Wednesday, July 18, 2007

Disiplin diri menonton TV

KETIKA saya menulis di ruangan ini minggu lalu tentang berapa lama masa yang dihabiskan di depan TV, sebenarnya Menteri Penerangan telah juga mengumumkan bahawa TV Malaysia akan memendekkan masa siarannya dengan melewatkan permulaan siaran dan mempercepatkan masa penutupnya. Sungguhpun alasannya agak berbeza.

Alasan pihak TV kerajaan ialah untuk menjimatkan perbelanjaan dalam kegawatan ekonomi negara sekarang, sedangkan alasan saya agar lebih banyak masa dihabiskan penonton bagi perkara-perkara lain yang lebih berkualiti daripada hanya menonton TV. Tetapi hasilnya tetap sama, iaitu dengan memendekkan masa siaran TV maka dengan sendirinya masa menonton TV penonton juga besar kemungkinan dapat dipendekkan.

Bagaimanapun, oleh kerana saluran TV di rumah-rumah kita - tanpa mengambil kira TV kabel dan satelit - sudah mencapai lima saluran, maka alasan untuk mengurangkan masa tontonan TV tentulah tidak dapat dicapai sekiranya TV swasta tidak turut memendekkan masa siarannya. Dan, sekiranya penonton tidak mengambil tindakan sendiri mendisiplinkan dirinya untuk mengawal masa tontonannya walaupun ada saluran TV dua puluh empat jam.

Pendeknya persoalan di sini ialah persoalan disiplin diri dan daya tahan penonton sendiri yang seharusnya dapat membuat keputusan sendiri tentang program mana yang hendak ditonton dan berapa lama masanya yang seharusnya dihabiskan untuk menonton TV.

Saranan golongan Parent Soup di Amerika seperti yang saya nyatakan dalam ruangan ini minggu lalu supaya dijadikan jangka masa seminggu iaitu dari 22 hingga 28 April 1998, sebagai minggu ''Tutup TV'' yang juga sebagai menyokong organisasi TV Free America (Amerika Tanpa TV) mendapat reaksi dan maklum balas yang agak positif daripada para ibu bapa yang mencuba eksperimen itu.

Ramai yang menyatakan bahawa rupa-rupanya kebiasaan anak-anak menghabiskan waktu yang panjang di depan TV itu dapat dikurangkan dengan mengalih pandangan dan aktiviti mereka kepada perkara yang lain seperti aktiviti mewarnakan gambar, menulis cerita dan surat, mencuba permainan baru, membaca buku cerita kanak-kanak, mencuba permainan luar rumah seperti bola jaring dan sebagainya.

Bagaimanapun dalam masyarakat moden sekarang ini, terutamanya di rumah-rumah yang mempunyai peti-peti TV di dalam bilik tidur masing-masing, maka kawalan secara yang amat ketat tentulah tidak dapat dijalankan. Maka dalam hal ini sekali lagi dapat ditegaskan bahawa disiplin diri dan bimbingan ibu bapa terhadap anak-anak dalam memilih dan mengehadkan program TV yang seharusnya ditonton, amatlah penting dan diperlukan dalam keadaan begini.

Bagi masyarakat Islam, masa sebelum maghrib dan selepas maghrib sehingga waktu isyak biasanya menjadi masa tanpa TV. Masa itu biasanya dihabiskan untuk persiapan dan pelaksanaan ibadat, atau selepas sembahyang maka baki masa seterusnya digunakan untuk belajar dan membuat kerja-kerja sekolah.

Hal ini harus disedari oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang bersekolah, dan seharusnya cuba dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dengan mengarahkan anak-anak. Sekurang-kurangnya masa ini dapat dimanfaatkan dengan baik, tanpa TV. Sekiranya disiplin ini dapat dijalankan dengan baik, maka ada kemungkinan dan ada harapan bahawa masa-masa yang lain juga dapat diteruskan dengan baik dan berkesan juga. Syaratnya mestilah ada keazaman dan ketegasan ibu bapa dalam hal ini serta menunjukkan contoh yang baik daripada mereka sendiri.

Linda dan Richard Eyre dalam buku mereka Teaching Your Children Values, menjelaskan bahawa masyarakat permisif menjadi sesat kerana anak-anak tidak diajar tentang nilai-nilai yang baik. Hal ini dibiarkan kepada anak-anak untuk belajar sendiri melalui kaedah cuba-cubaan (trial and error). Akhirnya mereka membesar tanpa panduan, dan akan hanya dibentuk oleh keadaan dan persekitaran mereka. Maka nilai-nilai mereka akan berbeza daripada nilai ibu bapa dan masyarakat umumnya.

Pandangan ini saya rasa amatlah benar, kerana dalam konteks tulisan ini, TV akan menjadi guru dan pembimbing kanak-kanak yang menontonnya, yang bakal memberikan mereka inspirasi dan pengertian hidup, tentang cara bertindak terhadap orang lain, berkelakuan terhadap adik beradik dan keluarga, serta seribu satu panduan lain.

Sekiranya seorang kanak-kanak menonton TV lebih daripada empat jam sehari, maka bererti ia akan menghabiskan waktunya selama 28 jam seminggu di depan TV, atau dua bulan dalam masa setahun. Masa sebanyak inilah yang menjadi masa belajarnya dari ''gurunya'' yang bernama TV dan dalam masa sepanjang itulah pula ia mempelajari tentang hidup dan kehidupan yang sedang dan akan ditempohinya. Apakah kita dapat menjamin bahawa masa sebanyak itu yang dihabiskannya di depan TV mereka benar-benar dapat mempelajari sesuatu yang baik? Atau sebaliknya?

Seorang guru sekolah yang memberi reaksi kepada kempen yang dilakukan oleh Parent Soup Turn Off Your TV menyatakan bahawa pada pandangannya TV adalah turut bertanggungjawab terhadap kelemahan pelajar untuk berfikir secara kritikal. TV menghidangkan segala-galanya iaitu dari segi penampilan imej, perwatakan, plot, konflik, dan penyelesaian. Penonton tidak perlu lagi berfikir untuk membentuk imej dari mindanya sendiri, atau memikirkan reaksi yang tertentu. Dengan ini penonton, terutamanya kanak-kanak tidak memerlukan lagi imiginasi sendiri, dan penyelesaian masalah yang sewajarnya, cara berunding dan mencari kemungkinan-kemungkinan yang tertentu dalam menghadapi sesuatu masalah seperti yang mereka seharusnya berfikir ketika bermain monopoli, checkers, word puzzles, menyusun blok dan sebagainya.

Saya rasa dalam menghadapi masalah ini ibu bapa haruslah berfikir dan mencari jalan penyelesaian sendiri sekiranya penyakit ketagih TV ini menjadi-jadi dalam keluarga masing-masing.

Dalam sebuah taman perumahan dan jiran-jiran, ibu bapa bolehlah menubuhkan kumpulan kecil untuk bertukar-tukar pengalaman dan fikiran apakah jalan yang paling baik untuk dilaksanakan dalam menghadapi masalah ini.

Kadang-kadang support group seperti yang dijalankan di kebanyakan negara maju merupakan satu golongan yang amat bermanfaat untuk keluarga dalam menghadapi masalah bersama, malah membuka fikiran kita tentang masalah yang kadang-kadang tidak ternampak sama sekali.

No comments: