Wednesday, July 18, 2007

Membangun nilai-nilai bersama

KENYATAAN Tan Sri Alfred Jabu ketika merasmikan satu seminar yang disiarkan oleh akhbar tempatan pada 18 Mei 1998 tentang beberapa adat buruk di kalangan masyarakat Dayak rumah panjang di Sarawak amat menarik perhatian saya.

Saya percaya ia juga menarik minat para pengkaji sosial masyarakat di negara kita. Adat buruk yang diketengahkan oleh beliau ialah minuman keras, rokok dan perjudian. Beliau memberikan anggaran kira-kira RM96 juta dibelanjakan oleh masyarakat Dayak setiap tahun bagi tujuan tersebut yang dianggapnya membazir dan tidak berfaedah.

Saya mengemukakan perkara ini kali ini, kerana pada 10 April, 1998 yang lalu menerusi ruangan ini juga, telah saya bicarakan isu yang sama di kalangan masyarakat Cina yang diketengahkan oleh Timbalan Presiden MCA ketika beliau menyatakan sokongannya kepada program tiga tahun MCA untuk mengikis tradisi perjudian, kepercayaan khurafat dan majlis makan malam yang berlarutan sehingga beberapa jam lamanya. Beliau menyatakan bahawa hal ini tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya kaum Cina seperti yang diamalkan selama ini.

Bagi saya kenyataan-kenyataan positif seperti ini merupakan petanda baik bagi negara kita untuk membangun menjadi negara maju berasaskan nilai-nilai positif dan sihat bagi bangsa Malaysia keseluruhannya.

Isu pemupukan nilai dan budaya sihat di kalangan rakyat berbilang kaum merupakan isu nasional yang seharusnya didukung oleh semua kaum dan digemblengkan semua tenaga dan saluran untuk dibangunkan bersama termasuk kerajaan, NGO, persatuan belia dan sebagainya.

Malah Datuk Gramong Juna, Menteri Muda Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Sarawak dalam kenyataan yang disiarkan akhbar tempatan pada 10 April, 1998 yang lalu juga meminta kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan agar menyokong tindakan bagi menghapuskan tradisi buruk masyarakat Dayak tersebut.

Secara kebetulan pula pada 18 Mei turut terbaca pandangan Bulbir Singh dari Seremban yang menulis tentang televisyen yang seharusnya tidak menyiarkan program yang memberi kesan buruk kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Penulis ini memberi komennya kepada tulisan Y.P. dari Kuantan pada 8 Mei yang membuka perbincangannya tentang siri drama Cina yang banyak mendedahkan gejala minuman keras melulu di dalam siri-siri tersebut.

Bulbir Singh merasa terpanggil untuk menulis kepada akhbar kerana mengikut pandangannya siri-siri drama India dan filem-filem Hindi juga sering menonjolkan gejala tersebut yang boleh meninggalkan kesan negatif di kalangan para penonton siri-siri tersebut.

Dalam konteks ini saya teringat pada satu ketika dulu, para pemimpin India juga telah dengan lantangnya menyuarakan pandangan mereka agar filem-filem Tamil yang ''mempromosikan'' keganasan, kumpulan samseng, dan pesta minuman keras tidak ditayangkan di televisyen tempatan supaya hal ini tidak mempengaruhi minda dan sikap penonton-penonton India tempatan.

Dalam masyarakat Melayu, saya rasa hal ini telah banyak dibicarakan, malah telah menjadi agenda utama program-program keagamaan untuk memupuk nilai-nilai positif di kalangan masyarakat Islam berteraskan agama sendiri.

Bagaimanapun, sebagai satu agenda nasional untuk membina bangsa Malaysia yang bermoral dan beretika, saya rasa masanya sudah tiba di tengah-tengah kegawatan sosial dan moral sekarang, kita cuba menangani isu ini dari sudut nasional, terlepas daripada sentimen etnik dan kaum masing-masing.

Tujuan dan matlamat kita ialah untuk menangani isu nilai bersama yang dapat menyatukan semua orang dan semua kalangan rakyat tanpa sebarang polarisasi atau agenda berasingan bagi sesuatu kaum.

Tetapi kenyataan ini bagaimanapun tidak menafikan agenda-agenda berasingan yang harus dilakukan oleh sesuatu kaum untuk menangani gejala-gejala sosial dan moral yang menonjol di kalangan kaum masing-masing seperti yang dilakukan oleh kaum Cina umpamanya.

Namun pada umumnya apa yang diperjuangkan oleh kaum yang tertentu untuk dihapuskan di kalangan masyarakat mereka, sebenarnya juga dialami oleh kaum lain di kalangan mereka seperti gejala perjudian, minuman keras dan sebagainya.

Oleh itu, isu ini bukanlah merupakan isu yang khusus untuk sesuatu kaum dan keturunan, malah isu rakyat Malaysia keseluruhannya tanpa mengira budaya, agama dan sebagainya.

Oleh itu rakyat Malaysia keseluruhannya perlu menangani isu ini bersama dengan program-program bersama yang seharusnya dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Apabila dibicarakan soal nilai positif dan moral yang baik, maka yang dimaksudkan ialah satu standard atau tatacara perilaku dan sikap, perasaan dan hati yang mencerminkan siapa kita, bagaimana kita hidup dan bagaimana kita berurusan dengan orang lain. Nilai-nilai yang baik dan murni tentunya yang dapat membentuk manusia yang terbaik, kehidupan yang lebih bermutu dan cara yang terbaik ketika berhubungan dengan orang lain. Maka nilai-nilai agama masing-masing adalah merupakan teras kepada ciri-ciri perilaku dan kehidupan yang baik ini, kerana ia merangkumi ciri-ciri hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan manusia sesama manusia.

Dalam masyarakat Islam, biasanya kita lebih banyak membicarakan soal teras yang mengandungi falsafah, hukum-hakam dan teori serta idealisme agama. Kita mungkin agak kurang membicarakan realiti hidup dan sosiologi serta psikologi manusia itu sendiri yang berasaskan kepada kehidupan hariannya dan lingkungan persekitarannya. Membicarakan isu tersebut dari sudut ini tidak bererti kita menyisihkan agama, malah sebaliknya cara ini lebih mendekatkan kita kepada agama kerana konsep dan teori akhlak Islam amat menyeluruh dan komprehensif.

Membicarakan isu moral dan akhlak dalam Islam adalah merupakan perbicaraan sepadu dengan akidah dan syariahnya. Cuma dalam hal ini soal pendekatan dan treatment bagi isu ini yang mungkin perlu dirubah dan direvolusikan supaya lebih berkesan dan lebih relevan dengan era baru ini.

Seandainya hal ini dapat ditangani dengan baik, saya percaya banyak persoalan sosial di kalangan masyarakat Melayu dapat dipecahkan.

Kehadiran para ibu bapa dalam keluarga, guru di sekolah, ulama dalam masyarakat dan sebagainya bukanlah untuk 'menghukum' semata-mata, atau memberi petua sahaja, tetapi yang pentingnya ialah mendidik, mendorong dan membuka minda orang serta membentuk sikap mereka tentang tingkah laku, cara hidup dan urusan diri sendiri ketika bersendirian dan ketika bersama-sama orang lain.

Menjelaskan hukuman belum tentu dapat mencegah perbuatan mungkar, tetapi menunjuk jalan dengan pendekatan yang penuh hikmah adalah lebih berkesan supaya nilai-nilai murni itu dapat dihayati dan diserapkan ke hati sanubari mereka.

Setelah itu, kalau berlaku juga kemungkaran maka barulah tindakan undang-undang dapat dilaksanakan, sama ada undang-undang rumah tangga, sekolah dan sebagainya.

Dalam konteks ini juga, sebagai rakyat Malaysia umumnya maka isu adat tradisi lama ini tentulah boleh dibicarakan mengikut kehadirannya dari semasa ke semasa terutamanya apabila amalan tradisi itu mungkin perlu diubah seperti yang ditulis oleh seorang pembaca Yeap Cheng Hock pada 18 Mei 1998 - Don't litter 'money' on roads, merujuk kepada tradisi orang orang Cina menabur 'wang kertas' bagi perarakan mayat mereka. Adat tradisi orang-orang Melayu seperti adat yang diamalkan dalam majlis perkahwinan dan sambutan orang-orang kenamaan umpamanya banyak yang perlu dikaji semula. Apakah adat itu perlu diteruskan atau dihapuskan sahaja kalau ia bukan bersumberkan agama.

Kalau kenyataan-kenyataan yang dibuat seperti yang dikemukakan di atas merujuk kepada khurafat yang membawa kepada pembaziran, maka orang-orang Melayu juga harus mengkaji adat meminang dan perkahwinan yang juga banyak berlaku pembaziran yang tidak berfaedah. Adat seratus dua ratus tahun yang tidak perlu dipertahankan, elok saja dibatalkan terutamanya dalam menghadapi kegawatan ekonomi sekarang ini.

Oleh itu pendekatan secara pragmatik yang diambil oleh berbagai-bagai kaum di Malaysia ini diharapkan dapat mengundang satu agenda bersama bagi pembangunan nilai dan moral bangsa Malaysia keseluruhannya dan dengan itu kita akan dapat menempah satu era baru bagi merealisasikan wawasan negara bagi membentuk bangsa Malaysia yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agama, etika dan moral yang baik terlepas daripada khurafat dan kepercayaan karut dalam masyarakat kita.

No comments: