Wednesday, July 18, 2007

Kontroversi puasa dan raya

SABAN kali menjelang bulan Ramadan saban kali pula isu-isu kontroversi ditimbulkan oleh para pendakwah dan ulama kita seperti isu bilangan rakaat sembahyang tarawih antara lapan atau dua puluh, memasang lampu di luar rumah pada malam-malam terakhir bulan Ramadan, persiapan rumah untuk menyambut Hari Raya, terutamanya oleh suri rumah dan sebagainya.

Isu rakaat sembahyang tarawih merupakan isu yang tidak perlu dibangkitkan lagi. Rasulullah s.a.w. melakukannya sebanyak lapan rakaat. Saidina Umar menunaikannya sebanyak dua puluh rakaat. Tentulah baik sekali dilakukan dengan yang lebih banyak, tanda kekuatan iman dan ketahanan diri yang lebih kuat dalam mengerjakan ibadat.

Tetapi jangan pula dikecam orang yang melakukannya lapan rakaat, kerana ia mungkin akan meneruskan ibadatnya di rumah secara bersendirian sehingga seberapa banyak yang ia mahu, atau sehingga ke larut malam, malah sehingga menjelang subuh mengikut kemampuannya.

Kita menyaksikan di masjid-masjid dan di surau-surau, para remaja dan belia, atau pegawai kerajaan, yang biasanya kan menunaikan sembahyang tarawih sehingga lapan rakaat sahaja, walaupun orang lain meneruskannya sehingga dua puluh rakaat. Mereka tentu punya sebab berbuat demikian.

Kehadiran mereka berjemaah itu pun harus disambut dengan penuh kesyukuran, dengan harapan pada tahun-tahun yang akan datang mereka akan bertambah kuat ibadatnya tentang sembahyang tarawih ini.

Saya mengemukakan perkara ini bukan bertujuan untuk meringan-ringankan ibadat. Tetapi semata-mata untuk kita semua memahami konsep sunat, yang lebih bersifat sukarela dan ikhlas, dan lebih mementingkan kualiti amalan daripada hanya mengira kuantitinya.

Oleh itu, isu ini tidak sepatutnya dibesar-besarkan saban tahun tanpa kesudahan, seolah-olah setiap tahun muncul sahaja penafsiran-penafsiran baru daripada bijak pandai baru yang biasanya lebih menambahkan kekeliruan orang ramai.

Pada tahun ini cotohnya timbul pula aliran baru di mana imam selepas menunaikan sembahyang tarawih empat rakaat, akan bangun memberi ceramah yang dinamakan ''tazkirah'' selama mana yang dirasanya selesa. Para jemaah mahu tidak mahu, harus mendengar dan menunggu.

Nasihat memang baik dan perlu selalu diberikan. Cuma dalam konteks ini terdapat sedikit unsur ''paksaan'' untuk jemaah mengikutinya. Akibatnya terdapat ''protes'' secara senyap, ketika mana ada jemaah yang akan menyelesaikan sembahyang tarawihnya secara bersendirian ketika ''tazkirah'' disampaikan, kemudian mencari jalan keluarnya sendiri.

Amat baik sekali dalam hal-hal ibadat ini pun kita cuba membezakan di antara yang wajib dan sunat, diterima umum atau sebaliknya. Ibadat wajib memang tidak ada konsep tolak ansur. Tetapi ibadat sunat terserlah kepada diri masing-masing, tidak ada sesiapa yang boleh melakukan paksaan.

Tugas mendidik orang awam untuk mendekatkan diri dengan masjid, melakukan ibadat dengan sekuat-kuatnya haruslah dijalankan melalui pendekatan yang lebih bijak, berdasarkan psikologi dan toleransi yang lebih.

Para pendakwah juga sering menjadikan amalan memasang lampu di luar rumah semasa malam-malam satu likur hingga tujuh likur sebagai satu isu kontroversi. Persoalan yang ditimbulkan di sini saya percaya kembali kepada niat masing-masing.

Kalau betul niat tuan rumah bahawa lampu-lampu dipasang dengan terangnya di halaman rumahnya supaya para malaikat ''senang mencari'' rumahnya dan ''tidak sesat'' untuk memasuki rumahnya, maka pada ketika itu amalan ini tentulah tidak perlu dilakukan. Niatnya itu tentulah tidak wajar, kerana malaikat tidak memerlukan lampu di halaman rumah sesiapa.

Maka dalam hal ini, niat seseorang itu haruslah dibetulkan ketika melakukan perbuatan itu. Ada orang yang suka menyalakan lampu di luar rumah pada hari hari tersebut kerana ingin mengindahkan malam-malam tertentu dengan lampu berwarna-warni sehingga menjelangnya Hari Raya. Ada orang yang semata-mata menjadi pak turut tanpa memahami maksudnya.

Para pendakwah haruslah membetulkan niat dan tujuan ini dan cuba memahami perbuatan ini, daripada hanya mengecam dan memberi hukuman.

Cuba lihat kepada alternatif yang tertentu, agar orang-orang Islam dapat mengamalkan tradisi ini tanpa bercanggah dengan ajaran agama.

Isu yang sama sering ditimbulkan tentang persediaan suri rumah untuk menyambut Hari Raya yang sering dikatakan bertentangan dengan semangat Islam.

Permasalah yang ditimbulkan selalunya tentang kelekaan para wanita membuat kuih-muih, memasang langsir baru, menukar perabot baru, menjahit baju baru dan sebagainya, yang semuanya ini ''melekakan'' mereka sehingga mereka tidak lagi menunaikan ibadat, tidak sembahyang tarawih lagi, tidak baca al-Quran lagi, dan tidak beribadat lagi.

Teguran ini amat tepat dan sesuai, sekiranya betul apa yang diandaikan itu, iaitu kerana terlalu ghairah membuat persiapan, maka Tuhan sudah tidak diingatkan lagi.

Tetapi bagaimana pula sekiranya andaian itu tidak betul? Dan bagaimana pula akibatnya sambutan Hari Raya dalam sesuatu keluarga sekiranya suri rumah tidak perlu menyiapkan pakaian untuk suami dan anak-anaknya, atau tidak menyediakan sebarang juadah langsung untuk Hari Raya? Apakah di samping menyiapkan rumah tangga dan menyediakan juadah Hari Raya, para suri rumah tidak dapat mencari masa untuk beribadat kepada Tuhan? Persoalan-persoalan seperti ini perlu dipecahkan secara rasional daripada hanya memberi hukuman hitam putih secara umum dan kadang-kadang bercampur emosi melulu.

Sekali lagi saya merasakan kita harus berhati-hati dalam mengeluarkan teguran atau membuat sebarang fatwa dan hukuman secara umum tentang isu-isu seperti yang disebutkan di atas.

Saya tidak mempersoalkan niat para pendakwah dan ulamak kita dalam menimbulkan isu-isu tersebut. Tetapi saya rasa memahami isu-isu tersebut daripada dimensi sosial, psikologi dan amalan masyarakat amatlah penting, malah pendekatannya haruslah dilakukan lebih berhati-hati supaya ia benar-benar berkesan dan menyeluruh, tidak meletakkan agama dalam satu kota batu yang amat tertutup sehingga tidak dapat memasuki atau didekati oleh orang biasa.

No comments: