tiga tahun pun tahu basuh muka tanpa hadis. Saya tak sangka Haji sebegitu tolol. Mungkin Haji dan semua ahli panel hari itu tidak jumpa hadis, patutlah kelihatan selekeh dalam TV macam tak basuh muka''.

Dari segi adab dan tata susila agama, tulisan ini tidak sepatutnya dibuat walaupun dalam bentuk surat layang.

Hal yang sama tapi mungkin dalam nada yang agak lembut sedikit dapat dibaca dalam lidah rasmi akhbar ''Membangun bersama Islam''.

Dalam keluaran (edisi Internet) 16 Januari (17 Ramadan) baru-baru ini penulis tetapnya menujukan ungkapan ini kepada pucuk pimpinan negara.

''Saya mahu menyarankan beliau bersara beberapa bulan lalu, tetapi tidak jadi menyampaikannya kerana takut dikatakan saya menyokong Yahudi sedunia...'' ''... Dr. Mahathir dalam kebuntuan. Jangan ganggu dia. Masa yang baik untuk meletak jawatan sudah berlalu. Dan masa itu payah datang lagi dalam waktu yang singkat ini...'' ''... sama ada betul pertumbuhan ekonomi negara pada kadar lapan peratus berturut-turut lapan tahun atau tak betul, dia dan Allah saja yang mengetahui...'' ''Nilai ringgit sudah hampir lima ringgit sedolar, kerugian saham dianggarkan ribu bilion. Hanya negara kini menunggu bila kerajaan tak boleh bayar gaji kakitangannya, barang dijauhkan Allah, para pacal di sekelilingnya masih sayangkan dia lagi...''

Melihat kepada teks dan ungkapan percakapan dan luahan rasa yang dikeluarkan oleh para khatib seperti yang dirujukkan di atas, tulisan penulis surat layang yang tersebut dan juga penulis lidah rasmi parti politik yang termaklum itu kemudian melihat pula kepada perkembangan-perkembangan yang berlaku di dalam dunia Islam pada hari ini dengan segala unsur kekerasan yang ada kalanya membawa kepada keganasan, pertumpahan darah dengan menggunakan senapang, bom dan sebagainya, maka hal ini membuatkan saya terfikir apakah untuk menyibarkan agama dan menyampaikan mesejnya kepada masyarakat maka kita perlu mengambil jalan kasar dan agresif, atau semua salurannya harus dipolitikkan?

Di manakah letaknya metodologi dakwah yang seharusnya berhikmah, beretika dan beradab? Di manakah letaknya kata-kata mulia agama itu nasihat? Dan apakah pula penafsiran kita tentang ayat al-Quran yang menyeru orang-orang beriman supaya menjauhkan buruk sangka yang terlalu banyak kepada pihak lain, dan jangan mencari-cari kesalahan orang lain?

Kebingungan ini membuatkan kita tertanya-tanya di manakah silapnya masyarakat umat Islam pada hari ini? Apakah kita cukup memahami agama kita? Dan berbagai-bagai persoalan lain lagi yang sungguh membuntukan. Semoga dengan ini akan ramai orang Islam yang akan tampil untuk memberi pandangan bagi memecahkan kebuntuan ini, dan dengan itu diharapkan akan terbukalah jalan-jalan yang baik bagi umat Islam dalam menjawab persoalan apakah sesuatu yang disebut agama itu mesti bersifat agresif dan paksaan.

No comments: