Wednesday, July 18, 2007

Eropah dan dunia Islam

JIKA dalam forum-forum yang diadakan selama ini tentang Eropah dan Islam, Barat dan dunia Islam atau apa saja namanya perbincangan tentang hubungan Islam dengan dunia Barat, orang-orang Barat umumnya kelihatan lebih bersikap diplomasi, tidak lantang mengemukakan pandangan negatif mereka tentang orang-orang Islam di negara mereka, tetapi keadaannya agak berbeza dengan pandangan-pandangan mereka yang dikeluarkan di dalam seminar di IKIM tentang Eropah dan dunia Islam pada 24 dan 25 Mac, 1998 yang lalu. Hal ini berlaku demikian, mungkin kerana seminar ini pada umumnya dihadiri oleh ahli-ahli akademik.

Terdapat para penceramah dan para peserta Eropah dalam seminar tersebut yang mengemukakan beberapa keadaan runcing yang mereka hadapi dalam menangani masalah orang-orang di negara mereka.

Ramai para pendatang Islam yang berhijrah dan menetap di Eropah secara kekal dengan mendapat taraf penduduk tetap atau kerakyatan negara bagi mereka yang secara positifnya menyumbang ke arah pembangunan negara kedua mereka dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Kerajaan negara-negara Eropah tidak menghadapi masalah dengan orang-orang Islam yang dapat mengintegrasi diri mereka dengan rakyat asal dan mematuhi undang-undang negara serta mengadaptasi budaya dan cara hidup Barat.

Malah ada terdapat negara Eropah seperti Belgium, Sweden, Sepanyol dan beberapa buah negara lain lagi yang mengiktiraf Islam sebagai agama yang setaraf dengan agama Yahudi dan Kristian.

Kerajaan-kerajaan tersebut membantu orang-orang Islam dan membiayai perbelanjaan mereka dalam bidang pendidikan, peribadatan, dan sebagainya. Wakil Belgium menyatakan bahawa di negaranya terdapat banyak masjid dengan peruntukan bilangan imam yang mencukupi untuk menampung keperluan orang-orang Islam di Belgium kira-kira tiga puluh enam ribu orang.

Kalau pandangan wakil Belgium itu dapat dijadikan sebagai kenyataan umum yang mewakili pandangan negara-negara Eropah yang lain maka keadaan nampaknya amat positif dengan wujudnya sebuah masyarakat Islam yang dapat menyumbangkan dengan baik kepada negara kedua mereka dan dapat pula menerima pengiktirafan dan bantuan yang perlu sebagai hak warganegara yang setaraf dengan rakyat asal.

Hal ini bagaimana pun tidaklah dapat digambarkan semudah itu, kerana gambaran sebenarnya perlulah dilihat secara yang lebih dekat, dengan kajian yang lebih teliti, kerana sikap dan layanan kepada orang Islam di negara-negara Barat masih banyak yang boleh dipersoalkan dan dijadikan isu.

Bagaimanapun, dari sudut yang ditimbulkan di atas, tentang keadaan sebenar sebahagian umat Islam di negara-negara Eropah, maka mungkin hal ini menjadi isu yang menarik dan patut menjadi bahan pemikiran untuk makluman dan tindakan kita sebagai umat Islam yang bertamadun.

Isu-isu yang ditimbulkan itu ialah wujudnya kumpulan-kumpulan politik Islam yang radikal, yang menjadikan negara Eropah sebagai pangkalan mereka untuk menjalankan aktiviti mereka, terutamanya untuk bergerak menentang negara asal mereka sendiri.

Mereka mengambil kesempatan daripada dasar kebebasan bergerak dan bersuara yang diamalkan di negara Barat bagi menyusun agenda dan pergerakan mereka yang dilihat sebagai satu ancaman bagi keamanan dan kestabilan politik negara-negara tersebut.

Malah amat memalukan juga apabila dijelaskan bahawa biasanya pangkalan gerakan-gerakan melampau ini ialah di masjid-masjid, tempat ibadat orang-orang Islam itu.

Masalah ini biasanya amat kompleks dan serabut, kerana pendatang Islam yang berhijrah ke negara-negara Eropah adalah terdiri daripada berbagai-bagai golongan. Terdapat orang-orang politik yang mencari perlindungan politik, orang-orang miskin yang mencari pekerjaan, orang-orang yang mencari peluang perniagaan, pelarian perang dan berbagai-bagai golongan dengan latar belakang budaya dan bahasa yang berbeza-beza. Mereka semua beragama Islam, tetapi berbeza-beza mazhab, Sunni, Syie, Ismaili dan sebagainya.

Hal ini benar-benar menjadi masalah, terutamanya dari segi komunikasi dan peningkatan budaya mantap yang sejajar dengan tahap budaya orang-orang Eropah sendiri, juga dari sudut kesepaduan fahaman Islam di kalangan mereka sendiri.

Malah seperti yang dijelaskan oleh wakil Sweden, orang-orang Islam dengan latar belakang yang serba lemah dan bercelaru itu kelihatan amat tidak terurus, tidak dapat berorganisasi secara mantap. Mereka mempunyai kelompok atau persatuan yang amat banyak. Masing-masing kelompok atau organisasi mendakwa diri mereka sebagai mewakili Islam dari segi doktrin pemikiran dan ajaran Islam itu sendiri.

Kerajaan negara Eropah mengalami kesukaran yang besar untuk berkomunikasi dengan pertubuhan Islam yang benar-benar mewakili majoriti orang Islam. Tidak ada wakil yang diberi mandat penuh dan rasmi.

Tidak ada jurucakap yang benar-benar representative untuk menyuarakan kehendak dan tuntutan orang-orang Islam yang sebenarnya kepada negara, kerana komuniti Islam berpecah kepada kelompok-kelompok yang banyak, malah mengikut mazhab fiqah mereka masing-masing.

Orang Islam amat berpecah belah, kadang-kadang mengikut etnik dan daerah dari mana mereka datang, atau bahasa apa yang mereka guna, atau latar belakang dan tradisi hidup asal mereka yang amat berlainan.

Satu perkara yang menjadi masalah besar di sesetengah negara Eropah, ialah wujudnya golongan fanatik yang mencuba untuk mengubah sistem sekular Barat itu sendiri mengikut sistem Islam yang mereka perjuangkan. Pergerakan mereka tentulah menjadi amat radikal dan mengancam perdamaian negara dan rakyat.

Gambaran-gambaran yang diberikan itu mungkin tidak sepenuhnya betul dan benar berlaku di semua negara Eropah. Tetapi satu hal yang pasti, ia berlaku di beberapa bahagian negara Eropah di tangan segelintir pendatang Islam yang berhijrah ke Eropah dengan tujuan tersebut.

Hal ini sebenarnya menjadi luka lama berdarah kembali. Dari segi sejarah seperti yang disebutkan juga oleh Perdana Menteri ketika membuka seminar ini, orang-orang Islam mendapat layanan buruk di tangan pemerintahan Barat dan orang-orang Islam serta agama Islam tidak dapat diterima oleh mereka, tidak seperti agama Yahudi dan Kristian. Maka dalam konteks sini, perbuatan melampau orang-orang Islam sendiri dan perpecahan yang wujud di kalangan mereka sekarang ini tentulah amat menyulitkan usaha untuk mencari ubat bagi menyembuhkan luka-luka lama itu.

Kerajaan negara Barat tentu akan tetap mencurigai orang-orang Islam dan mempertikaikan keikhlasan mereka disebabkan oleh tingkah laku sebahagian kecil daripada mereka yang merosakkan imej dan persepsi umum tentang Islam dan umatnya.

Hal ini saya sebutkan di sini bukan sebagai satu cara untuk menjustifikasikan ketidakadilan sesetengah negara Eropah terhadap agama dan orang-orang Islam di negara mereka. Malah isu ini selalu ditimbulkan iaitu tentang keadilan, hak asasi, demokrasi dan sebagainya yang kelihatan tidak diamalkan oleh orang-orang Barat terhadap orang-orang Islam.

Yang ingin saya kemukakan di sini, ialah isu orang-orang Islam sendiri yang sedang mencari identiti dan keperibadian mereka di Barat dan yang ingin menetap di Barat secara penuh integrasi, tetapi pada masa yang sama mahu menjamin keperibadian mereka sebagai orang Islam yang tetap mengamalkan ajaran dan nilai-nilai agama Islam, yang menjaga moral, dan akhlak Islamiah mereka.

Bagaimanakah hal ini dapat dicapai dan dijelmakan menjadi kenyataan sekiranya agenda orang-orang Islam untuk tujuan itu tidak disusun rapi dengan sebaik-baiknya dan tidak dikerjakan dengan hati dan tekad yang bulat, kerana umat Islam di sana amat berpecah belah dan amat tidak sepadu?

Orang Islam mestilah bermuhasabah diri mereka sendiri dan membetulkan perjalanan hidup mereka sebelum mengharapkan simpati dan pertolongan orang lain. Orang-orang Islam yang berhijrah ke Barat dan menetap di sana haruslah mencari jalan mewujudkan perpaduan dan mengurangkan jurang pemisah di antara mereka disebabkan perbezaan etnik, bahasa, mazhab dan sebagainya.

No comments: